Jehan Miskin cari kelainan



Seludup bakal disiarkan bermula 4 Disember depan, setiap Khamis, jam 9.30 malam di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

DRAMA bersiri tempatan kini sarat dengan pelbagai kisah cinta dan terus mendapat perhatian penonton setia genre tersebut.

Namun ia bukan bererti pelakon yang mula berjinak-jinak dalam dunia pengarahan ini memilih genre cinta sebagai taruhannya.

Mengakui berhadapan risiko dan cabaran menerbitkan drama yang mengangkat genre aksi di bawah syarikat miliknya Mastermind Group Sdn Bhd, Jehan Miskin berkata, dia bagaimanapun yakin drama bersiri, Seludup mampu mengubah selera penonton masa kini.




"Tidak salah mencuba genre berbeza daripada sedia ada. Meskipun genre cinta dan romantik sering kali menjadi pilihan penonton, namun mereka juga perlu dihidangkan dengan sesuatu yang baharu.

"Kerana itu, filem aksi luar negara turut menjadi pilihan mereka, dan kita di Malaysia perlu berani memberi sesuatu yang baru," katanya.

Akui Jehan, meskipun aksi menjadi tulang belakang drama itu, namun ia masih diselitkan dengan kisah cinta yang lebih ringan.

"Ia sekadar memastikan jalan cerita tidak terlalu serius dan hanya fokus kepada jenayah sahaja," katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan pelakon, Jehan menjelaskan, ia juga menjadi faktor mengapa dia percaya drama ini bakal mendapat sambutan.

"Saya memilih Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Namron, Raja Ilya dan Syafie Naswip kerana mereka punya aura tersendiri.

"Bahkan bakat lakonan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi," katanya dan memberitahu Seludup merupakan karya arahan keduanya selepas drama, What If.




Dalam pada itu, Jehan tidak berhadapan sebarang masalah sepanjang penggambaran dijalankan meskipun lebih daripada 100 kru dan pelakon terlibat menjayakan drama itu.

"Mereka sangat profesional dan ia memudahkan saya untuk menjalankan penggambaran ini dengan lancar.

"Segala komitmen diberikan sepenuhnya dan mereka telah memberikan yang terbaik sewaktu menghasilkan drama ini," katanya.

Sedikit mengenai drama bersiri 13 episod ini, ia berkisarkan perdagangan haram yang berlaku di sebuah perkampungan nelayan.

Sarat mesej berguna, Seludup bakal disiarkan bermula 4 Disember depan, setiap Khamis, jam 9.30 malam di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).
Previous Post Next Post