PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Ikon Malaysia kepada Yusof.
DI SEBALIK kegemilangan dan kejayaan cemerlang dalam bidang penerbitan drama dan filem, ada sisi lain yang bakal disingkap daripada diri Datuk Yusof Haslam.
Pengarah prolifik itu bakal ditampilkan dalam sebuah program khas dokudrama 1Malaysia Ikon yang telah memulakan siaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 bermula 22 Ogos hingga 22 September depan.
Tersenarai antara 13 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang dan bidang, siaran selama satu jam bermula pukul 7 malam itu akan menampilkan wawancara santai berserta lakonan semula kehidupan tokoh negara ketika zaman remaja dan awal pembabitan dalam bidang masing-masing.
Yusof yang terpilih sebagai satu-satunya tokoh daripada cabang seni, menyambut baik usaha tersebut yang sekali gus mengiktiraf sumbangan anak seni sepertinya.
“Saya amat berterima kasih dengan pengiktirafan yang diberikan memandangkan suatu ketika dahulu keringat anak seni kurang diberikan perhatian serius.
“Diharapkan dengan adanya program televisyen seperti ini sedikit sebanyak boleh memberikan suntikan inspirasi kepada pelakon, pengarah dan penerbit baharu untuk tidak mudah berputus asa,” ujarnya yang ditemui usai majlis pelancaran 1Malaysia Ikon di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambah Yusof, setelah disunting untuk terbabit dalam program tersebut, dia memang sudah bersedia untuk berkongsi pengalaman awal dan sejarah silamnya sebelum bergelar penerbit, pengarah dan pelakon.
“Selama 30 tahun merupakan perjalanan yang amat panjang sebagai seorang anak seni dan ruang masa yang tidak boleh diputar kembali ini merupakan pengalaman emas yang mampu saya kongsikan sebagai sebuah cerita,” kongsi Yusof.
Sementara itu, menurut pengarah dan penerbit bersama 1Malaysia Ikon, Ismail Bob Hasim, rancangan tersebut akan memberikan inspirasi kepada generasi muda terutamanya selain berkongsi kehidupan silam tokoh negara yang banyak menyumbang jasa dalam pembangunan pelbagai sektor di Malaysia.
“Pelbagai bangsa daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran akan mengisi slot selama satu jam siaran 1Malaysia Ikon yang bakal bermula tidak lama lagi.
“Memang nampak mustahil pada mulanya untuk mendapatkan ruang menemubual tokoh-tokoh negara tersebut memandangkan jadual mereka memang padat tapi hasil usaha lebih enam bulah akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran untuk mendapatkan slot temu bual daripada jadual yang padat, Ismail Bob memuji sikap merendah diri dalam memberikan kerjasama yang optimum.
“Antara perkara yang dapat saya rumuskan sepanjang usaha menerbitkan rancangan ini, kebanyakan tokoh negara yang berjaya hari ini bukan daripada keluarga yang berada dan ada antaranya yang pernah beberapa kali berdepan muflis.
“Malah, ada juga yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi tapi berbekalkan iltizam dan semangat yang tidak mengenal putus asa, akhirnya mereka berjaya menggapai cita-cita yang diidamkan sejak kecil,” jelasnya yang paling tersentuh dengan kehidupan peribadi ahli politik Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Program yang menelan belanja lebih RM900,000 itu dinaungi oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, merangkap Pengasas Marhaen Production yang menjadi penerbit bersama syarikat produksi Ismail Bob, Shapeway Entertainment Sdn. Bhd.
Selain Yusof, ikon negara lain ialah Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Datuk Seri S. Samy Vellu, Datuk Jimmy Choo, Tan Sri Tony Fernandez, Tan Sri Vincent Tan, Datuk Marina Chin, Datuk Doraisinggam Pillai dan Datuk Ahmad Kemin.