Hashim Rejab dipecat sebagai pengarah


Nabilah IBRAHIM (tiga dari kiri) bersama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez serta pelakon tambahan yang menjayakan filem Rentap, Azliyuszaini Mohd Noor (dua dari kanan) ketika ditemui pada sidang akhbar yang mendedahkan kemelut produksi filem tersebut baru-baru ini.

ENTAH di mana silapnya, percaturan yang dibuat oleh pelakon Diana Johor dan adiknya, Lina Johor menerusi syarikat penerbitan mereka, Unique Twins Sdn. Bhd. untuk menerbitkan sebuah filem epik berjudul Rentap harus melalui jalan berliku.

Filem yang mengangkat kisah pahlawan Sarawak bernama Rentap menentang Raja Putih James Brooke pada tahun 1844 itu berhadapan pelbagai masalah.

Pada satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi mendedahkan kemelut yang melanda produksi itu pada 24 September lalu, pasangan kembar tersebut didakwa tidak menjelaskan bayaran sebanyak RM20,000 kepada pemilik agensi pelakon tambahan Fertwork Productions, Nabilah Ibrahim.

Selain itu, mereka juga dikatakan tidak melangsaikan bayaran kepada koordinator lokasi penggambaran yang dilantik, Abdullah Chik, sehingga individu itu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM50,000.

Dalam perkembangan terbaharu, pengarah yang dipertanggungjawabkan untuk mengemudi filem yang mendapat dana daripada kerajaan sebanyak RM3.5 juta itu, Hashim Rejab dikatakan telah digugurkan daripada produksi filem tersebut.

Hashim yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu arahannya, Kelibat di Mutiara Damansara baru-baru ini mengakui, dia diberitahu oleh pihak Unique Twins bahawa khidmatnya sebagai pengarah filem tersebut telah ditamatkan.

Atas sebab-sebab tertentu, pengarah filem Longkai itu bagaimanapun tidak dapat memberi jawapan mengapa namanya digugurkan. Dia menutup mulut mengenai masalah yang dihadapi syarikat produksi tersebut.

Kosmo!: Benarkah nama Hashim telah digugurkan daripada kerusi pengarah untuk filem Rentap?

HASHIM: Ya, menerusi e-mel yang diterima dua hari lepas. Saya telah diberitahu oleh pihak Unique Twins bahawa khidmat saya sebagai pengarah filem Rentap telah dihentikan.

Adakah anda diberitahu mengapa khidmat anda tidak lagi diperlukan dalam produksi tersebut?

Maaf, atas sebab-sebab tertentu, pihak pengurusan saya iaitu MIG, tidak membenarkan saya memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung konflik tersebut.


Hashim REJAB

Adakah anda sedar bahawa pihak produksi itu tidak menyelesaikan bayaran kepada agensi pelakon tambahan dan beberapa individu lain yang terlibat dalam filem itu?

Ya, saya sedar tentang perkara tersebut.

Ceritakan sejauh mana penggambaran filem Rentap telah dijalankan?

Proses penggambaran filem itu telah siap sebanyak 40 peratus. Kami memulakan penggambaran di sekitar Ulu Perdik, Hulu Langat, Selangor dan Kuala Tahan, Pahang pada awal Jun lalu. Namun, proses tersebut dihentikan sekitar akhir bulan yang sama, sebelum tibanya bulan Ramadan.

Siapakah pelakon-pelakon yang sepatutnya menjayakan filem tersebut?

Pelakon Zachery Francis telah diberi kepercayaan untuk memegang watak Rentap. Selain itu, pelakon lain yang terlibat termasuklah Livonia Ricky dan Jasmine Chin.

Apakah perasaan anda apabila nama anda digugurkan daripada kerusi pengarah walaupun proses penggambaran telah berjalan?

Saya berasa agak terkilan. Kami telah ‘berkampung’ di lokasi penggambaran selama 15 hari dan proses penggambaran di sana tidak sama seperti di Kuala Lumpur. Namun, saya tidak boleh berbuat apa-apa dan mengganggap itu bukan rezeki saya.

Mengenai filem terkini anda, Kelibat, anda dilihat begitu berani mempertaruhkan pelakon senior, Ellie Suriaty yang memegang watak Kalin dan Fauzi Nawawi (Kamal). Apakah sebab utama anda memilih mereka?

Saya memilih Ellie dan Fauzi kerana bakat lakonan mereka. Tambahan pula, dengan bantuan beberapa pelakon baharu yang lain seperti Niezam Zaidi yang memegang watak Azahari dan Atikah Suhaimie (Azalia), saya percaya gandingan itu mampu memberikan kesan yang dinamik terhadap filem ini.
Toyota Tawaran Terhebat Tahun Ini !

Apakah fokus utama yang anda cuba sampaikan menerusi filem yang memasuki pawagam sejak 6 November lalu itu?

Saya cuba mengetengahkan masalah kekeluargaan yang tercetus akibat kesalahan yang dilakukan oleh ketua keluarga. Malangnya, masalah yang timbul itu tidak dapat ditanggung oleh ahli keluarga yang lain sehingga memaksakan ketua keluarga itu ‘tersasar’ ketika mencari jalan penyelesaian.


Previous Post Next Post