Akim minta henti kaitkannya dengan dadah


AKIM & THE MAGISTRATE bakal mempertaruhkan genre muzik eksperimental dalam album mereka yang akan datang.

NASIB penyanyi Akim Ahmad, 23, dalam bidang nyanyian tidak secerah penyanyi-penyanyi seangkatan dengannya. Bahkan, selepas memenangi tempat ketiga menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketujuh sekitar lima tahun lalu, perjalanan seni anak jati negeri Johor itu dilihat bergerak dalam jalur yang mendatar.

Walaupun telah menerbitkan sebuah album studio berjudul Akim Ahmad pada tahun 2012 dan diikuti dengan kemunculan beberapa buah single, portfolio pelantun lagu Janji itu masih kosong daripada sebarang penerimaan anugerah mahupun pengiktirafan.

Begitupun, sejak bergerak dalam sebuah band dan mula dikenali sebagai Akim & The Magistrate pada pertengahan tahun lalu, nasib penyanyi itu berubah sebanyak 360 darjah.




Selepas dianugerahkan sebagai komposer muda berpotensi pada majlis Anugerah Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2014 pada awal bulan lalu, Akim sekali lagi menerima pengiktirafan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-21 bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi lagu Mewangi.

Ketika berpeluang bertemu dengannya usai majlis tersebut yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini, Akim mengakui, rezekinya dalam bidang muzik semakin murah semenjak dirinya dijenamakan semula sebagai Akim & The Magistrate.

Katanya, selain selesa bergerak secara berkumpulan, kredibilitinya sebagai anak seni juga semakin menonjol lebih-lebih lagi dengan populariti lagu Mewangi yang semakin mendapat tempat di hati peminat.

Malangnya, karier seninya yang baharu ingin meningkat naik semula mula dicemar dengan dakwaan dirinya mengambil dadah sehingga melakukan persembahan dalam keadaan khayal.

Kosmo!: Tahniah atas kemenangan Akim. Apakah perasaan anda saat diumumkan sebagai penerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)?

AKIM: Sejujurnya, saya berasa sungguh terkejut. Selain pengiktirafan pada majlis Anugerah MACP 2014, ini merupakan anugerah paling besar yang pernah saya terima sepanjang saya bergelar anak seni. Alhamdulillah.

Sejak bergerak di bawah satu kumpulan, karier seni anda semakin mendapat perhatian. Apakah komen anda mengenai perubahan tersebut?

Saya akui lebih gemarkan suasana menyanyi secara berkumpulan. Apabila kita beraksi di atas pentas bersama-sama, tenaga yang ditampilkan juga turut berganda. Lagipun, saya sudah dikenali dengan label yang berbeza, mungkin disebabkan itu saya mahu memberikan yang terbaik kepada peminat.

Adakah ini merupakan petanda awal bahawa anda sudah tidak akan bergerak secara solo?

Ya, buat masa ini, fokus utama saya adalah Akim & The Magistrate.

Apakah yang menyebabkan anda benar-benar yakin dengan kumpulan ini?

Berbeza dengan band-band lain, kami gemar bereksperimen menerusi muzik. Kami tidak meletakkan sebuah genre utama sebagai jalur muzik untuk lagu-lagu kami. Justeru, untuk projek yang akan datang, kami akan merakamkan single di luar studio bagi mendapatkan suasana yang sedikit berbeza untuk karya kami.

Apakah perkembangan terbaharu Akim & The Magistrate?

Pada penghujung bulan Januari depan, kami akan melancarkan single kedua. Bagaimanapun, single yang dicipta oleh saya sendiri itu masih belum diberikan judul. Selain itu, kami juga merancang untuk menerbitkan album penuh pada tahun depan.

Baru-baru ini, anda dikaitkan dengan isu pengambilan dadah sehingga menyebabkan anda kelihatan ‘lalok’ ketika membuat persembahan pada sebuah acara pertandingan. Adakah perkara tersebut memberi impak terhadap kerjaya anda sebagai penyanyi?

Sejujurnya, ia sangat memberi kesan terhadap saya. Individu yang paling terkesan dengan perkara tersebut adalah ibu dan bapa saya. Ibu saya pernah menangis ketika membaca laporan tersebut. Saya mohon hentikan semua cerita tidak benar ini.

Apakah tindakan Akim selepas ini?

Saya berharap agar mereka berhenti daripada mengaitkan saya dengan perkara sebegini. Saya masih mempunyai keluarga dan saya tidak mahu mengecewakan mereka dengan cerita-cerita seperti ini.

AKIM menafikan sekerasnya dia terbabit dengan najis dadah dan menyifatkan dakwaan dia khayal sewaktu membuat persembahan sebagai satu fitnah.

AKIM & THE MAGISTRATE bakal mempertaruhkan genre muzik eksperimental dalam album mereka yang akan datang.


Previous Post Next Post