Awie, Erra terus diburu


BARISAN pelakon teater Takhta 3 Ratu, dari kiri: Beto Khusyairi, Datuk Rahim Razali, Awie, Erra Fazira, Izreen Azminda dan Soo Winci bergambar selepas selesai sidang akhbar majlis tersebut, baru-baru ini.

MERENTAS masa dari era 1990-an hingga kini dua nama besar tanah air, Awie dan Erra Fazira sentiasa menjadi buruan ramai. Begitu juga pada majlis minum petang sempena pengumuman pementasan yang akan sekali lagi menggandingkan dua figura tersebut, teater Takhta 3 Ratu di Restoran Bora Ombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementelah, kedua-duanya diekori isu panas yang menuntut penjelasan daripada mereka. Pertamanya, penarikan diri daripada menyertai peringkat separuh akhir acara pertandingan nyanyian sebuah stesen televisyen tempatan menerusi lagu duet mereka Cinta Makrifat dan keduanya berkait status terkini Erra yang kononnya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka.

Menjelaskan hal pertama, ujar Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, penarikan diri daripada acara berkenaan dianggap wajar memandangkan faktor pengalaman dan pembabitannya dalam industri seni suara sejak 28 tahun lalu. Kata Awie, dia tidak melihat pentas tersebut sebagai satu medan untuk bersaing dengan pe­nyanyi baharu.




“Bukan saya takut, tetapi saya tidak gemarkan format pertandingan nyanyi­an berkenaan dan paling tidak saya gemari adalah perkara baik misalnya persaingan sihat antara penyanyi itu dipolitikkan. Saya perhatikan perkara tersebut sering terjadi terutama yang melibatkan pertandingan nyanyian tidak kiralah program realiti sekali pun.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk tidak berada dalam situasi ber­kenaan dan pada pandangan saya setelah berpuluh-puluh tahun menjadi pe­nyanyi, ukuran saya bukan bergantung pada kredibiliti nyanyian semata-mata sebaliknya pada perasaan bergelar penyanyi itu sendiri.

“Keputusan untuk tidak menyertai pertandingan kali ini kerana merasakan sekarang bukan masanya lagi untuk bersaing tetapi sepatutnya saya menyokong mereka dan menyumbangkan idea sekiranya diperlukan. Hal ini tiada kena-mengena dengan kerisauan reputasi jatuh, saya mahukan industri kita dipenuhi dengan penyanyi yang berbakat dan serba boleh,” jelasnya.

Keputusan Awie juga mempengaruhi Erra yang turut menegaskan kolaborasi menerusi lagu itu adalah tindakan dan hasil usaha bersama. Seandainya salah seorang memutuskan untuk tidak terbabit maka keputusan itu bersifat kolektif.

Sehubungan penarikan diri Awie dan Erra, lagu yang tercetus daripada pementasan Konsert Teaterikal Suara Kita awal tahun ini bakal digantikan oleh penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga, Marsha Milan Londoh.

Lelaki bujang

Sementara itu, Erra ketika ditanya lanjut mengenai perkembangan hubungannya bersama jejaka yang masih enggan didedahkan identiti memberitahu, dia terpaksa membuat pengakuan ber­kenaan bagi mengelakkan timbul fitnah apatah lagi hal itu berkait rapat dengan status dirinya sebagai ibu tunggal sekarang.

“Sejarah saya berkawan tidak pernah saya memandang status sama ada golongan kenamaan mahu pun ahli politik, paling penting hati! Segala cerita saya keluar bersama golongan kenamaan adalah tidak tepat sama sekali.

“Pengakuan ini harus dibuat supaya mengelakkan impak itu lebih teruk pada masa akan datang dan menepis dakwaan yang menampakkan bahawa saya ini seorang kemaruk bercinta. Saya pun tidak mahu ada tekanan dalam proses berkawan dan atas alasan itu saya juga perlu menjaga perimeter privasi saya.

“Setakat ini, saya hanya boleh mendedahkan dia lelaki bujang dan fasa sekarang cuma berkawan. Bagi saya cukuplah lelaki itu bersederhana daripada segala aspek dan saya perlukan seseorang yang boleh membimbing saya, jadi pastilah dia itu berpengetahuan. Untuk ke peringkat selanjutnya saya serahkan pada jodoh dan takdir,” katanya yang tidak mengambil pusing sekiranya jejaka yang berada di sam­pingnya itu berada dalam lapangan seni atau tidak.




Hang Tuah, Tun Teja

Dalam perkembangan lain, menerusi kerjasama sulung antara Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. (milik Erma Fatima), Awie Entertainment Sdn. Bhd. dan Erra Fazira Entertainment Sdn. Bhd., produksi itu bakal mementaskan sebuah karya epik yang mengangkat martabat wanita pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menerusi teater Takhta 3 Ratu.

Tiga watak ikonik yang merupakan isteri kepada Sultan Mansur Shah iaitu Tun Teja, Raden Galuh Chenderai dan Hang Li Po diangkat untuk dipentaskan di Istana Budaya bermula 13 hingga 22 Disember depan.

Walaupun berdepan dengan risiko mementaskan naskhah berat pada saat akhir, baik Awie mahupun Erra, mereka percaya bahawa kerjasama dan kekuatan pelakon yang bakal terbabit bakal menghasilkan sesuatu yang luar biasa pada pementasan tersebut kelak.

“Disember adalah waktu paling gen­ting untuk mana-mana produksi menerbitkan teater, tambah pula persiapan dibuat dalam tempoh yang singkat memandangkan slot yang ada di Istana Budaya juga hanya ada pada tempoh berkenaan. Walaupun berisiko, saya percaya berdasarkan senarai pelakon yang akan terbabit untuk teater Takhta 3 Ratu ini berkredibiliti dan mampu memberikan yang terbaik,” tambah Erra.

Menerusi teater arahan Erma Fatima itu, Erra akan menjayakan peranan srikandi legenda wanita, Tun Teja manakala Awie diberikan tanggungjawab menggalas peranan Laksamana Melaka, Hang Tuah.

Selain Awie dan Erra, teater tersebut turut dibintangi oleh Azri Iskandar (Sultan Mansur), Izreen Azminda (Raden Galuh Chenderai), Soo Wincci (Hang Li Po), Beto Khusyairi (Hang Jebat), Remy Ishak (Megat Terawih), Ellie Suriaty (Mbok Kuriang), Tasha Shilla (Sekar) dan Michael Ang (Gui Ying).
Previous Post Next Post