Sudut pandang Erma, Khir



BAGI Erma dan Khir, LLS2 lebih kepada program bercorak permainan.

Selepas lapan kumpulan terdiri daripada orang awam, pelawak dan artis bersaing menunjukkan kehebatan masing-masing, akhirnya tiga kumpulan berjaya ke pentas akhir Liga Lawak Superstar musim kedua (LLS2) pada malam ini.

Tiga kumpulan yang berjaya terdiri daripada Muka Cari Makan (Pian Kepoh, Naz dan Uncle Jo), Kami Tuan Rumah (Wan Mmmmm, Zoey Rahman dan Mirul) serta Melodrama (Izu Kepoh, Zulin Aziz dan Ain).

Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘tuah kerbau gemuk, tuah lombong berisi, tuah manusia semuafakat’. Itulah yang boleh dikatakan nasib kumpulan Kami Tuan Rumah yang akhirnya berjaya mendapat peluang kedua untuk bersaing dengan dua lagi kumpulan.

Hakikatnya, kata Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Siti Nurlisia Mohd. Nadzri, peringkat separuh akhir yang berlangsung Ahad lalu sebenarnya hanya melayakkan pasukan Muka Cari Makan dan Melodrama untuk berentap di pentas akhir.




“Sebelum ini, hanya pasukan Melodrama diangkat sebagai pasukan yang layak ke peringkat akhir bersama Muka Cari Makan. Ini kerana, dalam permainan ‘Karaoke 3 Uncle’ ketiga-tiga ahli kumpulannya yang terdiri daripada Zulin Aziz, Izu Kepoh dan Ain bersungguh-sunguh menyanyi walaupun diduga dengan urutan refleksologi.

“Bahkan, Melodrama juga dilihat berjaya bertahan apabila mereka diletakkan dalam akuarium berisi katak dan belut serta dikehendaki mencari cicak di sebalik cacing.

“Malangnya, bagi kumpulan Kami Tuan Rumah pula, nyanyian mereka tidak konsisten menyebabkan penjurian malam itu tidak menyebelahi mereka. Memandangkan Kami Tuan Rumah mengumpul markah seri dengan kumpulan Melodrama, maka pihak TV3 dan produksi Vision Works Sdn. Bhd. bersetuju untuk memberi peluang kedua kepada mereka,” jelasnya.

Jika tahun lalu, pasukan OMG dianggotai Sathiya, Akim Ahmad dan Anas Redzuan berjaya merebut gelaran juara, siapa di antara Muka Cari Makan, Melodrama dan Kami Tuan Rumah yang bakal membawa pulang hadiah lumayan RM200,000?

Malam akhir Liga Lawak Superstar musim kedua yang akan berlangsung di De Showroom, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam itu turut menyediakan hadiah wang tunai RM100,000 untuk tempat kedua dan RM50,000 untuk tempat ketiga.

Sensasi Bintang berpeluang menemu bual dua juri tetap program tersebut, Erma Fatima dan Khir Rahman mengenai sudut pandang mereka terhadap ketiga-tiga kumpulan yang bakal berentap pada malam ini.

SENSASI BINTANG: Bagaimanakah kalian melihat prestasi persembahan ketiga-tiga kumpulan yang layak ke pentas akhir?

ERMA: Saya melihat prestasi persembahan ketiga-tiga kumpulan meningkat dari segi usaha tetapi tidak banyak pada kreativiti. Kalau dari segi kreativiti, ia belum pada tahap yang saya mahukan.

KHIR: Saya lihat ketiga-tiga kumpulan mempunyai kekuatan. Melodrama, misalnya, mereka sangat berbakat. Walaupun mereka bukan pelawak sebenar, namun mereka ada bakat melawak. Mereka juga berkemampuan untuk melakukan apa sahaja. Bagi Muka Cari Makan pula, saya melihat kumpulan itu mampu melakukan perkara di luar jangkaan. Walaupun, seorang ahlinya, Uncle Jo (orang awam) dilihat banyak kelemahan, namun dua lagi ahli kumpulan itu iaitu Pian Kepoh dan Naz bijak menutupi kelemahan Uncle Jo. Bahkan, mereka menjadikannya seorang yang mempunyai kelebihan dan disayangi penonton. Sementara itu, kumpulan Kami Tuan Rumah pula mempunyai kelebihan apabila mempunyai ahli Zoey (pelakon) yang berwajah kacak. Zoey berjaya menarik undian daripada penonton.



GANDINGAN Erma dan Khir sebagai juri dalam LLS2 menghidupkan lagi program tersebut.

Apakah intipati yang perlu ada pada setiap kumpulan di pentas akhir malam ini?

ERMA: Mereka perlu ada kreativiti. Sayangnya, mereka tidak berfikir di luar kotak dan tidak menggunakan tugasan yang diberi dengan baik. Mereka juga tidak menjual bakat yang ada dan cuma sekadar buat sahaja. Pada malam akhir ini, saya harapkan mereka bekerja secara berkumpulan. Salurkan bakat dan kreativiti untuk memantapkan kumpulan masing-masing. Sebagai contoh, kumpulan Muka Cari Makan, saya kasihan Naz dan Pian Kepoh kerana mendapat Uncle Jo dalam kumpulan itu. Bagaimanapun, mereka bijak menjadikan Uncle Jo itu seorang yang pekak dan gila. Walaupun tidak mempunyai kelebihan seperti dua lagi ahli, Uncle Jo pandai membawakan watak-watak yang digalasnya. Saya anggap itu sebagai kreativiti dan lelaki itu membawa tuah kepada kumpulan itu.

KHIR: Mereka kena besarkan lagi dari sudut kreativiti masing-masing. Selain itu, mereka juga perlu cepat dalam berfikir dan bertindak dalam sesuatu tugasan.

Antara ketiga-tiga kumpulan, yang manakah mempunyai kelebihan untuk menjuarai Liga Lawak Superstar Musim Kedua malam ini? Kenapa?

ERMA: Setiap kumpulan mempunyai kelebihan masing-masing. Cuma, mereka harus mempertaruhkan lebih kreativiti di pentas akhir nanti. Kita tahu, mereka ada bakat dan mampu melakukan yang terbaik.

KHIR: Saya rasa Melodrama mempunyai lebih kelebihan berbanding dua lagi kumpulan. sebabnya, ketiga-tiga ahlinya mempunyai bakat komedi.

Apakah pendapat kalian mengenai program Liga Lawak ini. Adakah ia dapat mencungkil pelapis pelawak di Malaysia?

ERMA: Saya tidak rasa Liga Lawak adalah platform untuk mencungkil pelawak. Ia hanya sebuah program yang melibatkan permainan, bukan program mencari pelawak.

KHIR: Saya rasa program ini menampilkan beberapa permainan yang mencabar. Ia berisiko tetapi mereka selamba melakukannya. Setiap ahli kumpulan juga terdiri daripada orang awam, pelawak dan artis yang mana mereka tidak kenal antara satu sama lain tetapi mereka mampu bekerjasama dengan baik.

Beralih pada soalan lain, apakah projek seni terbaharu kalian?

ERMA: Selepas ini, saya akan sibuk menghasilkan teater Takhta yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada bulan Disember ini. Ia dibintangi oleh Erra Fazira, Awie, Soo Wincci, Beto Kusyairy dan Datuk Rahim Razali. Ia asalnya sebuah drama yang kini dibawa ke pentas teater.

KHIR: Saya sedang sibuk dengan penggambaran Rock Ooo 3. Selain itu, syarikat saya, Suar Channel Sdn. Bhd. bersama dengan syarikat milik Sein, Camwerks Studio Sdn. Bhd. akan menghasilkan filem Bangunan. Filem tersebut berdasarkan kisah sebenar yang terjadi kepada dua individu berbeza.


Previous Post Next Post