Memey idam anak perempuan


Keluarga bahagia Norman dan Memey. Dari kiri: Maria Danisha, Marissa Dania, Memey, Darwisz, Norman dan Danish.

WAJAH pelakon Memey Suhaiza, 26, kelihatan cukup berseri meskipun sedang hamil lima bulan anak keduanya bersama aktor Norman Hakim. Dia yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi kasut terbaharu jenama MediFeet di Holiday Inn, Shah Alam, Selangor baru-baru sempat berkongsi pengalamannya hamil anak keduanya itu.

Katanya, kehamilan kali ini lebih mudah berbanding ketika hamil anak pertamanya, Muhammad Darwisz Hakim yang kini berusia setahun 10 bulan. Tidak memiliki sebarang alahan, jelas Memey, dia masih sibuk di lokasi penggambaran sehingga kini.

Selain itu, Memey yang pernah membuat pengakuan inginkan enam orang anak tidak pernah mengubah rutin hariannya termasuklah memakai kasut tumit tinggi sepanjang kehamilan.

Meskipun tidak kisah jantina bayi yang bakal lahir pada April tahun depan, namun jauh di sudut hati Memey, dia mengidam untuk mendapat anak perempuan. Lebih daripada itu, dia juga sudah mempunyai nama untuk bayi perempuan berbanding nama bayi lelaki yang masih belum diputuskan lagi.

Selain anaknya, Darwisz, Memey turut sama menjaga tiga orang anak Norman bersama Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 11, Marissa Dania Hakim,9, dan Maria Danisha Hakim, 6.




Kosmo!: Bagaimanakah keadaan Memey sejak hamil anak kedua ini?

Memey: Alhamdulillah, sekarang kandungan saya sudah masuk lima bulan dan sepanjang tempoh itu saya tidak ada sebarang alahan langsung. Saya juga sihat dan dapat bekerja seperti biasa.

Adakah anda sudah tahu jantina anak kedua?

Belum tahu lagi kerana perlu menjalani pemeriksaan di hospital. Sebenarnya saya tidak kisah apa jantina sekali pun asalkan bayi yang bakal lahir nanti sihat. Namun, jika bayi yang lahir perempuan saya sudah mempunyai nama untuknya tetapi jika lelaki, saya belum mencari nama yang sesuai.

Maknanya, anda memang inginkan anak perempuan?

Dalam hati kalau dapat sepasang baguslah, teringin juga anak perempuan sebab saya sudah ada anak lelaki. Soal nama, jika perempuan saya akan letak nama Maya Delaila. Sebenarnya nama itu sudah ada sejak saya hamilkan anak pertama lagi tetapi yang keluar anak lelaki (ketawa). Suami pun suka sangat dengan nama Maya Delaila, jadi saya simpan untuk anak seterusnya. Selain itu, nama Maya Delaila juga saya letak sebagai nama syarikat pakaian yang sedang saya usahakan sekarang ini.

Apakah perbezaan kehamilan pertama dengan yang kedua?

Memang terlalu banyak perbezaannya. Ketika hamil anak pertama, saya cepat letih dan sentiasa tidak sihat sehingga sepanjang kehamilan saya hanya berehat sahaja. Berbanding yang kedua, saya tidak ada alahan dan tidak ada sebarang masalah untuk meneruskan rutin kerja dan rumah tangga seperti biasa. Walaupun sudah masuk lima bulan, saya masih sibuk di lokasi penggambaran drama Udin Glamor Balik Kampung musim kedua sehingga hujung bulan Disember. Malah saya juga tidak keberatan untuk menerima watak wanita hamil jika diperlukan dalam waktu saya sedang sarat ini.




Bagaimana pula penerimaan Darwisz dan anak tiri terhadap kehamilan kedua ini?

Anak tiri semuanya seronok dan tidak sabar untuk dapat adik kerana mereka sudah besar. Namun, Darwisz masih terlalu kecil untuk memahami yang dia akan dapat adik. Sejak saya hamil, dia bertambah manja dan selalu minta untuk tidur di atas perut. Sebagai ibu saya layan sahaja kehendaknya, mungkin selepas adiknya lahir barulah dia boleh menerima hakikat yang dia sudah menjadi abang.

Sejak hamil adakah anda tidak memakai kasut tumit tinggi?

Saya rasa kasut tumit tinggi lagi selesa daripada kasut rata. Lain orang, lain caranya. Memang sejak saya hamil anak pertama, saya memakai kasut tumit tinggi sehingga usia kandungan mencecah sembilan bulan tanpa sebarang masalah. Saya cuba untuk memakai kasut rata tetapi tidak selesa dan saya hanya ada sepasang kasut rata yang disimpan di rumah. Mungkin disebabkan saya sudah terbiasa memakai kasut tumit tinggi, saya rasa ia lebih selesa walaupun saya sedang berbadan dua.

Apakah perancangan anda selepas bersalin nanti?

Saya mungkin akan berehat selama dua bulan untuk berpantang dan akan aktif semula dengan bisnes muslimah saya. Saya akui buat masa ini tidak boleh meninggalkan dunia bisnes saya kerana sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Jadi, barangkali jika saya tidak lagi aktif berlakon pada masa akan datang, saya memang akan memberi fokus terhadap bisnes Maya Delaila saya ini.
Previous Post Next Post