Cermin baik, buruk Ophilia



SEDAR hakikat ideologi skinhead sesuatu yang sudah tercatat hitam pada pandangan masyarakat, (dari kiri) Que, Pekin dan Kodi sedia berdepan pelbagai reaksi umum terhadap filem lakonan mereka, Ophilia.

KEMBALI semula ke lokasi yang sama semasa filem mereka Ophilia dirakamkan sekitar Jun lalu, rasa yang tergantung di dada aktor Que Haidar, Pekin Ibrahim dan pendatang baharu, Kodi Rasheed masih sama. Bezanya, keterujaan mereka lebih memuncak, debaran juga bertambah kencang apabila memikirkan tarikh tayangan umum yang semakin mendekat.

Que dan Pekin tidak lagi berimej botak manakala Kodi pula mengekalkan gaya yang sama. Dia nampak selesa begitu bukan kerana sudah menjadi salah seorang pengikut skinhead tetapi fesyen itu yang dirasakan padan dengan keperibadiannya.




Perkara paling susah sepanjang penggambaran Ophilia ialah pakai kasut but paras betis. Nak ikat tali kasut pun satu hal, kena ambil masa dan sabar. Seksa sebenarnya,” Que memecah suasana dingin di tepi Sungai Klang, di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Lama benar tidak melihat Que Haidar bercerita tentang filem, skrip dan bermain dengan karakter. Kali terakhir melihat Que begitu ialah sewaktu penggambaran filem Rock Oo, sekitar tiga tahun lalu.

Tahun ini, Que memilih untuk terlibat secara intim dengan Ophilia, sebuah filem arahan Raja Mukhriz Raja Kamaruddin yang memaparkan persahabatan tiga anak muda yang terikut-ikut dengan budaya skinhead.

Subjek skinhead itu sahaja sudah cukup menaikkan bulu roma sesiapa yang tahu mengenai budaya berkenaan. Berbunyi negatif dan selalunya dikaitkan dengan keganasan, dadah dan arak, namun salah satu ideologi dalam skinhead iaitu persaudaraan diangkat sebagai nadi yang membentuk Ophilia. Jatuh cinta terhadap kupasan penceritaan, karakter serta skrip yang dihadam sebelum persetujuan diputuskan, Que yakin, biarpun mengundang bau kontroversi, Ophilia yang bakal ditayangkan bermula 18 Disember nanti merupakan sebuah komitmen yang berbaloi menjual namanya.

Untuk Que Haidar

Selepas Rock Oo (2013), Ophilia satu-satunya filem yang berjaya ‘memujuk’ Que Haidar turun ke set penggambaran. Kata Que, dalam Ophilia dia tidak ‘digula-gulakan’ dengan janji box-office atau karakter hero idaman Malaya. Dalam bahasa paling mudah, watak Ozi Gandum dalam Ophilia memenuhi penantian dan pencariannya sebagai seorang aktor.

“Asalnya watak itu kecil tetapi apabila saya setuju, karakter itu ditulis untuk saya. Saya tiada kecenderungan untuk letak istilah eksklusif dan mahal. Pada tahap sekarang, saya cuma buat apa yang saya nak buat. Bukan terima tawaran sebab jadual saya kosong.

“Saya cukup marah apabila dihubungi pihak produksi yang bertanya sama ada jadual saya kosong atau sudah penuh untuk dipanggil berlakon. Beri saya skrip dahulu, kalau saya suka, saya akan cari masa untuk terlibat dengan produksi berkenaan.

“Sekarang saya berlakon untuk menggembirakan hati saya, bukan untuk mudahkan kerja orang,” kata Que yang menyifatkan Ophilia tiba pada waktu dan daripada pengarah yang tepat.

Melanjutkan cerita, skrip Ophilia yang asalnya bertajuk Mono tidak datang terus ke riba Que. Sebaliknya, setelah Kodi dan Pekin memberi kata putus, barulah Que menjadi pelengkap kepada trio budak botak dalam filem berkenaan.

“Untungnya, sebab saya sudah lama kenal Mukhriz, dia antara orang dalam industri yang ‘satu kapal’ dengan saya. Kodi pula salah seorang pelajar yang menyertai bengkel lakonan yang saya kendalikan sebelum ini.

“Sebab minat nak jadi pelakon, dia masuk Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Dia juga jenis muka tak malu sebab tak dijemput pun dia akan ikut dan bertanya segala benda kepada saya.

“Satu benda lagi, dia diambil berlakon bukan atas cadangan saya. Pekin pun sudah lama saya kenal. Tinggal lagi ceritanya sahaja. Saya suka naskhah ini sebab watak-watak dalam Ophilia sangat manusia. Saya suka konsep anti hero.

“Hero tak perlu jadi serba putih,” kata Que yang sebelum ini pernah berlakon dalam dua telemovie arahan Mukhriz iaitu Malaikat Yang Tersembunyi dan Malaikat Di Pintu Babusalam.

Letak tepi segala ideologi dan buruknya pandangan tentang skinhead, sepanjang tempoh beberapa bulan persediaan mengenal, mencari dan meminjam identiti budak skinhead dalam Ophilia, Que percaya, budaya yang dilihat hitam dalam masyarakat itu tidaklah sehitam yang diperkatakan.

“Saya tak pernah bercampur dengan budak skinhead. Apa yang saya buat, kami cuba masuk dan berkenalan dengan golongan skinhead yang masih wujud di sekitar Kuala Lumpur. Kami jumpa dan buat kawan dengan geng skinhead macam budak-budak KL Troopers. Mereka baik dan banyak benda yang kami kongsi sehinggakan mereka keluarkan balik segala kostum, kasut-kasut dan baju-baju lama daripada almari mereka untuk kami guna dalam filem Ophilia. Dalam Ophilia, itu yang kami terapkan, setia kawan dan persaudaraan,” jelas Que yang bersedia dengan sebarang reaksi terhadap filem terbaharunya itu.

Emosi bertempat Pekin Ibrahim

Belum pun ditayangkan, reaksi bercampur-campur mengenai Ophilia boleh dihidu menerusi tweet-tweet yang merajai laman sosial. Selain tweet daripada Twitter rasmi Ophilia The Movie, Pekin Ibrahim antara pelakon yang paling agresif menyeru peminat agar memberi sokongan kepada filem berkenaan.

Baru-baru ini, emosi aktor yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu terbakar apabila kempen promosi Ophilia cuba diburuk-burukkan oleh segelintir pihak. Paling mengejutkan, mereka turut menerima amaran keras yang dihantar oleh pengasas fahaman skinhead Sharp (Skinheads Against Racial Prejudice) yang juga penyanyi utama kumpulan The Oppressed, Roddy Moreno dari Cardiff, Britain.

Moreno mengeluarkan kenyataan rasmi tidak membenarkan Ophilia mengambil lagu yang mereka hasilkan. Moreno memberi amaran, jika Ophilia menggunakan lagu Oppressed sebagai runut bunyi, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

Malah, sebagai pengasas kumpulan yang ditubuhkan sekitar 1989 itu, dia tidak mahu ada kaitan dengan fahaman atau gaya hidup skinhead Nazi. Semua itu bermula akibat salah faham apabila pengikut skinhead Nazi memuat naik gambarnya bersama pelakon-pelakon Ophilia di Malaysia dan ia mendapat perhatian dalam kalangan pengikut pengamal budaya popular itu di seluruh dunia, termasuk Moreno.

“Saya bukan beremosi tetapi apa yang Moreno buat itu adalah amaran tidak berasas. Kami (Ophilia) langsung tak guna lagu mereka, yang dia nak sibuk-sibuk kenapa. Namun, reaksi Moreno itu menunjukkan bahawa filem kecil kami ini sedang diperhatikan dunia,” jelas Pekin yang pernah bercampur dengan golongan skinhead ketika di Kota Bharu dahulu.

Tahu dan sedar bahawa skinhead bukan budaya orang Melayu yang beragama Islam, Pekin ada keyakinan tersendiri. Suatu ketika dahulu, skinhead antara sub budaya yang begitu popular dan kemudiannya ia seperti sudah lenyap, namun tidak mati.

“Dari sudut luarannya, kami kena yakinkan penonton bahawa watak-watak dalam Ophilia membawa identiti skinhead tetapi satu benda yang kita kena ingat, kami semua orang Melayu, ada agama dan hidup atas dasar silaturahim.

“Saya sedar, ramai yang kutuk Ophilia sebagai filem yang angkat budaya negatif tetapi semasa buat rujukan, saya sempat menyertai satu jambori skinhead. Yang datang ke situ semuanya skinhead tapi rata-ratanya orang yang sukses dalam karier. Yang kerja peguam, doktor dan jurutera pun ada.

“Jadi, saya percaya, skinhead ialah minat mereka. Saya tak nafikan ada skinhead yang teruk, tapi segelintir,” jelas Pekin yang membawa watak anak orang kaya bernama Uji dalam Ophilia.



Introduksi Kodi Rasheed

Menjadi pelakon yang paling junior di tengah-tengah di antara Que dan Pekin, Kodi Rasheed atau nama sebenarnya, Mohd. Syazmeer Rasheed, 24, ibarat adik bongsu kepada dua pelakon itu. Sedia dibuli dengan tunjuk ajar dan curahan ilmu tentang lakonan dan industri seni, Kodi beruntung, namun pada masa yang sama harus berusaha dua kali ganda berbanding Pekin dan Que.

“Susahnya jadi orang baharu, sebab saya kena seimbangkan lakonan saya dengan mereka (Que dan Pekin). Saya takut dan teruja sama banyak,” sahut Kodi yang melakonkan watak bernama Totoi, seorang remaja lurus bendul dalam filem pertamanya itu.

“Penonton akan suka Totoi sebab wataknya yang lurus dan anak manja. Sebab itu kami buli dia,” celah Que sambil berjenaka.

Dipilih sebagai ahli budak botak kerana secara fizikalnya dilihat sempurna membawa identiti skinhead, Kodi bagaimanapun tidak pernah peduli tentang skinhead.

“Saya ingat skinhead sudah pupus. Saya fikir, golongan skinhead tak akan suka filem ini, tetapi, semasa saya ikut Pekin menyertai jambori skinhead di Janda Baik, Pahang, barulah saya tahu serba sedikit pasal skinhead,” cerita Kodi yang pernah terlibat sebagai pelakon tambahan dalam telemovie Raja Mukhriz sebelum ini.

KECENDERUNGAN berkarya tentang dunia yang difahami dan merakamkan persekitaran yang rapat serta akrab dengan diri adalah suatu perkara normal bagi seseorang pengkarya. Tanyakan kepada mana-mana seniman, pengarah, penulis novel mahupun penyair sekalipun, barangkali kenyataan akan diperakui tanpa penolakan.

Lantas, kenapa skinhead? Bukankah banyak lagi budaya lain yang pernah melintas, hadir dan menjadi arus evolusi ketamadunan bangsa dan negara sehingga kini, kenapa skinhead juga yang diagungkan dalam sebuah filem?

Soalan itu disuakan ke muka Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin mengenai filemnya Ophilia yang bakal ditayangkan pada 18 Disember ini. Mengangkat budaya skinhead sebagai latar penceritaan, pengisian sebegitu secara jujurnya memberi bayangan kepada pemikiran seseorang pembikin.

“Saya membesar sewaktu budaya skinhead tengah popular sekitar lewat tahun 1980-an dan 1990-an. Selain rock, banyak lagi sub budaya yang jadi ikutan anak muda ketika itu, ada punk, heavy metal dan ada skinhead. Walaupun bukan sebahagian daripada pengikut skinhead tetapi benda-benda begitu depan mata saya. Saya bukannya pengarah yang bijak pandai, jadi saya pilih sub budaya yang dekat dengan jiwa saya apabila berkarya,” katanya yang memilih nama-nama watak serta tajuk filem Ophilia sebagai tribute kepada rakan-rakan yang pernah hadir dalam hidupnya.



Previous Post Next Post