Intan Ladyana minta henti dikaitkan dengan Kamal Adli


INTAN kini rapat bersama jejaka bernama Lutfi (kiri).

WALAUPUN telah lebih tiga bulan pelakon Intan Ladyana memutuskan hubungan dengan bekas kekasihnya, Kamal Adli, namun gadis tinggi lampai berusia 32 tahun ini masih lagi dikaitkan dengan jejaka yang pernah bertakhta di hatinya selama enam tahun itu.

Semuanya bermula gara-gara teman baiknya, pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay memperkenalkan seorang lelaki yang juga sahabat baik suaminya kepada Intan.

Sorotan daripada perkenalan itu, Kamal dalam satu kenyataan memberitahu, dia agak terkejut dengan tindakan Liyana kerana dia juga merupakan kenalan rapat kepada pelakon tersebut.

Kata Kamal, sebagai rakan, Liyana sepatutnya lebih memahami dirinya dan Intan, bukan bertindak mempertemukan Intan dengan lelaki lain sejurus selepas mereka berpisah.

Ketika ditemui pada majlis pembukaan restoran Papa John’s di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, Intan menegaskan, dia enggan memperbesarkan isu tersebut.

Intan atau nama sebenarnya, Intan Nurladyana Mohamad Yahaya berkata, dia lebih rela berdiam diri daripada terus memberikan komen terhadap kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh bekas kekasihnya itu.

Selain itu, pelakon yang popular menerusi filem Adnan Sempit ini memohon agar tidak lagi dikaitkan dengan sebarang perkara yang melibatkan Kamal.




Kosmo!: Bekas kekasih Intan, Kamal Adli melahirkan rasa kecewa selepas mengetahui pelakon Liyana Jasmay memperkenalkan kawan suaminya kepada anda beberapa bulan selepas anda dan Kamal berpisah. Apakah reaksi anda mengenai perkara ini?

INTAN: Kalau boleh, saya tidak mahu memberi sebarang komen dan dikaitkan lagi dengan Kamal. Biarlah dia berterusan memberikan kenyataan kepada pihak media. Saya tidak kisah jika orang ramai masih menyalahkan saya kerana berdiam diri. Apa yang penting, saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan.

Mengapakah anda mengambil pendekatan untuk lebih berdiam diri?

Saya percaya, jika saya terus bercakap tentang perkara ini, pasti peminat di luar sana akan berasa jemu. Lebih baik saya berdiam diri dan memberi fokus terhadap kerjaya.

Dunia hiburan di Malaysia sangat kecil. Adakah anda tidak kisah jika terbabit dalam satu produksi dengannya suatu hari nanti?

Saya tidak kisah. Apabila melibatkan soal kerjaya, saya akan profesional.

Ada juga dakwaan yang mengatakan jejaka yang dikaitkan dengan anda, Lutfi Johari merupakan anak orang kaya. Komen?

(Sambil tertawa) Siapa kata dia datang daripada kalangan orang berada? Saya tidak pernah memandang harta apabila mahu berkawan dengan sesiapa. Agak lucu juga apabila saya diberitahu tentang hal ini.

Pada pendapat anda, secara umumnya, apakah sebab utama gagalnya sesebuah hubungan itu?

Dalam menjalinkan hubungan, banyak perkara perlu diambil kira. Bagi saya, apa yang penting adalah nilai kesabaran. Sepanjang lebih kurang enam tahun bersama, terlalu banyak perkara yang telah saya lalui. Jika tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, hubungan pastinya tidak akan berjaya.

Tidakkah terlalu awal untuk anda menjalinkan hubungan cinta (dengan Lutfi) selepas baru sahaja berpisah dengan bekas kekasih?

Hubungan saya dengan Lutfi hanya sekadar kawan. Saya akui, saya mengenalinya menerusi kawan baik saya, Liyana. Namun, perkenalan itu bukan diaturkan untuk saya dan Lutfi menjalinkan hubungan cinta. Ia sekadar pertemuan biasa sahaja.

Bagi anda, bilakah masa yang sesuai untuk seseorang wanita itu kembali bersedia untuk menerima cinta dalam hidupnya?

Terpulang kepada individu. Tidak semua wanita sama. Jika mereka selesa untuk keluar berpacaran walaupun baru sahaja putus cinta, itu adalah hak masing-masing.

Jadi, adakah anda kini dalam proses mengenali Lutfi dan berhasrat untuk meneruskan hubungan ke arah yang lebih serius?

Maaf, saya tidak dapat memberikan sebarang komen.

Setelah melalui perkara sebegini, apakah pengajaran yang anda dapat daripada hubungan masa lalu?

Pada pendapat saya, mungkin selepas ini saya tidak lagi bersifat terbuka dalam membicarakan perihal hubungan kepada umum. Biarlah apa yang bersifat peribadi, kekal untuk pengetahuan sendiri sahaja.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya masih lagi dalam tempoh bercuti sejak bulan November yang lalu hingga bulan Disember. Walaupun tidak mengambil sebarang tawaran berlakon, saya masih lagi memenuhi undangan ke majlis-majlis tertutup. Saya akan mula aktif kembali pada bulan Januari tahun depan.


Previous Post Next Post