Adel diserap ke final #AF2014



ATAS ‘pilihan fakulti’, Adel (tengah) diserap masuk ke AF2014 untuk kembali berentap di pentas final program realiti itu pada 9 November ini.

KONSERT separuh akhir Akademi Fantasia 2014 (AF2014) yang berlangsung pada Ahad lalu menyaksikan berlakunya satu penyingkiran seorang pelajarnya iaitu Azwan Satar, 30, sekali gus gagal menempatkan diri ke pentas final yang akan diadakan pada 9 November ini (Ahad).

Azwan yang berasal dari Johor, menduduki tempat terakhir dengan pungutan undian sebanyak 16.9 peratus. Keputusan undian SMS pada malam itu juga menyaksikan satu perubahan besar berlaku apabila Firman atau Mohd. Firman Bansir, 25, mendominasi kedudukan di tempat pertama buat pertama kali dengan catatan undian sebanyak 29.2 peratus.

Tempat Azwan diganti dengan kemasukan seorang pelajar wanita yang tersingkir sebelum ini iaitu Adel atau Adeline Joyce Masidah, 21, dari Sabah ke pentas akhir AF2014. Adel memenuhkan korum peserta yang layak ke konsert final iaitu seramai lima orang.

Pengetua AF2014, Datuk Hattan ketika ditemui usai konsert separuh akhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor baru-baru ini mendedahkan, penyingkiran Azwan merupakan satu kejutan buat dirinya manakala pemilihan Adel pula dibuat berdasarkan beberapa faktor.

“Keputusan penyingkiran pada malam separuh akhir benar-benar mengejutkan saya. Saya tidak menjangka pelajar yang disingkirkan ialah Azwan. Jujurnya, Azwan merupakan seorang penyanyi yang bagus dan dia ada potensi dalam membawakan lagu-lagu bergenre irama tradisional.

“Namun, penyingkiran telah berlaku dan kami sendiri pun tidak boleh buat apa-apa. Itu semua kuasa undian SMS. Keputusan itu semua ditentukan oleh sokongan peminat mereka sendiri,” ujar Hattan.

Mengulas mengenai pemilihan Adel yang kembali dimasukkan dalam senarai pelajar ke pentas final nanti, Hattan menjelaskan, pemilihan tersebut tidak digelar sebagai AFSerap, sebaliknya, menggunakan istilah ‘pilihan fakulti’. Tambah beliau, pemilihan masuk seorang pelajar yang tersingkir ke pentas final merupakan keputusan yang dibuat olehnya.

“Sebenarnya, keputusan memilih itu merupakan perkara yang sangat berat. Namun, itu merupakan keputusan daripada saya sendiri. Bagi saya, dalam senarai tujuh orang pelajar yang tersingkir itu, pastinya ada seorang yang terbaik. Sebab itu saya ambil keputusan untuk pilih salah seorang daripada mereka untuk kembali mewarnai pentas akhir nanti iaitu Adel.

“Saya suarakan pemilihan itu berdasarkan dua faktor. Pertama, saya mahu ada keseimbangan di pentas final nanti. Keseimbangan itu meliputi aspek persembahan, bilangan pelajar yang layak ke final dan penguasaan pentas.

“Dalam konsert separuh akhir pun, hanya tinggal seorang sahaja pelajar perempuan iaitu Nuha. Jadi, saya mahu penyusunan pelajar di atas pentas itu nanti seimbang antara lelaki dan perempuan.

“Keduanya, Adel sememangnya seorang penyanyi yang bagus dalam banyak aspek. Tahap vokal, gaya penyampaian lagu, komitmen dan kelakuan dia sangat bagus.

“Dia memang mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan sayang sekiranya bakat itu tidak dicungkil dengan lebih mendalam. Jika dia diberi peluang beraksi di pentas final, saya tahu dia mampu buat yang terbaik,” ujar Hattan panjang lebar.

Jelas Hattan lagi, pihak fakulti dan Astro mengambil masa empat hari untuk membuat keputusan dan menilai dengan teliti, siapakah pelajar yang layak untuk di pilih ke pentas final.

“Kami nilai ketujuh-tujuh pelajar yang tersingkir itu bersandarkan beberapa kriteria. Antaranya, kami lihat dari sudut komitmen, vokal, perangai, ketekunan dan konsistensi dalam setiap persembahan yang terdahulu. Kami ulang tayang semua video persembahan minggu terdahulu dan nilai satu persatu siapakah yang layak. Secara sebulat suara pihak fakulti memilih Adel ke pentas akhir.

“Saya sendiri tidak dapat tidur malam memikirkan perkara ini. Susah sebenarnya untuk membuat keputusan kerana semua pelajar yang tersingkir mempunyai kelebihan. Perkara itu memaksa saya melakukan solat istikharah bagi meminta petunjuk dan jalan dalam menentukan keputusan,” ujarnya serius.

Kemasukan Adel melengkapkan pentas final yang akan berlangsung pada 9 November ini bersama empat lagi peserta akhir AF2014 iaitu Nuha, Firman, Ewal dan Aman.

Memiliki pesona tersendiri, lima peserta itu perlu ‘memuntahkan peluru’ kehebatan masing-masing untuk memastikan gelaran juara AF2014 menjadi milik mereka.


Previous Post Next Post