Aliff Aziz terpaksa mengaku bersalah



“PROSES soal siasat ambil masa yang terlalu lama walaupun saya tidak bersalah dan paling teruk pasport saya juga ditahan.

Pada masa sama, saya juga ada komitmen lain yang perlu disempurnakan termasuklah kerjaya saya di sini di mana proses pembikinan album saya juga sedang dijalankan ketika itu.

“Jadi atas nasihat peguam, saya terpaksa mengaku bersalah dan membayar denda untuk menyegerakan proses ini supaya ia tidak menjejaskan urusan lain yang tertangguh,” jelas penyanyi, Aliff Aziz berhubung dakwaan kes kecurian dua telefon bimbit, di Singapura, beberapa bulan lalu.

Mengakui dirinya tidak melakukan perbuatan itu, penyanyi berusia 24 tahun ini bagaimanapun tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak lain yang terlibat.

“Sejujurnya memang saya tidak buat perkara itu dan apa yang boleh saya katakan, saya berada di salah tempat dan masa ketika itu.

“Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan saya dan pada masa yang sama ia juga banyak memberi pengajaran buat saya untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.

Aliff ditemui pada majlis sidang media pra dengar album terbaharunya ‘Rebirth’ yang dijangka bakal dilancarkan pada Januari depan.



Previous Post Next Post