De Meises lebih popular di Malaysia



DE MEISES bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Biar Saja.

FORMULA untuk band dari negara seberang mencipta nama di Malaysia seringkali difikirkan mudah. Asalkan berwajah tampan biarpun sekadar memiliki satu lagu yang meletup, itu sudah dikira memadai.

Selepas mula dikenali di sini, faktor populariti mana-mana band berkenaan akhirnya pudar sedikit demi sedikit gara-gara lagu sama saja dimainkan di corong-corong radio tempatan. Bukan tidak memiliki lagu lain tetapi barangkali penangannya tidak begitu meresap jiwa berbanding lagu pertama.

Itu belum dikira isu klise berhubung perbezaan dua darjat antara penggiat seni kedua-dua negara yang hangat diperdebatkan sejak dulu. Senang sungguh artis Indonesia cari makan di sini, sedangkan situasi sebaliknya pula berlaku ketika membicarakan mengenai hala tuju dan penerimaan artis Malaysia di sana.




Jika cuba digali satu-persatu dengan lebih mendalam, tidak mudah buat mana-mana penggiat seni melebarkan sayap empayar masing-masing di negara orang. Seperti mana penggiat seni tempatan terpaksa berdepan persaingan sihat antara satu sama lain, senario yang lebih kurang sama juga pastinya terpaksa dihadapi barisan pemuzik Indonesia.

Skrip liku-liku perjuangan bagi band yang menggelarkan mereka sebagai De Meises juga hampir sama. Siapa sangka kumpulan yang berasal dari Cianjur, Indonesia itu hanya menerima percikan aura popular selepas hampir lima tahun memperjuangkan karier seni mereka sebaik ditubuhkan secara rasmi pada 5 Mei 2009.

Naskhah lagu berjudul Dengarlah Bintang Hatiku sememangnya membuka pintu rezeki buat empat anak muda ini iaitu Iman Lukman Asikin (Iman) selaku vokalis; Messias Mochammad Mahdi (Messi) pemain gitar, Neno Juliana (Neno) selaku pemain bass dan Moch Riza Lesdiana Mulyana (Riza) pemain dram dalam usaha mengiktiraf jenama De Meises di persada muzik serumpun.

Percaya atau tidak, De Meises juga mengakui lebih popular di sini berbanding di Indonesia gara-gara penangan lagu itu yang dijadikan runut bunyi (OST) bagi drama tempatan iaitu Ijab dan Qabul yang pernah ditayangkan di negara ini sedikit masa dahulu.

“Kami tidak pernah bermimpi muluk (indah) untuk dikenali di Malaysia. Ia memang sesuatu di luar jangkaan apabila lagu Dengarlah Bintang Hatiku menerima sambutan yang baik di Malaysia termasuk dijadikan cover di YouTube biarpun ia sebenarnya telah lama dicipta sebelum dilancarkan dalam album pertama kami, Dengarlah sekitar tahun 2010,” ungkap Iman membuka bicara dalam satu pertemuan yang diaturkan oleh Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. di ibu negara sempena promosi De Meises di sini baru-baru ini.

Biarpun lebih popular di tempat orang, itu bukan bermakna De Meises sudah lupa asal usul sehingga meminggirkan hasrat sebenar kumpulan muzik itu supaya sentiasa diminati peminat tanpa kekangan sempadan.

“Sebenarnya lagu Dengarlah Bintang Hatiku pernah mendapat sambutan menggalakkan di negara kami sebelum ini, cuma terpaksa berdepan saingan yang cukup sengit band-band lain yang tidak kurang hebatnya di Indonesia sehingga menyebabkan nama kami agak tenggelam.

“Meskipun lebih dikenali di Malaysia, itu bukan bermakna segala-galanya tampak mudah buat kami. Kami telah berusaha keras untuk berada di tahap ini dan saya percaya, ia merupakan jambatan dan batu loncatan buat kami kembali diingati semula oleh peminat di Indonesia,” getus Iman jujur.

Dikenali sebagai Ningrat Band

Mengimbau semula penubuhan De Meises, Messi, 25, memberitahu, segala-galanya bermula apabila dia, Neno dan Irwan (bekas anggota kumpulan De Meises) yang merupakan kenalan kampus di sebuah universiti berhasrat menyertai satu festival muzik yang diadakan di Jawa Barat, Indonesia.

“Kami kemudiannya mengajak Riza dan Iman yang juga merupakan kenalan kami untuk membentuk kumpulan yang pada mulanya dinamakan Ningrat Band. Ternyata, kami benar-benar secocok antara satu sama lain sebelum membuat keputusan untuk bergiat serius dalam bidang seni,” jelas Messi.

Band yang dipengaruhi muzik The Beatles itu juga memiliki jawapan tersendiri mengapa nama tidak mengekalkan nama Ningrat Band.

“Nama Ningrat itu terpacul secara spontan sebelum memasuki festival berkenaan. Ia bermaksud golongan bangsawan yang memiliki darjat tertinggi.

“Setelah berbincang, kami akhirnya bersepakat membuat keputusan untuk menukar nama kepada De Meises kerana bimbang dianggap angkuh jika mahu mengekalkan nama Ningrat,” getus Neno pula.

Riza, 25, pula memberitahu, keputusan menggelarkan kugiran mereka sebagai De Meises dibuat sebaik bakat mereka dikesan seorang produser, Hary Tasman.

“Meises bermaksud butiran coklat, jadi kami harap kami akan disukai seperti mana coklat. Nama itu juga menggambarkan sejarah awal penubuhan kumpulan kami yang ditubuhkan pada bulan Mei,” cerita Riza.


DARI KIRI: Iman, Messi, Riza dan Neno mahu teruskan perjuangan De Meises biarpun tanpa penglibatan Irwan.

Biar Saja sebagai single kedua

Mengakui penangan lagu Dengarlah Bintang Hatiku sudah boleh dianggap sebagai pencetus fenomena, Iman, 26, menjelaskan De Meises kini sedang giat mempromosikan single kedua mereka iaitu Biar Saja yang juga hasil nukilan mereka sendiri.

Ini kerana, menurut Iman, mereka memerlukan kesinambungan supaya peminat kekal mengingati De Meises sampai bila-bila.

“Kami percaya lagu Biar Saja mampu mengulangi kejayaan Dengarlah Bintang Hatiku, sekali gus diterima baik oleh peminat,” jelasnya lagi.

Iman menjelaskan, setiap lagu juga berbeza kerana ia memerlukan penghayatan yang berlainan.

“Genre muziknya barangkali sama tetapi ia mengisahkan sesuatu yang berbeza. Jika lagu Dengarlah Bintang Hatiku lebih menceritakan mengenai kesetiaan, Biar Saja pula mengisahkan bagaimana pasangan masih ikhlas dalam perhubungan biarpun ditinggalkan kekasih,” kata pemuda paling senior dalam kalangan anggota De Meises itu.

Mengakui lebih selesa berkarya dengan material yang dihasilkan mereka sendiri, Iman dan rakan-rakannya tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer sama ada dari Indonesia mahupun Malaysia selepas ini.

“Majoriti lagu-lagu kami sebelum ini juga terhasil daripada pengalaman kami sendiri dan juga teman-teman,” kata Iman sambil memberitahu, mereka kini sedang giat menjalani rakaman album kedua yang dijangka menjengah pasaran pada tahun depan.

Tak kisah disamakan dengan D’Masiv

Skala populariti De Meises belum lagi mencapai tahap maksimum tetapi ‘penyakit’ yang seringkali membelenggu band apabila ada ahli kumpulan mengundur diri sebelum waktunya juga menimpa De Meises apabila Irwan mengucapkan selamat tinggal tahun lepas bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya sebagai seorang akauntan.

Namun, ia bukan bermakna De Meises mengisytiharkan perang terhadap bekas gitaris itu apabila menyifatkan hubungan mereka masih baik biarpun tidak lagi bersatu sebagai satu kumpulan.

“Kami menghormati keputusan Irwan, dia juga banyak membantu kami dalam aspek teknikal sepanjang pembikinan album kedua kami. Buat masa ini, kami selesa dengan berempat saja dan tidak akan mencari pengganti baharu bagi mengisi kekosongan Irwan,” jelas Neno.

Mungkin, ramai juga yang tidak tahu anggota-anggota De Meises juga memiliki ijazah dalam jurusan akauntan dan pengurusan ekonomi.

“Perkara ini subjektif, biarpun tidak meneruskan karier dalam bidang masing-masing, ia bukan bermaksud setiap yang kami lakukan ketika ini tidak membawa sebarang makna dalam kehidupan. Kami memang meminati muzik, selagi ia menguntungkan mengapa tidak untuk diteruskan?,” tegas Riza.

Messi pula percaya peminat di Malaysia dapat membezakan De Meises berbanding satu lagi band dari Indonesia iaitu D’Masiv.

“Sebutan nama kumpulan saja hampir sama tetapi genrenya berbeza apabila rentak lagu kami lebih berunsurkan pop balada,” jelas Messi.

Iman pula mencelah, mereka tidak akan menukar nama kumpulan semata-mata kerana enggan disamakan dengan D’Masiv.

“Jika ramai yang tidak tahu, kami semua memiliki kebolehan menyanyi dengan baik biarpun saya tampil sebagai vokalis utama, jadi itulah keistimewaan De Meises,” katanya.

Ketika cuba mengorek gosip kumpulan ini di alam maya, tidak banyak informasi yang berjaya diperoleh sebenarnya.

Sembunyi status peribadi?

Ternyata, kanvas seni De Meises masih putih suci tanpa sebarang kontroversi setakat ini selain cuma tertawa ketika ditanya mengenai status peribadi masing-masing.

Tidak mustahil, kisah peribadi mereka masih tidak begitu dipedulikan media Indonesia buat masa ini kerana belum cukup popular di sana barangkali.

“Saya percaya status peribadi tidak mempengaruhi sokongan dari peminat. Jika karyanya bagus, peminat pastinya sentiasa memberikan sokongan,” ungkap Iman yang percaya peminat tetap menyokong karier De Meises tanpa dipengaruhi sebarang sentimen tertentu.

Riza pula percaya peminat lebih gemar mengetahui perkembangan seni mereka berbanding kisah peribadi.

“Jika sudah fanatik, mereka tetap tulus memberikan sokongan tanpa dibawa arus. Anggap saja kami masih jomblo (solo),” katanya.

Peminat boleh mengikuti perkembangan De Meises di laman sosial iaitu www.twitter.com/demeisesband_.


Previous Post Next Post