Gemilang Siti, sejarah SonaOne


RAIKAN...DARI kiri: SonaOne, Joe Flizzow, Datuk Siti Nurhaliza dan Akim Ahmad bersama trofi kemenangan masing-masing.

Tutur bicara yang sopan dan lemah-lembut ditambah dengan lirikan senyuman yang manis merupakan perwatakan terpuji figura ini. Keikhlasannya dalam berkarya berjaya membuatkan penama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terus kekal menduduki carta penyanyi nombor satu negara selama 19 tahun.

Namun demikian, untuk kekal selama 19 tahun dalam industri muzik negara ternyata bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi Siti, arus pembangunan industri muzik negara terpaksa membuatkan dirinya mencuba sesuatu yang baharu demi memenuhi permintaan peminat pada masa kini.




“Saya dan beberapa pengkarya seni telah bereksperimentasi dengan pelbagai genre muzik sebelum ini. Kami mahu cuba memenuhi dan memahami trend muzik kini supaya lagu-lagu yang dihasilkan sesuai dan memenuhi permintaan peminat.

“Alhamdulillah, hasilnya sangat memberangsangkan apabila album terbaharu saya berjudul Fragmen mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kejayaan menggondol tiga anugerah termasuk Album Terbaik (Fragmen), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Wanita dan Rakaman Album Terbaik (Konsert Lantera Timur) merupakan hasilnya.

“Kejayaan ini juga membuktikan kerja keras semua orang yang terlibat dalam pembikinan album ini terutamanya penerbit, Mujahid Abdul Wahab dan Ade Govinda yang selama ini bertungkus-lumus menghasilkan album ini,” katanya pada sidang akhbar Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fragmen disifatkan Siti sebagai album yang mempunyai nilai sentimental di dalam kehidupannya. Justeru, akui Siti, apabila album tersebut menerima pengiktirafan, ia memberi momen manis buatnya sendiri yang mendapat ilham menghasilkan album tersebut daripada insiden yang menimpa suaminya, Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K beberapa tahun lalu.

Jika diimbas kembali, kejayaan Siti di pentas AIM sudah pasti tiada tolok bandingnya. Siti sudahpun mencapai kejayaan cemerlang di dalam anugerah berprestij tersebut apabila menggondol anugerah dalam pelbagai kategori.

Paling manis, menerusi anugerah Vokal Terbaik di AIM, Siti telahpun berjaya merangkul anugerah tersebut sebanyak 12 kali. Hal tersebut merupakan rekod pencapaian tertinggi sejak ia diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1993.

Berbicara mengenai keputusan kemenangan tiga anugerah berbanding lapan anugerah yang dicalonkan pada AIM kali ini, Siti meluahkan perasaan syukurnya apabila pihak juri masih lagi melihat bakat dan potensinya dalam bidang nyanyian.

“Tidak ada sedikitpun perasaan terkilan kerana hanya memenangi tiga daripada lapan anugerah yang dicalonkan, malah saya rasa sangat bersyukur apabila bakat dan usaha selama ini masih lagi dihargai.

“Tidak kira sama ada menang atau kalah saya tetap akan terus berkarya kerana saya rasa kami sudahpun melakukan sebaik mungkin untuk album yang mengambil masa tiga tahun ini,”lontarnya sedikit teruja.

Dalam kemanisannya meniti puncak kariernya, Siti juga memberitahu, kemenangannya melalui AIM21 kali ini diharap mampu menjadi penanda aras kepada golongan muda untuk terus berkarya mengembangkan lagi industri seni suara di negara ini.

“Saya berharap dengan kemenangan ini, ia mampu menjadi pembakar semangat kepada golongan muda untuk terus berkarya sekali gus menyemarakkan lagi industri seni negara.

“Saya melihat banyak bakat baharu yang mempunyai potensi untuk diketengahkan. Jika bakat-bakat muda ini diasuh melalui saluran yang betul, insya-Allah ia mampu membawa industri seni kita ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya penuh pengharapan.

Fragmen ke Indonesia

Dalam pada itu, Siti berharap kemenangan Fragmen dalam kategori Album Terbaik akan menjadi batu loncatan kepadanya untuk melebarkan sayap ke negara seberang, Indonesia.

Bukan itu sahaja, penyanyi itu juga berharap kemenangan itu dapat mempromosi sekali gus menginjakkan lagi momentum penjualan album tersebut di negara berkenaan.

“Alhamdulillah sambutan di Indonesia sangat baik, namun diharapkan dengan kemenangan ini dapat mengekalkan momentum tersebut. Malah beberapa bulan lalu saya sempat ke sana untuk mempromosikan album dan single duet bersama Cakra Khan,” ujarnya penuh bersemangat.

Dalam pada itu Siti berkata, sebagai strategi pemasaran, pihak Universal Music turut memasukkan lagu duet bersama Cakra berjudul Seluruh Cinta dalam album Fragmen untuk pasaran negara tersebut.

Jelas Siti, biarpun lagu berkenaan tidak dimasukkan untuk pasaran Malaysia, namun ia dilancarkan sebagai single menerusi iTunes.

Kejutan SonaOne

Dalam pada itu, kejayaan SonaOne membawa pulang trofi Lagu Terbaik menerusi lagu No More dalam AIM21 menempa sejarah baharu dalam dunia muzik tanah air apabila buat kali pertama sepanjang 19 tahun penganjurannya, lagu hip-hop diangkat sebagai Lagu Terbaik AIM.

Turut memenangi anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik (Apa Khabar)-Joe Flizzow featuring SonaOne, penyanyi yang pernah menetap di Perancis itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kejayaan semua penggiat seni tanah air, terutamanya yang memperjuangkan genre hip-hop.

“Keadaan sudah berubah apabila kini genre hip-hop sudah mampu diterima dalam arus perdana muzik di Malaysia. Saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi lagu ini (Apa Khabar) akan menang.

“Malah, apa yang menjadi kepentingan kepada kami ialah untuk menghiburkan jemputan AIM21, namun segalanya berubah dan kami berjaya mengangkat genre ini ke tahap yang lebih tinggi, ia merupakan kemenangan kami bersama.

“Sepuluh tahun lalu saya hanya mampu melihat lagu genre lain diangkat sebagai lagu terbaik dan dengan pengiktirafan ini, lagu hip-hop diletakkan di tahap yang lebih tinggi,” kata SonaOne.

Sementara itu, Joe turut melahirkan rasa bangganya terhadap kejayaan lagu Apa Khabar dan No More kerana berjaya melakarkan sejarah tersendiri dalam AIM21.

“Sebagai abang dan mentor kepada SonaOne, saya gembira dengan kejayaannya. Enam tahun lalu dia datang ke studio saya untuk belajar menulis lagu dan selepas enam tahun dia meraih kejayaan ini.

“Dia adalah penyanyi dan pemuzik masa depan negara yang dilahirkan daripada underground, menjayakan persembahan kecil dan tidak mendapat banyak pendedahan. Kejayaan SonaOne membuktikan siapa pun yang bekerja keras pasti akan berjaya,” dedahnya.

Joe sempat mengimbas semula kemunculannya bersama Malique di pentas AIM15 tahun lalu. Ketika itu katanya, kumpulan Too Phat baru bermula dan julung-julung kali mereka berdua berdiri di pentas AIM yang berprestij itu.

“Berdirinya saya sekali di pentas AIM21 dengan SonaOne membuatkan saya terkenang semula nostalgia lalu yang menjadi titik permulaan buat saya dan Malique,” katanya yang kini bergerak sendiri dan adakala dia akan berkolaborasi dengan artis baharu selepas ketiadaan Malique.

AIM21 hambar?

Walaupun penganjuran AIM21 kali ini tidak menimbulkan kontroversi besar seperti masalah penjurian namun, kehambaran anugerah berprestij tersebut masih terlihat apabila dipertontonkan kepada khalayak.

Walaupun memilih barisan penghibur yang hebat, namun sambutan yang diberikan kelihatan hambar, menyebabkan anugerah ini dipandang enteng dan tidak diiktiraf sebagai anugerah yang mampu menguatkan lagi portfolio seseorang anak seni itu.

Menafikan spekulasi tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim memberitahu, AIM21 kali ini dianggap berjaya kerana pihak penganjur berjaya menepis sebarang permasalahan terutamanya melibatkan hal penjurian.

“AIM21 kali ini dianggap berjaya secara keseluruhan kerana kami berjaya mengelakkan sebarang permasalahan terutamanya melibatkan hal penjurian. Saya sangat berharap agar AIM21 mampu mengembalikan kredibiliti anugerah ini secara keseluruhannya.

“Buktinya ialah dengan peningkatan pencalonan sebanyak 20 peratus atau 670 calon yang menghantar penyertaan berbanding hanya 564 pencalonan pada AIM sebelumnya.

“Peningkatan ini disifatkan sebagai cukup baik kerana ia membuktikan industri muzik kita masih berkembang serta anak seni masih mempercayai kredibiliti penganugerahan ini,”

Diminta mengulas mengenai keputusan AIM21 secara keseluruhan, Rosmin memberitahu, kemenangan di luar jangkaan lagu Inggeris, No More oleh SonaOne membuktikan AIM kini mengiktiraf karya-karya Inggeris yang bertaraf global.

“Sepanjang penganjuran AIM, lagu Inggeris belum pernah dinobatkan sebagai lagu terbaik, namun kejutan dan kelainan AIM21 membuktikan industri muzik negara mempunyai potensi di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap agar AIM pada masa akan datang akan menjadi platform kepada golongan penggiat seni tanah air untuk terus berkarya bukan sahaja untuk pasaran dalam negara, malah melihat juga ke peringkat antarabangsa,” katanya mengakhiri perbualan.


Previous Post Next Post