Dunia pilihan Balqis


AKUI Balqis, sebelum aktif sebagai pelakon, dia tidak pernah menghadiri sebarang kelas lakonan.

Pertama kali bertemu dengan pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi dalam satu sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini, dia kelihatan sama seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun yang lain. Namun, sebaik sahaja anak kecil itu memulakan bicara terlihat jelas sisi matang dalam diri kanak-kanak berambut panjang itu.

Masakan tidak, apabila disoal apakah cita-citanya pada masa depan, tanpa berfikir panjang atau menunggu jawapan daripada bapanya, Azizi Aziz, 36, yang setia menemaninya, dia terus menjawab mahu menjadi seorang jutawan apabila dewasa kelak.

Tergamam sebentar penulis dengan jawapan Balqis atau mesra disapa dengan nama Aqish. Bagaimana kanak-kanak sementah itu memahami konteks jutawan dalam skop yang lebih luas. Lantas, sengaja penulis menduganya dengan persoalan apa yang difahaminya tentang cita-citanya mahu menjadi jutawan itu sendiri.

Jawabnya dengan penuh serius: “Aqish mahu jadi jutawan. Jadi Aqish berlakon kumpul duit dan berniaga pakaian. Kemudian, Aqish beli tanah dan rumah untuk dijadikan aset. Selepas itu, Aqish jual dan dapat untung. Lama-lama Aqish jadilah jutawan.”

Mendengar jawapan yang diberikan Balqis itu nampak ketara perbezaan pemikirannya dengan kanak-kanak yang lain. Saat rakan sebayanya sedang menikmati zaman kanak-kanak dengan bermain dan berseronok, sebaliknya kanak-kanak yang pada saat setahun dua usianya pernah dibesarkan di sekitar tapak meniaga pasar malam mengikut kedua ibu bapanya mencari rezeki ini sedang sibuk di set penggambaran menimba ilmu lakonan serta memikirkan cara untuk mengubah kehidupannya pada masa depan.

Jelas bapanya, Azizi, bakat lakonan anaknya mula dikesan sejak berusia dua tahun setengah. Bermula sebagai model iklan dan pelakon tambahan, seterusnya anaknya itu dilamar oleh pengarah terkenal Kabir Bhatia untuk terlibat dalam drama bersiri Gemilang. Sejak itu, bakat Balqis mula diiktiraf dan menjadi pilihan ramai pengarah drama termasuk Erma Fatima.

“Aqish suka berlakon. Walaupun penat, Aqish tidak kisah sebab seronok berada di set penggambaran. Dimarahi oleh pengarah itu perkara biasa, kadangkala Aqish yang minta dimarahi supaya dapat mengeluarkan air mata yang betul.

“Paling Aqish suka berlakon dengan mama Erma (Erma Fatima) kerana dia selalu beri tunjuk ajar dan melayan sama seperti pelakon yang lain walaupun Aqish kecil. Kalau Aqish buat salah atau tidak menyampaikan watak dengan baik, mama Erma akan tegur. Aqish banyak belajar daripada mama Erma dan juga pelakon senior yang lain,” kata Balqis tentang kerjaya lakonannya.

Disoal adakah lakonan merupakan pilihannya sendiri atau dipaksa ibu bapanya, dia segera menggelengkan kepalanya sambil menjawab, berlakon adalah pilihannya sendiri. Malah akuinya, dia diberi kebebasan oleh ibu bapanya untuk memilih watak yang disukai sebelum bersetuju dengan sebarang tawaran lakonan.

“Aqish sendiri yang suka berlakon. Sebenarnya Aqish tidak pernah masuk sebarang kelas lakonan. Semuanya Aqish belajar sendiri menerusi filem yang ditonton di rumah. Aqish lihat cara pelakon menangis, ketawa dan marah semuanya daripada filem. Ayah dan ibu juga tidak pernah paksa untuk berlakon.

“Selalunya ayah akan bagi skrip kepada Aqish terlebih dahulu sebelum buat keputusan untuk terima atau tidak tawaran lakonan itu. Jika Aqish suka watak itu dan ceritanya sesuai dengan Aqish, barulah ayah akan terima,” tuturnya yang gemar memainkan watak yang sarat emosi.

Setakat hari ini, anak tunggal itu telah berlakon lebih 50 buah drama. Bukan itu sahaja, dia juga pernah bergandingan dengan pelakon berprofil tinggi seperti Datin Umie Aida, Faizal Hussein, Ellie Suriaty, Datuk Jalaluddin Hassan, Awie, Azhan Rani dan Beto Khusairy.

Ujar Balqis, dia mahu jadi seperti mereka apabila dewasa dan jika boleh mahu menjadi sehebat idolanya iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Justeru, dia sedar untuk menjadi pelakon yang disegani dia harus mencipta profil terbaiknya bermula sekarang.

“Aqish bernasib baik sebab dapat berlakon dengan pelakon hebat walaupun masih kecil dan baharu dalam dunia lakonan. Banyak ilmu yang Aqish kutip daripada pelakon senior. Mereka tidak pernah lokek ilmu dan sentiasa menjaga Aqish apabila di set penggambaran.

“Oleh itu untuk menjadi sehebat mereka, Aqish harus belajar berlakon bermula dari sekarang. Walaupun boleh berlakon tetapi Aqish masih memerlukan masa untuk mengubah daripada perasaan gembira ke perasaan sedih dengan deraian air mata, sedangkan mereka semua melakukan perkara itu dengan sekelip mata sahaja,” cerita Balqis yang meminati aktor antarabangsa Johnny Depp.

Sekolah di rumah



Pertuturan, pembawakan diri dan cara pemikiran Balqis menunjukkan sifat matangnya jauh meninggalkan usianya yang baru mencecah tujuh tahun.

Sibuk berlakon pada usia sementahnya, itu tidak bermakna dia membelakangkan pelajarannya. Bintang kecil yang cerdik ini tetap perlu menimba pelajaran seperti kanak-kanak lain. Disebabkan kesibukan jadual waktunya, ibu bapanya mengambil keputusan Balqis bersekolah di rumah sahaja.

Kata bapanya, cara itu lebih praktikal dengan kesibukan keluarga mereka kerana proses pembelajaran hanya mengambil masa dua jam sehari berbanding sekolah harian biasa yang memakan masa hampir sehari suntuk.

Tutur bapanya, bukanlah kerana anaknya bekerja sebagai pelakon menyebabkan dia menolak sekolah harian biasa tetapi dia lebih mempercayai bahawa anaknya itu lebih sesuai dengan sistem pembelajaran di rumah berbanding di sekolah biasa.

“Jika dia tidak berlakon pun, saya akan tetap memilih untuknya bersekolah di rumah. Bagi saya, sistem sekolah di rumah itu lebih kurang tekanan kepada kanak-kanak dan apa yang saya lihat Aqish lebih cepat belajar kerana guru hanya memberi fokus kepadanya seorang sahaja.

“Melihat situasi sekarang dengan kesibukan jadual kerjanya, gurunya turut mengikutinya ke lokasi penggambaran jika diperlukan. Bagi saya, itu lebih memudahkan dan pelajaran Aqish tidak terabai. Memang saya tahu minatnya pada lakonan tetapi pelajaran tetap penting untuk masa depannya,” luah Azizi yang bekerja sebagai peniaga pakaian di tapak bazar sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sambung Balqis, meskipun dunia lakonan memberi pulangan pendapatan yang agak lumayan, namun seperti kanak-kanak lain, dia juga suka belajar dan bergaul dengan rakan sebaya. Demi masa depan yang terjamin, Balqis juga tidak menolak untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi jika berpeluang.

“Saya suka belajar dan jumpa rakan. Selain sekolah di rumah, ayah juga menghantar saya ke kelas piano dan kelas balet. Di situ saya bertemu dengan rakan sebaya. Tidak menghadiri sekolah harian bukan satu masalah untuk saya kerana ketika tadika saya pernah bersekolah seperti orang lain juga.

“Kalau ada peluang melanjutkan pelajaran ke universiti, saya tidak akan menolaknya tetapi saya tahu minat serta fokus saya adalah bidang lakonan,” beritahu Balqis.

Mungkin keputusan ibu bapanya untuk belajar di rumah itu terbaik untuk Balqish kerana melihat cara dia membaca dan menulis dengan laju, ternyata dia tidak ketinggalan dalam pelajarannya, malah menurut bapanya, perkembangan pembelajaran Balqis kini sudah sampai ke tahap pelajar berusia 10 dan 11 tahun.

Anugerah Skrin 2014

Jika pada tahun 2012 Balqis memenangi anugerah pelakon harapan Pantene menerusi drama Pelarian, tahun ini dua drama lakonannya yang berjudul Balqish dan Walau Siapa Pun Aku pula tercalon dalam Anugerah Skrin 2014,

Menurutnya, drama Balqish merupakan drama yang paling dekat dengan jiwanya kerana jalan ceritanya diambil daripada kisah kehidupannya sendiri sebelum bergelar pelakon. Tidak kisah membawa pulang anugerah atau tidak, baginya menerima anugerah hanya satu bonus, namun apa yang penting ialah kesan lakonannya kepada penonton.

“Aqish paling suka berlakon drama berjudul Balqish kerana hampir 90 peratus ia tentang diri Aqish. Walaupun jalan ceritanya telah dirombak untuk dicantikkan kesannya tetapi secara keseluruhan drama itu mengisahkan tentang perjalanan hidup Aqish sebelum bergelar pelakon.

“Kalau drama itu menang sudah pasti Aqish gembira tetapi jika tidak menang pun tidak apa kerana drama lain yang tercalon juga hebat. Maknanya, Aqish harus memperbaiki mutu lakonan lagi,” katanya dalam senyuman.

Ditebak seronok atau tidak melihat dirinya sendiri di kaca televisyen dan meraih populariti sejak bergelar pelakon, sambil ketawa Aqish memberitahu, tiada perbezaan ketara dalam kehidupannya walaupun wajahnya terpampang dalam drama di setiap stesen televisyen.

“Seronok dan gembira bila lihat diri sendiri di televisyen tetapi pada masa yang sama Aqish malu kerana bimbang lakonan tidak sebaik pelakon yang lain. Aqish tidak tahu popular atau tidak sebab rasanya tiada yang berubah. Ditegur orang sekalisekala ada juga tetapi tidaklah sampai tahap ke mana sahaja Aqish pergi orang mahu bergambar.

“Aqish masih sama seperti dahulu. Cuma sekarang makin sibuk dengan dunia lakonan. Doakan yang terbaik buat Aqish ya,” pintanya sebelum menutup bicara.


Previous Post Next Post