Pencetus Ummah Juara bukan sasaran


Sesi fotografi bersama peserta Pencetus Ummah, (dari kiri) Nasri, Lokman dan Amir di Studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat kepada keperibadian tiga finalis Pencetus Ummah musim kedua(PU2), Nasri, Amir dan Lokman jelas mempamerkan keikhlasan mereka dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendakwah.

Mengakui tidak mengejar gelaran juara dalam program realiti PU2 itu, sebaliknya ketiga-tiga pendakwah ini hanya ingin menjadikan program tersebut sebagai platform supaya terus menyebarkan agama Islam.




“Saya tidak pernah terfikir untuk merebut gelaran juara dalam program ini. Bagi saya, apa yang penting ialah saya boleh mempelajari ilmu sebagai seorang pendakwah.

“Mungkin sebelum ini kami hanya terbatas untuk menyebarkan dakwah kerana tidak mempunyai platform yang sesuai. Namun kini, kami menggalas tanggungjawab yang lebih berat dengan menyebarkan dakwah secara universal.

“Insya-Allah kami akan menggunakan platform PU2 untuk terus berdakwah secara menyeluruh. Gelaran juara bukanlah sasaran utama kami pada dasarnya,” jelas Nasri ketika ditemui selepas sesi fotografi baru-baru ini.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar finalis program realiti PU2, Lokman memberitahu, perbezaan persekitaran, cara penyampaian dakwah dan kesediaan untuk memenuhi tuntutan juri menjadi cabaran utama.

“Jika sebelum ini kami hanya berdakwah di sekitar kawasan kami ataupun di kampung kami sahaja, namun kini setelah berada dalam program realiti ini, ia amat berbeza sekali. Kami perlu memenuhi banyak tuntutan, terutamanya kehendak juri yang ingin kami mengikut format sedia ada.

“Cara penyampaian yang berbeza dan profesional menambahkan lagi kesukaran kepada kami. Mungkin semua orang boleh berdakwah, namun belum tentu ada pendakwah yang dapat berdakwah dengan cara betul, sekali gus mampu untuk menawan hati semua orang.

“Mungkin terlalu awal buat kami untuk cuba membiasakan diri dengan keadaan dan persekitaran baharu kerana kami hanya menyertai program ini selama tiga minggu.

“Jika diberi sedikit masa lagi, kami akan mampu memberikan yang terbaik sesuai dengan permintaan juri,” jelas Lokman yang kini menduduki tangga tercorot dalam kedudukan finalis program tersebut.

Menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai ilmu yang diperolehi, sepanjang berada di dalam program realiti Islamik itu, Amir melahirkan rasa syukurnya apabila dibimbing oleh beberapa pakar yang membimbing mereka untuk menjadi seorang pendakwah versatil.

“Saya berterima kasih kepada semua tenaga pengajar (Murabbi) yang ternyata banyak memberi tunjuk ajar kepada kami sepanjang bergelar finalis program ini.

“Pengalaman dan cabaran yang dikongsikan membuatkan kami sedar bahawa dakwah bukan sahaja melibatkan penyampaian ilmu Allah kepada masyarakat, malah melibatkan perjuangan untuk terus menambat hati masyarakat supaya dekat dan mengenal Islam,” ujar Amir mengakhiri perbualan.

Program PU2 kini memasuki minggu keempat. Penonton boleh mengikuti perkembangan pertandingan program ini yang ditayangkan setiap Khamis bermula pukul 9 malam menerusi saluran Astro Oasis (106) serta tayangan serentak di Maya HD (135).

PU2 turut menampilkan Ustaz Haslin Baharim, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Fauziah Nawi sebagai Murabbi atau fasilitator.

Terdahulu, PU2 menyaksikan 10 peserta bertanding sebelum disingkirkan pada setiap minggu.


Previous Post Next Post