"SAYA tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu. Semua itu hanyalah khabar angin semata-mata," tegas pengarah berbakat, Syamsul Yusof mengenai dakwaan yang mengatakan dirinya ingin bersara daripada terus menghasilkan filem.
Khabar angin itu tersebar lantaran suami kepada aktres, Puteri Sarah Liyana ini kecewa selepas karyanya, KL Gangster 2 dicetak rompak sebelum ia ditayangkan pada Oktober tahun lalu.
Kata Syamsul, perkataan bersara itu pernah terlintas di dalam fikirannya tetapi bintang utama Khurafat ini tidak memaksudkannya.
"Terus terang, memang pernah terlintas untuk bersara tetapi saya tidak akan berhenti daripada membuat sesuatu yang saya benar-benar minat.
"ALLAH SWT sudah mengurniakan bakat kepada saya jadi saya tidak mahu mensia-siakannya.
"Saya rasa saya patut berada dalam industri ini lagi," katanya ketika ditemui di Festival Filem Malaysia Ke-26 (FFM26), baru-baru ini.
Jelasnya, sudah menjadi adat kepada setiap individu pasti akan melalui situasi ‘turun naik’ dalam kehidupan.
"Saya ambil masa untuk memulihkan kembali semangat saya semula. Justeru, saya akan membuat kemunculan semula dan akan terus berjuang di dalam industri ini," katanya.
Ketika ditanya adakah dia tidak merindui untuk berlakon semula, Syamsul memberitahu, dia kini sudah mula aktif berlakon sejak tiga bulan lalu.
Bukan itu saja, Syamsul juga ternyata mempunyai banyak perancangan terutamanya dalam menghasilkan filem baharu.
"Kini saya sedang berlakon untuk drama Gerak Khas. Minggu depan saya akan masuk ke set penggambaran Disolasi di bawah arahan adik, Syafiq Yusof.
"Selepas tamat penggambaran, baharulah saya akan kembali mengarah filem seram kedua, Munafik dan kemudian beralih kepada filem aksi iaitu Tailong yang mengupas lebih mendalam mengenai watak itu yang di ambil dari filem KL Gangster.
"Saya sememangnya ingin bekerjasama sekali lagi dengan Datuk Rosyam Nor dan wataknya itu akan dikembangkan melalui filem Tailong atau KL Gangster 3.
"Apa yang boleh saya beritahu, ia memang berbeza dari KL Gangster 1 dan 2 serta pendekatan saya dari sudut pengarahan dan skrip juga berlainan selain hanya mengekalkan beberapa pelakon asal," katanya.