REUNION Kembara daripada dua generasi (dari kiri), Md. Shah selaku pemain keyboard, M. Nasir (vokal utama), A. Ali (gitar dan vokal), S. Sahlan (vokal), Zoul (gitar dan vokal) dan Cheman (bass). Mereka akan menggegarkan Istana Budaya bermula 21 hingga 23 November nanti. Kredit gambar: Luncai Emas.
PELUKIS dan penulis lirik terkenal, S. Amin Shahab pernah mengumpamakan Kembara itu sebagai lukisan. Ia bermula dari satu titik ke satu titik yang lain dan membentuk satu perjalanan yang pelbagai rupa dan beraneka warna. Samalah juga seperti riwayat kumpulan Kembara itu sendiri.
Bermula dengan nawaitu seni, pemuzik yang menyatu aras di Kota Singa itu merentas sempadan tanpa melangkau budaya dan bangsa. Mereka menguasai tanpa perlu menjadi penjarah. Bahkan, mereka membajai emosi dan jiwa khalayak marhein dengan puluhan mungkin ratusan lagu-lagu kerakyatan yang didendangkan.
Tanpa mengenal apa itu seni dan kejituan karya dalam industri muzik, Kembara di gegendang telinga sesetengah anak generasi milenium masa kini mungkin kedengaran seperti sebuah legenda.
Nama Kembara itu besar dan hebat, tetapi di mana, bagaimana, siapa dan segagah mana permainan pencak muzik mereka mampu memaku dan melonjak keghairahan penggemar muzik, keasyikan itu hanya dapat dibayangkan oleh pengikut Kembara sahaja. Untuk khalayak muzik generasi baharu, legenda Kembara hanya dapat disaksikan menerusi klip-klip video di YouTube yang gambarnya tidak secanggih klip video penyanyi zaman ini.
Sesekali Kembara dimunculkan atas nama reunion, itu pun sebagai mengisi slot atau penutup acara seperti yang berlaku semasa sebuah acara anugerah hiburan tidak lama dahulu.
Hanya tahun lepas, reunion Kembara bertaring tajam. Konsert Ekspres Rakyat Kembara di Singapura bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Ketika itu, peminat yang sekian lama mendambakan Kembara, sama-sama menyanyi girang. Setinggi mana keterujaan peminat, segunung juga hasrat Kembara untuk kembali beraksi seperti zaman kegemilangan mereka dahulu sekitar awal 1980-an dahulu.
Lima tahun merancang dan konsert di Singapura pada Mac 2013 menjadi obor pembakar semangat. Pentas Istana Budaya, Kuala Lumpur pula menjadi dermaga pelabuhan kepada bahtera Kembara setelah 28 tahun muzik mereka belayar tanpa pelabuhan yang selayaknya dipanggil konsert.
Menamakan konsert pada 21 hingga 23 November nanti sebagai Konsert Hati Emas Kembara, persembahan yang dibawakan oleh Luncai Emas Production itu bukan sekadar sebuah persembahkan malah akan tercatat sebagai jurnal epik. Ia juga sebuah hikayat seribu satu malam, tentang riwayat sebuah kumpulan yang sudah melalui evolusi muzik sejak era 1980-an, 1990-an sehinggalah sekarang.
“Keterujaan paling besar buat kami ialah nostalgia yang telah dilalui dan dirasai oleh kami. Nostalgia itu yang mahu kami kongsikan dengan peminat,” getus Datuk M. Nasir, 57, yang masih menjadi peneraju Kembara.
Umum tahu, sejak tahun 1984, A. Ali, 60, dan S. Sahlan, 57, telah memilih untuk bergerak solo. Setelah album Seniman Jalanan pada tahun 1986, M. Nasir sendiri banyak meneruskan karier sebagai komposer dan lebih berjaya di lapangan solo. Survival Kembara bagaimanapun diteruskan dengan kemasukan Zoul, 53, Md. Shah, 59, Cheman, 60, yang sebelum itu sememangnya sudah bersama-sama dengan Kembara sebagai pemuzik undangan.
Untuk konsert di Kuala Lumpur nanti, Kembara sekali lagi menyaksikan reunion Kembara daripada dua generasi itu. Jika di Singapura masih ada peminat yang baru pertama kali menyaksikan konsert Kembara, di Kuala Lumpur nanti, bilangan kelompok itu pastinya bertambah.
“Saya sempat menjadi penonton kepada konsert Kembara di Universiti Kebangsaaan Malaysia semasa saya bergelar pelajar dahulu. Nasib baik saya sempat tengok konsert Kembara, kalau tidak kempunan,” jelas Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaari yang turut hadir semasa sidang media Kembara baru-baru ini.
“Walaupun kami (Kembara) dikatakan ada dua generasi, tetapi umur kami lebih kurang sama. Kalau ditanya tentang energi, kami memang kena buat sesuatu, ambil ubat contohnya untuk kekal bertenaga,” tambah M. Nasir yang sempat bercanda mengulas penyatuan mereka pada sidang media kedua konsert berkenaan di ibu kota, minggu lalu.
Kisah di sebalik Hati Emas
Peneraju Kembara itu banyak tersenyum dan ketawa sepanjang bercerita. Ujar beliau, penyatuan semula itu sudah tentu mengembalikan nostalgia manis kepada sesiapa sahaja yang membesar sekitar tahun 1980-an.
“Memang sangat lama kami tidak bergabung dengan semua ahli dalam sebuah konsert. Untuk konsert ini nanti, kami akan bawa peminat menyelusuri perjalanan manusia dalam kehidupan ini dan menyelam ke alam kecintaan demi mencari keluhuran untuk menemui hati emas.
“Persembahan konsert masih lagi dengan cara kami, cara Kembara. Dengan imej sebagai penghibur. Kami pentingkan vokal harmoni, alunan gitar akustik dan muzik yang besar. Menurut M. Nasir, penyatuan itu sudah tentu mengembalikan nostalgia manis kepada sesiapa sahaja yang membesar sekitar tahun 1980-an.
“Kami kembali semula dan mahu memberikan sebuah persembahan dengan cara kami sendiri. Kekuatan Kembara datangnya daripada irama lagu-lagu yang mencerminkan imej rakyat biasa terutamanya orang Melayu ketika di mana dan bila kami bermula,” jelas M. Nasir lagi.
Anggota asal Kembara, S. Sahlan dan A. Ali bersahaja mendengar hujah teman seangkatannya itu. Mengimbau semula kemasukan S. Sahlan ke dalam kumpulan Kembara, penulis lirik serta pelukis terkenal, S. Amin Shahab ada cerita untuk dikongsikan.
“Dahulu, ketika Nasir (panggilan S. Amin untuk M. Nasir) bernaung bawah syarikat rakaman Polygram, syarikat mahukan Nasir menubuhkan sebuah grup. Ketika itu sudah ada beberapa nama, tapi mungkin Nasir ada rancangan lain. Jadi, dia mengajak saya pergi ke sebuah kelab di Singapura. Di situ, A. Ali dan S. Sahlan bermain muzik. Nasir memang kenal sangat kemampuan A. Ali dan S. Sahlan. A. Ali handal main gitar dan cipta lagu. S. Sahlan pun ada tarikan tersendiri. Semasa muda, wajah S. Sahlan agak ‘jambu’,” cerita S. Amin ketawa.
Sebagai sahabat karib M. Nasir dan teman sepermainan di lapangan lukisan, S. Amin sendiri mengakui bahawa selepas album Seniman Jalanan, corak muzik Kembara sedikit berubah.
“Nasir seorang yang sukakan perubahan, tetapi selepas album keempat memang Kembara senyap begitu sahaja. Sejak tahun 1983, saya sendiri berpindah ke Kuala Lumpur. Saya cuma terlibat secara tidak langsung, tetapi idea saya agar kulit album-album Kembara menggunakan lukisan diterima oleh Nasir. Jadi, empat album pertama Kembara, bermula dengan Kembara, Perjuangan, Generasiku dan Seniman Jalanan, semua menggunakan lukisan saya,” katanya S. Amin yang sekali lagi dipertanggungjawabkan untuk melukis gambaran ideal tentang Kembara. Kali ini, poster Konsert Hati Emas Kembara pula menyandarkan seluruh kepercayaan terhadap kreativiti S. Amin Shahab.
Anggota asal Kembara, S. Sahlan pula menganggap kemunculan semula tahun ini sebagai perjalanan penuh kematangan. Memandangkan konsert itu menggabungkan tenaga dan bunyi grup daripada dua generasi, ada banyak sisi Kembara yang boleh dinikmati oleh peminat.
“Ketika awal kemunculan dahulu, memang Kembara menghasilkan muzik yang lebih dekat di hati rakyat. Elemen nusantara, pop dan country dijalin dan disatukan sebagai teras ketika itu. Apabila Kembara diteruskan oleh ahli yang lain, berlaku perubahan dan kelainan, namun sentuhan asal Kembara itu masih kedengaran. Jadi, konsert ini nanti akan menampakkan banyak evolusi,” jelas S. Sahlan.
Bakal memintal emosi penonton dengan lagu-lagu seperti Keroncong Untuk Ana, Gerhana, Duit, Impian Seorang Nelayan, Bas No. 13, Perjuangan, Kolar Biru, Bunga Bakawali, Nusantara, Kiambang, Sesat Di Kuala Lumpur, Rupa Tanpa Wajah dan Di Perhentian Puduraya, konsert itu nanti akan membawa penonton mengembara bersama Ekspres Rakyat menyusuri liku-liku perjuangan dan menyelam ke alam percintaan demi mencari keluhuran untuk menemui Hati Emas.
Pengarah konsert, Zamberi Shah atau Bombay menyusun agar konsert Kembara tidak hanya berharmoni tetapi diperkemaskan dengan sistem audio dengan bantuan 16 orang pemuzik iringan dan peta visual yang akan memberikan mood dan karakter lagu.