Anuar Zain ingin buka pusat dialisis


ANUAR ZAIN bakal muncul dengan album baharu pada tahun hadapan.

HATI penyanyi Anuar Zain, 44, pernah dirundung duka tatkala ahli keluarga dan teman rapatnya terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi selepas diserang penyakit buah pinggang beberapa belas tahun yang lalu.

Apa yang lebih menyedihkan, pemergian mereka pada waktu itu tidak didahului dengan sebarang rawatan lanjut akibat kekurangan pusat rawatan dan masalah yang melibatkan kos pembiayaan.

Masih tersentuh apabila mengenangkan episod sedih tersebut, penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Kain Pelikat itu memasang impian untuk membuka sebuah pusat dialisis bagi membantu pesakit buah pinggang bagi mendapatkan rawatan.




“Pada waktu dulu, tidak banyak pusat dialisis yang dibuka di negara kita. Akibat terlalu lama menunggu, ramai pesakit meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan.

“Secara kebetulan, beberapa orang ahli keluarga dan teman rapat saya juga mengalami nasib yang sama.

“Justeru, jika ada rezeki, saya ingin membuka sebuah pusat dialisis bagi memudahkan pesakit-pesakit buah pinggang untuk mendapatkan rawatan di sana,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan Showcase Makan Malam Amal Bersama Anuar Zain anjuran Pusat Jantung Kongenital, Institut Jantung Negara (PCHC, IJN), di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi hasil penjualan tiket dan meja, showcase yang bertemakan Sempurnakan Aku itu berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM863,300 bagi mengisi tabung PCHC Support Group.

Mengulas lanjut mengenai jumlah dana yang berjaya dikumpulkan oleh pihak IJN dan PCHC, Anuar berkata, dia berasa sungguh gembira kerana berpeluang menghulurkan tangan dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, kejayaan pada malam ini dapat diraih berkat usaha bersama semua pihak.

“Wang ringgit bukan soal utama jika mahu menghulurkan bantuan. Apa yang penting adalah sumbangan yang ingin dihulurkan,” jelas Anuar lagi.

Pada majlis tersebut, beliau menghiburkan 700 tetamu yang hadir dengan seleksi lagu-lagu popularnya seperti Ajari Aku, Sempurnakan Aku, Ketulusan Hati, Kau Bunga Cintaku dan Sedetik Lebih.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Dalam perkembangan lain, Anuar memberitahu dia kini dalam proses mengumpulkan material untuk album terbaharunya yang dijangka akan diterbitkan pada pertengahan tahun hadapan.

“Setakat ini saya sudah memilih lima buah lagu daripada komposer Malaysia untuk dimuatkan di dalam album terbaharu itu kelak. Selebihnya, saya akan mendapatkan khidmat daripada komposer Indonesia.

“Jika segalanya berjalan lancar, album yang diberi judul Anuar Zain itu bakal menemui peminat pada pertengahan tahun 2015,” katanya yang bakal muncul dengan Konsert Solo Anuar Zain Three Decades Of Music Live in Singapore di The Star Performing Arts Center, Singapura pada 7 Februari tahun hadapan.



Previous Post Next Post