Marsha tunggu seru


AKUI Marsha, dia tidak menolak untuk berkahwin jika jodohnya bersama kekasih sudah sampai.

KISAH cinta penyanyi dan pelakon popular Marsha Milan Londoh, 29, tidak pernah hilang daripada radar dunia hiburan. Putus dan berganti kasih seorang demi seorang lagi jejaka istimewa dalam hidupnya, sesuatu yang pasti wanita dengan darah campuran Kazadan-Dusun ini hanya tumpah kepada jejaka berketurunan Melayu.

Lama kisah cinta pelakon filem Laga ini tidak mencuri perhatian, terbaharu, keintiman Marsha bersama seorang jejaka Melayu yang sudah dikenalinya sejak lapan tahun lalu dikatakan sudah beralih ke fasa yang lebih serius.

Bagaimanapun, bekas peserta program pencarian bakat Akademi Fantasia musim ketiga itu masih enggan memberikan sebarang kata putus mengenai identiti sebenar buah hatinya itu.

Menerusi ruangan gosip sebuah akhbar mingguan tempatan, pelantun lagu Untuk Terakhir Kali itu dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki tersebut pada tahun hadapan. Namun, atas dasar perbezaan agama, Marsha dikatakan masih menanti ‘seru’. Waktu yang tepat belum tiba sementara hati keluarga juga harus menjadi keutamaan.

Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, pelakon drama bersiri Benci VS Cinta itu mengakui sememangnya sedang menyulam cinta dengan lelaki Melayu yang bergelar usahawan itu. Bimbang kenyataannya disalah erti, Marsha tidak mahu terlalu yakin untuk meletakkan perancangan yang pasti apabila disoal tentang jodohnya bersama lelaki yang dua tahun lebih muda daripadanya itu.

Bagaimanapun kata Marsha, jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan kekasihnya itu, dia tidak akan menolak untuk segera berkahwin.




Artis Meletop!: Benarkah Marsha bakal mengakhiri zaman bujang bersama kekasih pada tahun hadapan?

MARSHA: Saya tidak meletakkan sebarang perancangan untuk berkahwin pada tahun hadapan. Buat masa ini, banyak lagi yang saya inginkan dalam kerjaya. Tetapi, jika sudah ditakdirkan untuk bertemu jodoh dengannya, saya tidak pernah menolak.

Menerusi ruangan gosip dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, anda dikatakan sangat berhati-hati dengan urusan perkahwinan kerana perbezaan agama dan akan memeluk Islam seminggu sebelum berkahwin? Benarkah dakwaan tersebut?

Saya tidak boleh memberikan sebarang komen tentang perbezaan agama kami. Perkara itu sangat sensitif dan saya harus menjaga hati kedua orang tua saya.

Anda merupakan seorang yang ceria, namun, sejak akhir-akhir ini anda kurang berkongsi cerita tentang buah hati. Mengapakah anda bertindak sedemikian?

Dalam percintaan saya sebelum ini, banyak yang saya kongsikan bersama peminat. Saya sering memuat naik gambar ke laman media sosial. Akibatnya, apabila sudah berpisah, gambar-gambar tersebut akan dijadikan modal untuk ruangan gosip. Dari situ, saya banyak belajar untuk menjadi lebih ‘tertutup’ untuk berkongsi cerita cinta saya sekarang. Namun, saya tidak pernah menipu peminat tentang siapa teman istimewa saya.



GADIS ini lebih selesa menyimpan kisah cintanya daripada pengetahuan umum kerana bimbang dijadikan modal ruangan gosip jika hubungan mereka tidak menjadi.

Sudah berapa lama kalian berkenalan?

Kalau mahu dihitung tempoh perkenalan, saya sudah mengenalinya sejak lapan tahun yang lalu. Kami berkenalan setelah bertemu dalam sebuah majlis. Hubungan kami semakin serius dan boleh dikatakan, saya betul-betul rapat dengannya sejak lebih setahun yang lalu.

Bilakah anda akan memperkenalkan kekasih kepada khalayak umum?

Jika benar jodoh saya sudah sampai dan saya sudah bersedia untuk melangkah ke tahap yang seterusnya, saya akan memperkenalkannya kepada umum. Kurang elok jika saya beritahu sekarang, tetapi akhirnya hubungan tidak menjadi. Akhirnya, kedua-dua pihak yang akan menanggung malu.

Kekasih anda bergelar seorang usahawan, adakah dia seorang yang bersifat terbuka dengan kerjaya anda sebagai pelakon dan penyanyi?

Dia memang seorang yang bersifat terbuka. Ketika mula-mula berkenalan lagi, saya berjumpa dengannya sebagai seorang pe­nyanyi dan pelakon. Justeru, dia tidak mempunyai masalah ekoran perbezaan karier kami berdua. Cuma, dia masih cuba membiasakan diri dengan jadual kerja saya yang tidak menentu.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya sedang dalam proses mencari lagu baharu untuk dirakamkan sebagai single seterusnya. Dalam pada itu, saya juga sedang sibuk menerima undangan untuk menjayakan persembahan nyanyian dalam majlis-majlis korporat.


Previous Post Next Post