SANGAT berhati-hati dalam membicarakan soal peribadinya, kata Remy dia memerlukan privasi untuk menjalani kehidupan sebagai manusia normal.
Sejak putus kasih dengan aktres Tiz Zaqyah, bukan sekali aktor Remy Ishak dikaitkan dengan wanita. Nama-nama wanita popular seperti Maya Karin, Rita Rudaini dan anak kepada aktor Wan Hanafi Su, Budicitawan pernah dikaitkan dengannya.
Terbaharu, aktor berkulit sawo matang itu mengaku sedang berkawan rapat dengan Pengarah Urusan Roistz Label, Roszaliza Yusof. Bagaimanapun pengakuan terbukanya itu memakan diri apabila peminat membongkar identiti wanita tersebut sehingga menyebabkan dia kurang selesa dengan perhatian yang diberikan.
“Sejak saya mengaku sedang mengenali hati budi seseorang, peminat mula siasat dengan siapa saya berkawan. Perhatian yang lebih itu membuatkan orang di sana kecil hati kerana dia bukannya selebriti.
“Apabila perkara itu berlaku, saya terpaksa terangkan kepadanya situasi yang terpaksa dilalui apabila berkawan dengan saya. Sebenarnya, ini bukan kali pertama berlaku, setiap kali saya keluar dengan mana-mana rakan wanita perkara yang sama berlaku sedangkan saya hanya keluar makan sahaja.
“Peminat akan selongkar siapa orang yang keluar dengan saya. Akhirnya, saya terpaksa meminta maaf dengan mereka dan perkara itu menjadikan saya lebih selesa mengasingkan diri daripada khalayak jika tiada ada sebarang kerja seni untuk dibicarakan,” kata Remy penuh serius.
Meskipun mengaku sedang berkawan rapat dengan Roszaliza, Remy memilih untuk tidak meletak sebarang label dalam hubungan mereka termasuklah sebagai pasangan kekasih. Remy lebih selesa mengatakan mereka sedang berkawan rapat sahaja.
“Saya mengaku sedang mengenali hati budi dia tetapi tidak pernah mengaku dia ialah kekasih. Saya lebih selesa dengan perkataan teman rapat sebab kami baru sahaja mengenali hati budi. Prinsip saya, selagi tidak pergi meminang atau bertunang, hubungan itu masih belum rasmi dan boleh terputus di tengah jalan.
“Jika saya beria-ia membuat pengakuan dan hubungan itu tidak menjadi, yang malunya bukan sahaja saya tetapi keluarga kedua-dua belah pihak. Sukar sebenarnya untuk menjadi seorang Remy Ishak,” tuturnya sambil tertawa.
Meninggalkan kisah peribadi, tentunya fokus lelaki ini tentang kariernya. Cukup terkenal sebagai pelaku seni yang berkaliber, Remy yang diajak berbicara tentang susur seninya, berkata, dia selalu meletakkan simbiotik antara pengarah dan pelakon sebagai asas untuknya menerima sesebuah tawaran.
Jujur membutirkan bicara kata Remy, hubungan seperti itu perlu ada dalam setiap rumah produksi agar naskhah yang diangkat benar-benar dapat meresap ke dalam jiwa penonton.
“Sebagai seorang pelakon, saya sering berkomunikasi dengan pengarah dalam memahami kehendaknya membentuk karakter yang dimahukan.
“Dalam masa yang sama, pengarah yang mengemudi proses penggambaran itu juga turut berbincang dengan penulis skrip supaya watak yang digambarkan tidak terkeluar daripada landasan penceritaan.
“Apabila masing-masing sudah faham, barulah kami mampu memberikan hasil yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri #Antidot di Bandar Utama baru-baru ini.
Pelakon yang berusia 32 tahun itu turut berkata, kebanyakan syarikat penerbitan kini enggan mengamalkan tradisi tersebut sehinggakan ada yang menghasilkan drama atau filem berdasarkan nilai komersial semata-mata.
“Semua orang mahu mengarah dan menulis skrip. Sehinggakan, kualiti yang sepatutnya diletakkan pada tangga teratas langsung tidak dipandang.
“Tidak hairanlah jika industri drama dan perfileman tempatan sering dilambakkan dengan karya-karya komersial yang diterbitkan semata-mata untuk tujuan hiburan,” katanya yang menganggap sudah tiba masa industri seni mengubah haluan dan kembali mementingkan kualiti seni berbanding keuntungan.
Kongsi
Bercakap mengenai perubahan tersebut, Remy berkata, dia sentiasa berlapang dada untuk berkongsi pengalaman yang ada padanya jika ia dapat dijadikan ilmu tambahan kepada pendatang baharu.
Begitupun, jelas pelakon filem itu, tidak semua dapat menerima apa yang ingin dia kongsikan.
“Saya tidak kisah untuk berkongsi ilmu dengan pelakon-pelakon baharu kerana saya terlebih dahulu menerima tunjuk ajar daripada pelakon lama dengan cara yang sama.
“Namun, tidak semua mahu mengikut apa yang saya sampaikan. Saya tidak kisah. Jika mereka lebih pentingkan populariti berbanding kualiti, maka terpulanglah,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Remy, bukan semua enggan menerima ilmu yang dia ingin dikongsikan. Malah, terdapat sebilangan pengarah muda yang meminta pendapatnya bagi menjayakan drama-drama arahan mereka.
“Saya akui, ada pengarah yang bertanya tentang cara kerja pengarah-pengarah senior lain yang pernah bekerjasama dengan saya.
“Mereka meminta pendapat tentang proses yang dijalankan sepanjang saya berlakon di bawah arahan pengarah senior tersebut.
“Jadi, saya kongsi apa yang termampu. Namun, ia tidak membuatkan saya memberi ‘arahan’ kepada mereka kerana saya masih hormat mereka sebagai pengarah. Lagipun, saya masih belum bersedia untuk menjadi pengarah,” katanya sambil tersenyum.
Mengulas tentang kenyataannya itu, Remy berkata, kerusi pengarahan merupakan darjat paling tinggi dalam bidang lakonan.
Untuk menuju ke kerusi itu, dia perlu melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu tentang dunia lakonan sebelum berani mengemudi mana-mana naskhah bagi tujuan penerbitan.
“Walaupun ramai yang cakap saya mampu untuk duduk di kerusi pengarah, sejujurnya, saya masih belum sampai ke tahap itu.
“Sepuluh tahun dalam industri lakonan masih belum cukup untuk saya menggunakan pengalaman yang ada untuk mengarah. Banyak lagi perkara yang ingin saya lakukan sebelum bergelar pengarah,” katanya yang mempunyai impian untuk menghasilkan sebuah filem bebas (indie) suatu hari nanti.
Evolusi watak
Jika diteliti naskhah-naskhah yang pernah dijayakan oleh Remy, kebanyak daripada naskhah tersebut menampilkan dirinya sama ada sebagai pelakon aksi ataupun lelaki yang dilamun cinta.
Terbaharu, Remy diberi tanggungjawab untuk menerajui drama bersiri #Antidot yang mendapat sentuhan pengarah Kabir Bhatia. Sekali lagi, dia diberi kepercayaan untuk menggalas karakter yang memerlukannya menampilkan gaya lakonan yang agresif.
Ditanya adakah pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Nur Kasih itu sedar watak yang dibawakan sedikit sama dengan watak-watak terdahulu, Remy menjawab, ia mungkin serupa tetapi dilakonkan daripada sudut pandang yang berbeza.
“Watak yang saya bawakan mungkin bersifat stereotaip, tetapi, jalan ceritanya adalah berbeza.
“Jika kita lihat, pelakon Johnny Depp juga sering membawakan karakter yang sama, namun, apa yang membezakannya adalah pengisian naskhah yang ditampilkan,” ujar Remy yang membawakan watak Fatah dalam drama tersebut.
Bagaimanpun, pelakon itu tidak menolak jika dia diberikan watak yang serupa pada masa yang akan datang.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjayakan watak yang serupa kerana diri saya meningkat dewasa seiring dengan watak-watak yang akan saya bawakan,” ujarnya lagi.
Anak emas
Seperti kebanyakan drama dan filemnya yang lain, Remy dilihat sering menjalinkan kerjasama dengan Kabir Bhatia.
Kekerapannya muncul dalam karya sutradara tersebut menyebabkan ramai yang beranggapan Remy merupakan anak emas kepada Kabir.
Bagi Remy, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja dengan sesiapa sekalipun. Bahkan, selain Kabir, ada beberapa pengarah lain yang pernah bekerja dengannya beberapa kali.
“Mungkin Kabir terlalu dikenali, sebab itu saya dikatakan anak emasnya. Hakikatnya, saya bersifat terbuka dan tidak kisah bekerja dengan sesiapa pun,” katanya.
Disoal apakah keistimewaan Kabir pada matanya, Remy berkata, pengarah itu begitu teliti dalam soal penggambaran dan menjaga setiap perkara dari mula sehingga akhir.
Ulasnya: “Dia begitu komited dalam memastikan perjalanan penggambaran sesuatu drama itu berlangsung dengan sempurna.
“Selain itu, saya gemar dengan caranya yang menyediakan pelakon terlebih dahulu menerusi acara bacaan skrip dan latihan.”
Bosnia dan India
Baru-baru ini, Remy terbang ke Sarajevo, Bosnia bagi menjalani penggambaran drama bersiri Satu Hari bersama pelakon Sara Ali, dan Rita Rudaini.
Selepas berada di sana hampir sebulan, dia kemudiannya terbang ke India bagi menjayakan sesi fotografi untuk sebuah majalah.
Bercerita tentang pengalamannya ketika berada menjelajah dua negara yang berbeza itu, Remy berkata, sepanjang kembaraan, banyak perkara yang dipelajari terutama dalam melahirkan rasa syukur dengan apa yang dia miliki sekarang.
“Bosnia dan India, masing-masing mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Bagaimanapun, peluang pekerjaan di sana tidak terlalu banyak.
“Kekurangan seperti itulah yang menyebabkan saya lebih menghargai negara sendiri. Saya akui, negara kita juga ada kekurangan tetapi jika mahu dibandingkan, Malaysia tetap yang terbaik,” katanya.