Fattah mahu membuktikan kemampuannya sebagai pelakon baharu dan memperbaiki mutu lakonannya dari semasa ke semasa.
DIA pernah dikritik kerana tampil serba canggung sewaktu melakonkan watak Raja Adrian Benjamin menerusi drama bersiri Playboy Itu Suami Aku sekitar awal tahun lalu.
Malah, bakat tuan empunya nama, Abdul Fattah Mohd. Amin atau lebih mesra dikenali sebagai Fattah turut dipertikaikan kerana dianggap sebagai aktor yang menjual muka semata-mata.
Tidak cukup dengan itu, Fattah, 24, turut dilabel sebagai ‘pelakon kayu’ dan sering menjadi bahan perbandingan antara rakan-rakan seangkatannya oleh para peminat.
Ketika berkesempatan berbual dengannya usai sesi fotografi bagi mempromosikan drama bersiri Cinta Ibadah di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Fattah berkata, dia seperti sudah lali dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan.
“Semua orang tahu tentang perkara ini. Saya mengaku, saya bukannya seorang pelakon yang berbakat. Saya bermula dari bawah dan banyak lagi yang perlu saya belajar.
“Orang-orang di luar bebas untuk membuat penilaian sendiri. Menerusi penilaian itu, sedikit sebanyak ia mampu memperbaiki mutu lakonan saya pada masa akan datang,” tutur juara pertandingan Pencarian Hero Remaja 2011/2012 itu.
Menyentuh tentang penglibatannya dalam pertandingan tersebut yang secara tidak langsung dijadikan sebagai batu loncatan untuk bergelar pelakon, Fattah memberitahu, Pencarian Hero Remaja bukan sebuah pertandingan mencari pelakon.
Malah, hanya segelintir finalisnya sahaja yang berpengalaman dalam bidang lakonan dan pernah beraksi di hadapan kamera sebelum menyertai pertandingan tersebut.
MENJALIN hubungan akrab dengan pelakon Sherry, Fattah menyifatkan wanita itu sebagai senang didampingi.
Tiada pengalaman
“Ramai yang tidak tahu bahawa pertandingan Pencarian Hero Remaja sebenarnya banyak mengajar tentang selok-belok dunia peragaan. Saya sendiri berminat untuk menyertainya kerana sudah biasa melakukan kerja-kerja peragaan.
“Jadi, apabila saya menjuarai pertandingan ini, peminat mula menyamakan saya dengan Kamal Adli dan Fizo Omar yang juga muncul dari pertandingan ini. Selain itu, saya juga sering dibandingkan dengan rakan seangkatan, Syafiq Kyle dan Syarul Ridzwan.
“Namun, Syafiq dan Syarul terlebih dahulu pernah bergelar pelakon sebelum masuk bertanding. Justeru, apabila saya mula berjinak untuk berlakon, saya sememangnya bermula sebagai pelakon yang tidak berpengalaman dan perlu banyak belajar,” ujarnya panjang lebar.
Ditanya sama ada rimas atau tidak digelar sebagai pelakon kayu, Fattah berkata, dia menerima segala kritikan itu dengan hati yang terbuka. Namun, dia berharap agar dirinya tidak terus dikenali dengan gelaran tersebut.
“Saya tidak menyangkal jika ada orang mengatakan saya dikenali kerana mutu lakonan ini yang kurang memberangsangkan.
“Tetapi, jika gelaran ini terus dilemparkan, saya berasa agak sedih,” kongsinya dengan nada kecewa.
Bagaimanapun, menurut pelakon yang pernah terbabit dengan drama Memberku Hawa itu, isu berkenaan tidak memberi impak yang besar terhadap karier lakonannya.
“Jika ia benar-benar memberikan impak yang negatif, mungkin saya sudah tidak menerima sebarang tawaran untuk berlakon.
“Alhamdulillah, selepas Playboy Itu Suami Aku, saya ada menerima beberapa tawaran berlakon lain daripada pelbagai syarikat produksi drama.
“Ini termasuklah Cinta Dari Marikh yang bakal disiarkan di RTM dan yang terbaharu, Cinta Ibadah yang kini bersiaran di Astro Prima,” katanya.
FATTAH bakal terlibat dengan produksi dari Indonesia yang berminat untuk mengambilnya berlakon di sana.
Cinta Ibadah
Menerusi drama bersiri Cinta Ibadah, portfolio seni jejaka yang berasal dari Kuala Lumpur ini terus menebal dengan karya-karya yang bermutu tinggi.
Sebagai pendatang baru, dia berasa cukup bertuah kerana diberi tanggungjawab untuk menggalas peranan utama iaitu Hafiz dalam drama bersiri 130 episod itu.
“Jika diikutkan, watak Hafiz dan Adrian tidak jauh bezanya. Cuma, karakter Hafiz dalam Cinta Ibadah jauh lebih berat.
“Saya tidak mengalami sebarang masalah ketika berada di lokasi penggambaran. Lebih-lebih lagi apabila hampir 60 peratus babak dirakamkan di dalam rumah. Kerja saya juga menjadi sedikit mudah,” ujarnya.
Tambah Fattah, drama rantaian tersebut turut menjadi platform baginya untuk bertukar-tukar pendapat dan menerima tunjuk ajar daripada pelakon yang lebih senior daripadanya.
“Selain dapat bekerja dengan pengarah terkemuka, Sridhar Jetty, saya juga banyak belajar daripada pelakon-pelakon seperti Raja Ilya, Roslan Shah dan Shahronizam.
“Peluang ini saya gunakan sebaik mungkin. Bukan mudah untuk bekerja dengan pelakon-pelakon senior yang hebat,” kata Fattah yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada peminat untuk menilai mutu lakonannya kali ini.
Dalam perkembangan terbaru, Fattah kini ditawarkan untuk menjayakan dua buah telemovie di Indonesia bersama pelakon Faralyna.
Ujarnya, dia berasa begitu teruja kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan produksi dari seberang buat pertama kalinya.
“Saya menerima tawaran ini kira-kira awal bulan September lalu. Ketika itu, saya berasa sungguh terkejut kerana diberi peluang untuk bekerja di Indonesia.
“Saya anggap ini adalah rezeki. Jadi, saya ambil peluang ini dan cuba sebaik mungkin untuk memberikan hasil yang terbaik,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran di Indonesia tidak lama lagi.
Rapat dengan Sherry
Baru-baru ini, pelakon Sherry Ibrahim mengesahkan hubungan istimewa antaranya dengan Fattah.
Tidak mahu terus berdolak-dalik, dia yang mula mengenali Sherry ketika berlakon menerusi drama Cinta Ibadah itu mengakui sedang mengenali wanita tersebut dengan lebih dekat.
“Jika Sherry telah mengiyakan tentang perkara ini, maka ia bukanlah sekadar gosip ringan.
“Buat masa ini, Sherry merupakan teman rapat saya. Walaupun telah lama dalam bidang lakonan, dia tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu,” ujarnya sambil tersenyum.
Kongsi Fattah, selain kerap membantunya di lokasi penggambaran, Sherry yang memegang watak sebagai Dr. Irma dalam drama itu disifatkan sombong.
“Dia sangat baik dan mudah untuk dijadikan kawan. Walaupun baru sahaja mengenalinya, dia tidak pernah melayan saya seperti orang asing,” jelasnya.
Begitupun, Fattah tidak kisah jika ada segelintir individu yang mempersoalkan jarak umurnya yang agak jauh dengan Sherry.
“Saya tidak kisah menjalinkan hubungan dengan wanita yang lebih berusia daripada saya. Bagi saya, faktor usia bukan menjadi penghalang untuk kami terus berkawan.
“Selagi kami menghormati antara satu dengan yang lain, ia sudah cukup untuk saya terus selesa berkawan dengannya,” ujar Fattah menutup bicara.