TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja penyanyi bersuara serak-serak basah, Nomad dikhabarkan mahu berhenti daripada meneruskan karier nyanyian yang sudah lebih setahun dilayarinya.
Bagaimanapun, menurut Nomad, dia sebenarnya bukan mahu berhenti terus daripada menyanyi seperti apa yang tersebar dalam blog-blog hiburan ataupun akhbar.
Katanya, ada berlaku sedikit kesilapan menerusi berita mengenai hasratnya untuk berhenti daripada bidang nyanyian itu.
“Saya bukannya berhenti terus. Saya cuma berehat seketika sahaja. Sekarang saya juga masih lagi menerima undangan untuk membuat persembahan nyanyian. Cuma saya berhasrat untuk kurangkan aktiviti seni buat sementara waktu.
“Keputusan untuk berehat sekejap itu dibuat oleh saya sendiri. Ia tiada kena mengena dengan syarikat Indigital yang menguruskan perjalanan seni saya selama ini,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, dakwaan yang mengatakan dia mahu berhenti menyanyi kerana tidak mampu membuat persembahan secara langsung juga adalah tidak benar.
“Saya sendiri terkejut apabila keluar laporan sedemikian. Mungkin ia disalah tafsir. Sebenarnya, saya masih boleh membuat persembahan dengan menyanyi secara langsung.
“Cuma, saya mempunyai masalah gugup apabila berdepan dengan kamera. Jika persembahan di hadapan khalayak ramai tanpa kamera, saya masih boleh menyanyi seperti biasa.
“Itulah dilema yang saya hadapi selama ini apabila berdepan kamera sampaikan saya sendiri tidak tahu kenapa terjadi begitu,” katanya.
Jelas Nomad lagi, masalah yang dihadapinya itu membuatkan pihak pengurusannya ada memberikan teguran dan nasihat agar dia memperbaiki kelemahan dirinya itu.
“Saya dah cuba yang terbaik, cuma berasa buat masa sekarang biarlah saya berehat sebentar dulu untuk memperbaiki diri. Keputusan ini memang saya sendiri yang buat, tidak ada kena mengena dengan pihak pengurusan,” jelasnya.
Menurut pelantun lagu Tetap Menantimu itu, keputusan untuk mengurangkan aktiviti nyanyian dibuat selepas melihat prestasi dirinya masih lagi sama seperti dulu tanpa ada perubahan positif.
“Saya sendiri rasa yang nyanyian saya bermasalah apabila di depan kamera. Saya rasa lebih baik perbaiki diri dulu. Kalau diteruskan juga, bimbang ia akan mencemarkan imej pihak pengurusan yang selama ini membantu saya,” katanya.
Menurut Nomad, buat masa sekarang dia akan menetap di Kemaman, Terengganu bersama neneknya untuk menguruskan perniagaan keluarga.
“Apabila saya sudah bersedia, saya akan kembali semula aktif menyanyi. Cuma buat masa ini, banyak masa saya di Terengganu sahaja,” ujar nama pemilik sebenar Nur Mohd. Alieff Ayub itu.
Ditanya mengenai pandangan keluarga mengenai keputusannya itu, kata Nomad, ahli keluarga menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada dia untuk membuat keputusan demi masa depannya.
“Mereka akur dengan apa yang saya mahu lakukan,” jawabnya.
Dalam perkembangan lain, menurut Nomad, dia juga dalam perancangan untuk tampil dengan single terbaharu pada tahun depan.
“Ada dua buah lagu yang sudah saya rakam. Cuma belum tahu bila ia mahu diterbitkan. Mungkin dalam pertengahan tahun depan apabila saya sudah betul-betul bersedia,” katanya menutup bicara.