Krisdayanti terus positif


KRISDAYANTI selalu mengambil sikap positif apabila dilanda dengan pelbagai dugaan.

JIKA mahu diukur kekerapan kisah kurang manis yang diperkatakan tentang dirinya, mungkin ia tidak sehangat kisah-kisah selebriti lain.

Krisdayanti dan sensasi bagai begitu sebati. Akibat sifat keterbukaannya, bekas isteri kepada penyanyi Anang Hermansyah itu menerima kecaman yang hebat oleh para peminat di Indonesia.

Bagaimanapun, bintang itu langsung tidak melenting dengan cakap-cakap negatif yang dilemparkan kepadanya.

Bahkan, penerima anugerah Artis Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 itu terus positif terhadap cemuhan yang masih dilemparkan kepadanya, termasuk dilabel dengan jolokan seperti sampah moral yang ditulis dalam sebuah ruangan pojok baru-baru ini.




“Bagi saya, tulisan-tulisan seperti itu biasa diterima oleh individu yang bergelar anak seni. Saya tidak mengambil pusing tentang perkara berkenaan apatah lagi melenting ketika mendengarnya.

“Lagipun, artikel berkenaan disiarkan tanpa nama penulis menerusi ruangan pojok. Jadi, ia bukan masalah yang besar bagi saya.

“Bukan semua media terus menghentam saya. Justeru, saya perlu terus memikirkan masa hadapan dan melupakan kisah silam yang telah berlalu,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan Hafiz Suip sebagai penyanyi undangan Konsert Krisdayanti Live In KL 2014 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Cobalah Untuk Setia itu, beliau tidak menyangka, sifat terbukanya itu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada khalayak umum.

“Saya selesa untuk bercakap tentang apa sahaja supaya tidak disalah ertikan.

“Namun, tidak sangka perkara tersebut menjadi isu dalam kalangan peminat. Saya hanya manusia biasa yang tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan,” tutur ibu kepada Titania Aurelie Nurhermansyah, 16, Azriel Akbar Hermansyah, 14, Ariannha Amora Lemos, 3, dan Kellen Alexander Lemos, 2, itu.

Pesan kepada Auriel

Ketika berbicara perihal keluarganya, anak sulung Krisdayanti, Titania Aurelie Nurhermansyah atau lebih popular dengan nama pentas, Aurel Hermansyah, dilihat mula mengikut jejak langkah ibunya.

Memulakan karier sebagai penyanyi pada tahun 2010 menerusi album Tanpa Bintang, Auriel juga tidak terlepas daripada dikaitkan dengan gosip cinta.

Pernah dikatakan menjalin hubungan dengan anak kepada aktres Tamara Bleszynski, Teuku Rassya, Auriel kini dikaitkan dengan seorang lelaki bernama Tommy Rumengan.

Ditanya mengenai situasi anak sulungnya yang sudah pandai bermain cinta,penyanyi ini memberitahu beliau sering menasihati Auriel supaya berhati-hati dalam berkawan dan sentiasa mengingati kedua ibu dan bapa dalam segala hal.

“Saya banyak berpesan kepada Auriel supaya tidak mengambil kesempatan terhadap apa yang telah saya berikan kepadanya.

“Selain itu, saya juga turut mengingatkan supaya jangan terlalu leka tentang hal cinta sehingga menyesal pada kemudian hari,” ujarnya.

Pun begitu, beliau tidak sabar untuk beraksi bersama anaknya menerusi konsert solo pertama yang bakal diadakan Plenary Hall, KL Convention Centre, pada 22 November depan.

“Saya berasa tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan Auriel. Pada malam itu nanti, kami akan berduet menerusi lagu-lagu yang pernah saya popularkan bersama Anang,” jelasnya.

Persiapan

Melanjutkan perbualan mengenai konsertnya itu, KD berkata, banyak segmen menarik yang bakal dipertontonkan khas buat peminat yang sudah lama menantikan persembahan solo daripadanya.

“Kali terakhir saya beraksi menerusi Konsert 3 Diva. Justeru, pada konsert Krisdayanti Live In KL 2014 ini, banyak kelainan yang bakal dipersembahkan kepada penonton.

“Antaranya ialah segmen Broadway, yang menampilkan lagu-lagu rancak saya yang telah disusun semula. Selain itu, saya juga bakal menyanyikan beberapa lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi segmen tribute.

“Secara keseluruhan, konsert ini banyak menampilkan elemen berbeza dan unik sesuai dengan perubahan muzik semasa,” jelas KD.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pemilihan Hafiz sebagai artis undangan,beliau melahirkan rasa teruja untuk berkolaborasi dengan penyanyi muda berbakat besar itu.

“Dia sangat berbakat dan suaranya bagus sekali. Saya mula jatuh cinta pada suaranya selepas mendengar lagu Ombak Rindu menerusi YouTube.

“Ketika berlangsungnya konsert itu nanti, saya akan membawakan lagu tersebut serta lagu Cinta.

“Lagu Cinta akan diubah sedikit modulasinya agar bertepatan dengan vokal milik Hafiz,” jelasnya lagi.

Dianjurkan oleh One Drop Perfumes, Konsert Krisdayanti Live In KL bakal diadakan pada 22 November depan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pukul 8.30 malam.

Tiket-tiket berharga RM98 hingga RM1,088 boleh didapati menerusi www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-9222 8111.


Previous Post Next Post