Adib dan Izara terbuka berkongsi foto berdua di Instagram masing-masing.
HUBUNGAN yang terjalin antara pelakon Izara Aishah dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza, Muhammad Adib Khalid iaitu anak kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) sudah diketahui umum. Izara juga sudah berlapang dada bercerita dan mengakui sedang menyulam percintaan dengan Adib.
Jika Izara memilih sikap untuk berterus-terang, Adib bagaimanapun mempunyai perspektif berbeza tentang percintaan yang sudah digembar-gembur itu. Hubungan dengan Izara disifatkan Adib, 24, terlalu peribadi dan tidak perlu diulas lanjut biarpun kedua-dua mereka tidak lokek berkongsi foto bersama di laman sosial Instagram masing-masing.
Bertemu dengan Adib yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios/Tune Records itu pada sidang akhbar penyanyi rap antarabangsa, Sky Blu of LMFAO sempena Konsert Sky Blu of LMFAO Live In Kuala Lumpur baru-baru ini, jejaka itu memberi definisi sebenar tentang warna hubungannya dengan pelakon filem Sejoli itu.
ARTISMELETOP!: Ramai yang sudah mendengar pengakuan daripada Izara mengenai hubungan kalian berdua yang disifatkan bukan sekadar berkawan. Apakah komen Adib sendiri?
ADIB KHALID: Saya dan Izara memang berkawan rapat dan hubungan kami masih baharu. Ya, benar, dia teman wanita saya dan kami dalam proses saling mengenali satu sama lain. Sebolehnya, saya tidak mahu bercerita soal peribadi. Izara pun sudah memberikan kenyataan mengenai hubungan kami dan rasanya itu sudah memadai.
Apakah keistimewaan Izara di mata anda?
Soalan itu terlalu peribadi dan saya tiada komen.
Adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin dengan Izara dalam masa terdekat?
Saya belum lagi berfikir ke arah perkahwinan. Buat masa sekarang, saya mahu memberi tumpuan kepada kerjaya terlebih dulu. Banyak lagi tanggungjawab saya kepada keluarga dan syarikat yang perlu ditunaikan sebelum memikirkan soal perkahwinan.
Selain mempunyai ibu tiri yang popular iaitu Siti Nurhaliza, sebelum ini pun anda pernah dikaitkan dengan individu popular yang lain. Sekarang bersama Izara pula, adakah anda selesa berada dalam lingkungan individu popular?
Saya selesa dengan situasi dan individu di sekeliling saya, hidup saya berjalan lancar dan saya tiada masalah dengan situasi ini.
Hampir sebulan menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif termuda syarikat Tune Group dan diberikan tanggungjawab mengendalikan Tune Studios Sdn. Bhd., bagaimanakah anda menguruskan kerjaya tersebut?
Memang impian saya untuk bekerja dengan syarikat perniagaan yang disegani. Alhamdulillah, terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan saya memberikan tempoh selama tiga hingga empat tahun untuk membawa syarikat di bawah kendalian saya berada di kedudukan cemerlang.
Sebelum ini, anda sudah mempunyai syarikat rakaman sendiri iaitu What’s Up Entertainment dan telah berjaya menerbitkan album berbahasa Inggeris Siti Nurhaliza yang berjudul All Your Love. Bagaimana pula dengan perancangan masa depan Tune Studios?
Kami dalam proses perbincangan untuk menaungi beberapa orang artis di bawah bumbung Tune Records sebelum hujung tahun ini. Pada tahun hadapan pula, kami akan menganjurkan beberapa konsert mega yang membabitkan artis tempatan dan antarabangsa. Mengenai perancangan bersama Siti Nurhaliza, seandainya masih berpeluang untuk bekerjasama sekali lagi, pastinya saya sangat berbesar hati.
Kosmo! juga kebetulan terserempak dengan pelakon jelita Izara Aishah yang hadir sama memberikan sokongan kepada teman lelakinya, Adib Khalid pada majlis sidang akhbar yang diadakan di Sky Lounge, First Avenue, Bandar Utama baru-baru ini. Izara turut diminta mengulas perihal hubungannya dengan usahawan muda itu.
KOSMO!: Bagaimanakah status hubungan Izara dengan Adib Khalid ketika ini?
IZARA AISHAH: Ya, kami sedang bercinta, namun tiada tarikh rasmi sejak bilakah kami mula bercinta. Saya dan Adib asalnya memang berkawan rapat. Mungkin kami sudah sendiri faham hubungan itu berjalan ke arah mana.
Adakah anda selesa apabila hubungan dengan Adib kini diperhatikan?
Hubungan kali ini berbeza berbanding hubungan saya dengan mana-mana lelaki sebelum ini kerana Adib seorang yang dikenali ramai.
Apakah istimewanya Adib?
Sebab dia ada Izara Aishah di sebelahnya dan he’s Izara’s man (ketawa). Dia sering mengejutkan saya dengan bermacam perkara dan dia bukan seperti individu yang pernah saya fikirkan sebelum ini. Cerita buruk tentang Adib selama ini sangat bertentangan dengan dirinya yang sebenar.
Bagaimanakah perancangan kalian untuk ke fasa selanjutnya (bertunang atau berkahwin)?
Saya tidak tahu. Kalau ada jodoh, Insya-Allah.
Lama menghilang, apakah projek terkini anda?
Saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri 28 episod berjudul Teman Lelaki Upahan dan memegang watak bernama Zara. Selepas ini saya akan memulakan penggambaran sebuah filem berjudul London to Langkawi terbitan Global Station Sdn. Bhd. Mungkin saya jarang tampil di khalayak ramai kerana saya banyak terbabit dengan projek filem berbanding drama malah ada beberapa buah filem saya yang belum ditayangkan seperti Showdown The Movie, Pilot Cafe dan Gangster Rock.