Janji dan hasrat Firman



Hikayat hidup seorang lelaki berusia 25 tahun ini barangkali mampu menjadi inspirasi banyak orang. Dua tahun hidup hampir tanpa arah tuju, tidak punya pekerjaan serta tidak pulang ke rumah ibu dan bapanya hanya kerana belum mampu membuktikan kemampuannya menampung keluarga, semua itu berubah dalam sekelip mata.

Bermula dengan keberaniannya menyertai uji bakat Akademi Fantasia 2014 (AF2014) yang diadakan lebih 10 minggu lalu, hari ini jalan yang direntas Firman atau nama sebenarnya Mohd. Firman Bansir jauh berubah.

Bukan sahaja berjaya meloloskan diri menjadi salah seorang pelajar program realiti tersebut, sebaliknya, tanggal 9 November 2014 boleh disifatkan sebagai tarikh ‘kelahiran semula kehidupan Firman’. Dia telah dijulang sebagai juara AF2014!




Seandainya memegang gelaran juara, Firman sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk menghantar kedua ibu dan bapanya ke Mekah bagi mengerjakan umrah. Firman turut berjanji untuk menjadikan industri muzik sebagai platform untuk mengubah cara hidupnya sekeluarga jika dia ditakdirkan berjaya memenangi pertandingan tersebut.

Ternyata, takdir telah mengizinkan jejaka yang berasal dari Sabah itu untuk melunaskan janji-janjinya. Hasil kemenangannya, dia memperoleh wang tunai RM50,000, sebuah kereta Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo (AT), pakej percutian ke Osaka, Jepun untuk seorang tajaan HNH Tours Sdn. Bhd., serta trofi sumbangan Astro.

Usai dikalungkan gelaran juara pada Konsert Akhir AF2014 yang berlangsung penuh meriah di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, Firman mengakui berasa bersyukur kerana kemenangannya itu dapat membuka peluang kepadanya membalas budi serta mengubah nasib kedua ibu dan bapanya.

“Saya berasa sungguh bersyukur kerana diberi peluang untuk sampai sejauh ini. Sememangnya, saya tidak menyangka bakal menyandang gelaran juara AF2014,” ujarnya membuka bicara sambil memberitahu bahawa AF2014 merupakan rancangan realiti pertama yang pernah disertainya.

Ketika ditanya mengenai duit kemenangan yang diterimanya malam itu, Firman menjelaskan, selain mahu menghantar ibu dan bapanya ke Mekah, dia juga berhasrat mendermakan sejumlah wang tersebut ke tabung bantuan Palestin.

“Saya memang telah berniat dan berjanji untuk menghantar ibu dan bapa saya untuk mengerjakan umrah jika saya sudah berkemampuan.

“Selain itu, saya turut merancang untuk mendermakan sejumlah wang ke tabung bantuan Palestin. Saya berasa sungguh terkesan dengan apa yang terjadi pada mereka. Sebagai saudara seagama, saya sedar ini adalah salah satu tanggungjawab yang saya perlu tunaikan,” jelas Firman.


FIRMAN berkongsi kegembiraan bersama bapanya, Bansir Aban (kiri) dan ibunya, Painah Tambanan selepas diumumkan sebagai juara AF2014.

Tiada pekerjaan tetap

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Firman yang diberi tanggungjawab menyanyikan lagu single ciptaan M. Nasir berjudul Di Pintimu itu berkata, dia tidak pernah mempunyai sebarang pekerjaan yang tetap sebelum dikenali menerusi AF2014.

Graduan jurusan diploma kewangan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah itu juga mengakui, pernah berjanji hanya akan pulang ke kampungnya di Tawau hanya setelah dia sudah mempunyai kerjaya.

“Agak sukar untuk mencari kerja ketika mula-mula menamatkan pengajian dahulu. Saya pernah bekerja sebagai pelayan di kafe Starbucks serta menyanyi secara basking di jalanan selama setahun setengah.

“Bagi mengelakkan sebarang cemuhan daripada jiran tetangga kerana masih tidak dapat membantu menyara keluarga, saya nekad untuk merantau ke Kota Kinabalu selama dua tahun bagi mencari peluang pekerjaan.

“Tetapi, tanpa disangka, ujibakat AF2014 yang saya sertai di Kota Kinabalu pertengahan tahun lalu telah memberi saya peluang untuk mengecapi apa yang saya dapat malam ini,” tutur Firman yang masih dalam perancangan untuk membawa keluarganya tinggal di Kuala Lumpur jika keadaan kewangannya telah stabil kelak.

Muzik rock

Melanjutkan perbualan tentang hala tuju muzik yang bakal diselusurinya, anak kelapan daripada 11 adik-beradik itu gemar bereksperimental dengan genre muzik rock.

Katanya, selain mengalunkan lagu-lagu berentak balada rock, dia juga gemar membawakan lagu-lagu berentak pop.

“Keutamaan muzik saya tertumpu pada muzik rock balada. Tetapi, saya masih boleh menyanyi lagu berentak perlahan dan lagu-lagu pop lain,” katanya sambil memberitahu bakal menjadikan muzik sedemikian sebagai panduan utama jika diberi peluang untuk merakamkan lagu pada suatu hari nanti.



FIRMAN berjaya mencuri tumpuan apabila dia mendendangkan lagu Kejoraku Bersatu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Search.

Saya terima kritikan – Aman

Akademi Fantasia sememangnya tidak pernah lekang daripada elemen kejutan. Setiap musim, ada sahaja kejutan yang datangnya sama ada daripada pihak fakulti mahupun penonton. Musim 2014 tidak terkecuali.

Pelajar yang sering mendapat kritikan daripada juri, Aman, membuat kejutan apabila undian yang diterimanya berjaya meletakkannya pada posisi naib juara AF2014. Dia pernah ‘ditampar’ dengan kritikan daripada Datuk Ramli MS. Juri tetap AF2014 itu menyatakan bahawa dia tidak sesuai untuk berada dalam industri hiburan.

Begitupun, Aman atau nama sebenarnya, Mohd. Razman Abd. Aziz, 21, tidak menolak kenyataan yang telah tersurat itu. Bagi Aman, itulah rezeki yang telah ditentukan Tuhan untuknya.

Tambah jejaka yang berasal dari Melaka itu, tempat kedua yang diraihnya dalam AF2014 itu menjadi pemangkin semangat untuknya terus memperbaiki diri menjelang hari muka.

“Saya terima kemenangan ini dengan lapang dada. Walaupun ramai yang mengkritik cara nyanyian saya, namun saya mengambil kritikan tersebut sebagai sesuatu yang positif.

“Lagipun, saya masih mentah dalam dunia nyanyian. Saya akan berusaha untuk terus belajar dan memperbaiki setiap kelemahan diri,” jelasnya.

Selain Firman, Aman juga membawa pulang sebuah kereta jenis Perodua MyVi 1.3 Auto Standard (XT), wang tunai sebanyak RM30,000, pakej percutian ke Osaka, Jepun serta trofi.




Saya diserang panik – Nuha

Sepanjang persembahan berlangsung, kesemua pelajar dilihat teliti dalam memberikan persembahan yang terbaik dalam memenangi undian penonton. Namun, entah di mana silapnya, peserta yang berasal dari Perak, Nuha, sebaliknya memberi kejutan kecundang kepada penonton yang selama ini menyokong perjuangannya.

Ketika menyanyikan lagu tugasannya, Beribu Sesalan, Nuha atau nama sebenarnya, Syamila Nuhair Zainordi, 21, gagal mengingati lirik lagu.

Tiga kali tersangkut, gadis itu mengakui diserang panik ketika berada di atas pentas. Nuha yang hanya pasrah menduduki tangga keempat AF2014 menjadikan memori pahit itu sebagai teladan untuk lebih fokus pada masa akan datang.

“Saya sangat kecewa terhadap apa yang berlaku. Memang saya berdepan ketakutan ketika berada di atas pentas, tanpa disangka, perasaan itu menyerang ketika saya beraksi di pentas final. Saya terus panik.

“Saya anggap insiden itu sebagai satu pengajaran agar saya lebih fokus,” katanya.

Masih memegang status mahasiswi dalam pengajian muzik di UiTM Shah Alam, pelantun lagu Kali Pertama itu merancang menyambung pengajiannya yang baru sahaja memasuki semester ketiga.

“Insya-Allah, saya akan cuba menamatkan pengajian saya. Pada masa yang sama, saya akan mengembangkan karier saya sebagai penyanyi dan membantu menyara keluarga,” katanya lagi.


LIMA peserta terbaik AF2014 bergambar bersama trofi yang dimenangi selepas tamat Konsert Akhir AF2014, Ahad lalu.

Selain hadiah wang tunai berjumlah RM15,000, pakej percutian ke Osaka dan trofi, Nuha turut menerima RM10,000 bagi Anugerah Personaliti D’Herbs yang diberikan atas perkembangan positifnya sepanjang berada di AF2014.

Pada malam itu juga, pelajar yang diserap masuk pada konsert kesembilan tempoh hari, Adel atau nama sebenarnya, Adeline Royce Masidah, 21, hanya mampu meraih tempat kelima dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, pakej percutian ke Osaka, serta trofi.

Sementara itu, Ikhwal Hafiz Ismail, 22, atau Ewal selesa di tangga ketiga dan membawa pulang wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Osaka, Jepun, dan trofi.

Konsert Akhir AF2014 turut diserikan dengan kehadiran Amy Search yang dilantik sebagai juri jemputan. Selain itu, kumpulan Bunkface, Pita Hati, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu merupakan barisan artis jemputan yang hadir memeriahkan konsert.

Sepintas lalu, AF2014 yang menutup tirai pada hujung minggu lalu masih boleh disifatkan sebagai sebuah musim memberangsangkan berbanding pencapaian AF2013 yang serba hambar dan tidak mampu menyerlahkan waima juaranya untuk dipuja peminat muzik masa kini.
Previous Post Next Post