Jenama baju Julia Betty



WALAUPUN terpaksa melupakan bidang seni buat seketika, tetapi, Betty dan suaminya, Bruce Dargus berasa gembira kerana dapat membesarkan anak mereka, Julia Claire Dargus bersama-sama.

Melalui fasa menjadi seorang ibu kepada seorang bayi perempuan yang baru genap setahun, ternyata banyak pelajaran baharu yang dipelajari oleh Betty Benafe. Kelahiran Julia Claire Dargus juga telah menggerakkan dirinya untuk terlibat dalam dunia perniagaan.

Itu berita terkini yang dikongsi pelakon tersebut. Katanya, bersama dua orang pereka muda bernama Amaleena Yusoff dan Adam Muzaini, Betty akan muncul dengan rangkaian fesyen kanak-kanak yang diberi label Julia Betty bermula Februari tahun hadapan.

Memulakan perniagaan secara dalam talian terlebih dulu menerusi akaun Instagram @juliabettybanafe, Betty memberitahu, idea tersebut tercetus selepas dia melihat perkembangan fesyen kanak-kanak di Malaysia yang agak terhad.




“Idea untuk menghasilkan pakaian bayi ini tercetus ketika saya sedang berbual dengan rakan-rakan tentang perkembangan fesyen bayi di Malaysia.

“Kami berpendapat fesyen untuk anak-anak kecil di sini sangat terhad. Disebabkan saya gemar merias Julia, kawan-kawan terus memberi cadangan supaya saya hadir dengan jenama pakaian bayi sendiri.

“Jadi saya menjalinkan kerjasama dengan Amaleena dan Adam yang banyak membantu terutamanya memberi pandangan dari segi rekaan dan pemilihan fabrik,” ujar Betty sewaktu ditemui pada majlis sambutan hari lahir anaknya yang diadakan di Restoran Hadramawt, The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saat ditanya tentang kehidupannya yang kini tertumpu sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, Betty mengakui menggalas peranan sebagai seorang ibu bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Banyak perkara perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi jika si ibu itu merupakan seorang wanita bekerjaya.

Setahun tidak aktif sebagai pelakon, kata wanita yang berusia 35 tahun itu, pengorbanannya menolak tawaran menyanyi atau berlakon disifatkan sebagai berbaloi.

“Selepas melahirkan Julia, banyak juga tawaran berlakon dan menyanyi yang saya terima. Namun, atas sebab kekangan masa, saya terpaksa menolaknya.

“Bagaimanapun, keputusan itu sangat berbaloi memandangkan saya dan suami sentiasa berada di sisi Julia ketika dia sedang membesar,”katanya sambil tersenyum puas.

Tambah Betty, walaupun dia menghabiskan masa hampir setahun membesarkan Julia, namun, jauh di sudut hatinya, masih tersimpan rasa rindu untuk kembali beraksi dalam bidang lakonan.

“Saya teringat kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Datuk Rosyam Nor ketika berlakon bersamanya dahulu.

“Katanya, apabila kita terlibat dalam dunia seni, susah untuk berpatah balik.

“Kata-kata Rosyam itu sememangnya benar. Saya masih sayangkan dunia seni dan tidak terfikir untuk bersara dalam masa yang terdekat ini,” katanya yang bakal muncul dengan dua buah single duet bersama abangnya, Rifkee Banafe berjudul Naluri dan Menghargai Cinta pada tahun hadapan.




Dunia Ibu

Melanjutkan perbualan mengenai perkembangan terbaharunya dalam bidang seni, Betty berkata, selain dua buah single yang akan dipasarkan oleh Universal Music Malaysia itu, dia juga bakal mengendalikan sebuah program 13 episod tentang penjagaan bayi berjudul Dunia Ibu.

Ujarnya: “Kebelakangan ini, banyak kematian yang melibatkan bayi terjadi disebabkan kelalaian ibu atau bapa dalam mengendalikan anak mereka.

“Jadi, menerusi program yang dijangka akan disiarkan pada tahun hadapan itu, penonton akan diajar tentang cara-cara penjagaan bayi terutamanya bagi anak kecil yang berumur setahun dan ke bawah.”
Previous Post Next Post