Impian Search tertunai



TIGA puluh tiga tahun lalu, lima anak muda belasan tahun dari Johor Bahru berhijrah ke Kuala Lumpur demi kelangsungan hidup dan cinta terhadap muzik rock.

Bersatu dalam kumpulan Search, Amy, Nasir, Yazid, Kid dan Din tidak pernah menyangka langkah yang pernah ditentang keluarga satu masa dahulu itu bukan sahaja mengubah hidup mereka tetapi juga industri muzik Malaysia.

Bersama Search, mereka mencipta fenomena sehingga ke Indonesia dan sepanjang tertubuhnya Search, sudah beberapa kali mereka berganti ahli. Individu seperti Hillary, Man Kidal, Yan, Zainal, Awie, Mog serta Fauzi pernah mengisi ruang kosong yang ditinggalkan anggota Search. Bukan itu sahaja, pernah juga berlaku beberapa konflik dalaman yang parah sehingga menyebabkan nadi kumpulan itu, Amy menggundur diri pada tahun 1998.






Namun, keluarga Search bersatu semula pada tahun 2004 dan kekal sehingga ke hari ini. Bertemu dengan mereka berlima pada majlis sidang akhbar Search: Live In Istana Budaya 2014 di Istana Budaya, minggu lalu, mereka mengakui bukan mudah untuk Search berdiri semegah hari ini. Banyak cabaran dan dugaan ditempuhi, bagaimanapun pengalaman itu amat berharga dan mengeratkan lagi persahabatan yang telah berusia lebih 30 tahun itu.

“Search ibarat sebuah keluarga. Kami datang dari Johor Bahru dan kehadiran kami telah mengubah landskap muzik Kuala Lumpur ketika itu. Pengalaman itu yang mengajar kami untuk bertahan kerana bukan mudah untuk mengukuhkan jenama Search.

“Bergaduh dan terasa hati itu memang berlaku. Jika dalam sebuah keluarga pun berlaku pergaduhan. Cuma, kami mengambil pendekatan tidak memperbesarkan sesuatu isu. Search amat berbeza dan resipi kami kekal bertahan sangat mahal harganya,” kata pemain bass Search, Nasir memulakan bicara.

Tambahnya, walaupun vokalis Search, Amy atau nama sebenarnya Shuhaimi Abdul Rahman juga popular dengan karier solonya, tetapi hal itu langsung tidak menggugat keutuhan Search.

“Persahabatan kami cukup lama. Saya dan Yazid kenal; sejak usia belasan tahun lagi. Apabila Amy mahu menyanyi solo, kami tidak pernah ada halangan kerana dia tahu membahagikan waktu antara kerjaya solo dan juga Search. Tidak ada istilah cemburu, sebaliknya kami saling menyokong,” tutur Nasir.


SEARCH pernah melalui jatuh bangun sebagai anak seni. Keutuhan dan kualiti muzik Search meletakkan mereka di tahap kumpulan legenda pada hari ini.

Apabila diminta berkongsi tentang pengalaman lampau yang tidak boleh dilupakan, seraya itu juga mereka saling tertawa. Barangkali terimbas memori yang cukup lucu. Kata Amy dan Nasir, kenangan paling tidak boleh dilupakan ialah ketika imej rambut panjang penyanyi rock menjadi isu negara. Waktu itu, penyanyi rock didakwa membawa imej yang buruk kepada masyarakat.

Hanya kerana imej rambut panjang, mereka tidak dibenarkan muncul di stesen televisyen dan radio-radio milik RTM. Kemuncaknya pada tahun 1992 apabila rambut panjang Amy dan Awie (Wings) terpaksa dikorbankan dan dipotong secara langsung oleh Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat dalam program Selamat Pagi Malaysia.

“Kenangan paling sinifikan ialah selepas Search popular dengan lagu Isabella. Waktu itu kami memang popular, kami buat konsert setiap minggu. Namun, apa yang memperlahankan perjalanan kami ialah imej rambut panjang yang secara tiba-tiba menjadi isu negara. Kalau diingat balik, memang lucu. Siapa lagi yang pernah dipotong rambut tanpa rela oleh menteri dalam sebuah program siaran langsung di televisyen.

“Walaupun pada mulanya kami protes dan melawan, akhirnya terpaksa mengalah kerana disebabkan isu rambut panjang, banyak penaja menarik diri dan persembahan dibatalkan. Akhirnya muzik rock tenggelam begitu sahaja. Orang tidak tahu, rambut kami turut menyanyi ketika kami buat persembahan. Walaupun begitu, kenangan dipotong rambut merupakan kenangan indah,” tutur Amy sambil tertawa.

Sebelum isu rambut itu berlarutan, Search sedang merakam album Fenomena. Proses rakaman itu turut tergendala apabila mereka tersepit antara konflik dengan syarikat rakaman Polygram Sdn. Bhd. sehingga dibawa ke mahkamah. Sepanjang kes itu berlangsung, Search hampir lumpuh kerana segala perkara membabitkan muzik Search menjadi hak Polygram dan mereka tidak dibenarkan melakukan sebarang persembahan.

Pertama kali di Istana Budaya

Selepas 33 tahun dalam industri muzik, tahun 2014 menjadi tahun keramat buat kumpulan legenda itu apabila buat pertama kalinya mereka akan menggegarkan Istana Budaya pada 4 sehingga 7 Disember depan. Tawaran yang diberikan penganjur Urban Creative Synergy merupakan tawaran yang sangat berharga.

Selepas menyaksikan kejayaan kumpulan seangkatan, Wings terlebih dulu mengadakan konsert di lokasi berpestij itu, kini tiba giliran Search pula.

“Sebenarnya ramai yang tertanya-tanya, bila Search akan buat konsert di Istana Budaya? Bukan kami tidak ditawarkan untuk buat persembahan di Istana Budaya, ada beberapa penganjur telah melamar kami. Bagaimanapun, waktu itu kami terpaksa menolak kerana banyak perkara yang bercanggah dan tidak dapat bekerjasama dengan baik.

“Kami membuat keputusan tidak mahu terburu-buru. Akhirnya, penganjur Creative Synergy membuat tawaran pada waktu yang tepat dan kami telah bersedia. Sebenarnya, ini merupakan impian yang menjadi kenyataan buat anggota Search kerana sudah lama kami idamkan untuk melakukan persembahan di Istana Budaya,” kata Amy.


AMY Search mahu konsert Search di Istana Budaya dikenang sebagai konsert terbaik kumpulan itu.

Walaupun lokasi konsert dipenuhi dengan protokol dan etika berpakaian, tegas Amy, itu bukan satu halangan Search untuk menghiburkan peminat mereka.

“Kami mempunyai pengalaman buat konsert di stadium, padang bola, fun fair dan pelbagai lokasi lain. Di semua lokasi itu, peminat bebas untuk mengekspresikan perasaan mereka ketika menonton konsert. Sama juga di Istana Budaya, bezanya lokasinya lebih selesa, siap dengan tempat duduk dan mempunyai etika berpakaian.

“Saya harap peminat Search akan mematuhi peraturan yang ditetapkan Istana Budaya. Jangan pakai seluar koyak dan mesti pakai baju berkolar. Harus hormati prestij Istana Budaya, itu sahaja pinta saya,” tutur Amy yang akan menyanyi sekitar 20 buah lagu pada konsert itu.




Dalam pada itu Amy mengakui, tekanan yang dihadapi Search untuk menyusun 33 tahun perjalanan muzik mereka ke dalam durasi dua jam sahaja.

“Terlalu banyak lagu yang ingin dipersembahkan kepada peminat. Dua jam itu sangat pendek untuk merumuskan 33 tahun perjalanan Search. Sebab itu sehingga sekarang, kami masih dalam peringkat perbincangan tentang arah tuju konsert itu,” luah Amy.

Meskipun tidak dapat berkongsi lebih lanjut tentang konsert, Nasir pula memberitahu, konsert berkenaan akan turut menyelitkan sebuah segmen khas Search bersama Yazid. Segmen itu sebagai penghormatan istimewa buat pemain drum Search itu yang menghidap penyakit buah pinggang.

“Yazid merupakan anggota dan pengasas kumpulan Search. Mana mungkin dia diketepikan. Walaupun keadaannya kurang sihat, dia tetap akan bersama kami dalam konsert di Istana Budaya nanti. Melihat tahap kesihatannya, kami akan menyediakan seorang pemain drum gantian. Walau apa pun yang berlaku, konsert harus diteruskan,” terang Nasir.

Peminat yang ingin menyaksikan konset Search: Live In Istana Budaya 2014 boleh mendapatkan tiket pada harga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 (VIP). Sebahagian daripada kutipan jualan tiket konsert juga akan disalurlan kepada tabung bantuan masyarakat di Gaza. Tempahan tiket boleh dibuat bermula 15 Oktober ini di laman web www.ticketpro.com.my.
Previous Post Next Post