Nadia buka mulut demi juri #GegarVaganza



SEPANJANG tiga minggu membuat persembahan dalam konsert Gegar Vaganza, penyanyi era 90-an, Nadia Ali sering dikritik gara-gara cara nyanyiannya yang dikatakan seperti 'tidak membuka mulut'.

Penyanyi yang berasal dari Sabah ini akhirnya tampil bersuara lantang ketika menyanyikan lagu Pawana menerusi konsert minggu keempat program realiti berkenaan, kelmarin.

Bagaimanapun, cubaannya itu tidak menjadi kerana menjadi mangsa penyingkiran dalam konsert bertemakan Ada Berani itu.




"Pada malam itu, saya akui memaksa diri untuk 'membuka mulut' demi mengikuti nasihat juri.

"Saya akui kurang selesa apatah lagi saya memiliki suara serak-serak basah," katanya pada Zass.

Tidak kesal dengan tindakannya itu, Nadia sebaliknya menyifatkan penyingkirannya itu sebagai adat pertandingan.

"Biasalah, adat pertandingan. Ada menang, ada kalah. Saya terima keputusan juri.

"Sepanjang berada dalam program ini, saya seronok diberi peluang untuk menyanyi kembali dan saya juga banyak belajar melalui kawan-kawan seperjuangan di Gegar Vaganza.

"Semoga berjaya kepada peserta yang lain," katanya.

Nadia turut menyifatkan penyertaannya dalam Gegar Vaganza sebagai langkah tepat untuk membuat kemunculan semula dalam industri hiburan.

Katanya, selepas lebih 15 tahun menyepi, dia berhasrat mengeluarkan album baharunya tidak lama lagi.

"Album itu ada tujuh lagu tetapi buat masa ini saya merancang untuk mengeluarkan satu demi satu single terlebih dahulu," katanya.




Malam itu turut memperlihatkan kehebatan peserta lain seperti Ayai Illusi yang menyanyikan lagu Penghujung Rindu daripada Jamal Abdillah, Haleeda (Pupus), Ifa Raziah (Rindu), Adilla (Menghitung Hari), Shima (Setelah Aku Kau Miliki), Rahmat Mega (Aku Penghibur), Sharifah Zarina (Mengapa), Mamat Exist (Ibu) dan Fazli Zainal (Pantun Budi).

Selepas Nadia tersingkir, kini tinggal sembilan lagi peserta yang akan bersaing untuk merebut gelaran juara.

Siapa peserta yang bakal mengikut jejak Nadia? Saksikan Gegar Vaganza setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan Astro Mustika HD (saluran 134).
Previous Post Next Post