Hamil, Mon Ryanti alami alahan teruk


Mon dan Hasrul (kiri) bersedia untuk menyandang gelaran ibu dan bapa.

SELEPAS mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan, pelakon Mon Ryanti Sahudina Lee, 26, atau lebih popular dikenali sebagai Mon Ryanti mengumumkan bakal menimang cahaya mata sulung menjelang pertengahan Julai 2015.

Menerusi akaun Instagram peribadinya, Mon telah menggunakan hashtag #alldaysickness sehingga membuatkan ramai peminatnya tertanya-tanya perkhabaran daripada pelakon filem Jin itu.

Mon telah mendirikan perkahwinan bersama pasangannya yang merupakan seorang ahli perniagaan, Mohd. Hasrul Ali, 26, pada 12 September lalu di Dewan Sangkar Kristal, Johor Bahru, Johor.

Ketika dihubungi, Mon memberitahu khabar gembiranya bahawa dia kini hamil dua bulan. Dari satu sisi lain, ketika awal kehamilannya juga, penyampai radio Ultra FM itu mendapat berita sedih mengenai pemergian neneknya, Mar Abdul, 78, pada 2 Disember lalu.




Artis Meletop!: Tahniah diucapkan atas kehamilan sulung Mon dan pasangan. Sudi sekiranya anda kongsikan perasaan gembira sejurus mendapat berita kehamilan tersebut?

MON RYANTI: Alhamdulillah, saya dan suami sangat teruja dan gembira apabila disahkan sudah hamil selama dua bulan. Ini merupakan pengalaman pertama kami sebagai pasangan suami isteri dan setiap hari merupakan cerita baharu buat kami. Saya mengharapkan agar peminat mendoakan kesejahteraan dan kesihatan kandungan saya.

Adakah anda merancang untuk mendapatkan cahaya mata dalam tempoh terdekat selepas melangsungkan perkahwinan?

Kami tidak merancang dan tidak menyangka dikurniakan rezeki seawal ini. Saya bersyukur kerana pada usia yang masih muda, kami dilimpahi rezeki dan insya-Allah bakal menimang cahaya mata sulung pada pertengahan bulan Julai tahun depan.

Anda mahukan bayi lelaki atau perempuan?

Saya tidak kisah jantina bayi yang bakal dilahirkan kelak, asalkan keadaannya sempurna dan sihat.

Difahamkan anda mengalami alahan yang teruk sehingga mengganggu tugasan harian. Benarkah?

Ya, sejak awal kehamilan lagi saya sudah muntah-muntah dan pening kepala yang melampau sakitnya sehingga memaksa saya berbaring sepanjang masa. Adakalanya saya langsung tidak boleh makan kerana setiap kali menjamah makanan, saya akan muntah.

Saya risau dengan kandungan saya kerana kondisi badan yang tidak stabil, namun, saya difahamkan alahan sebegini akan berlaku pada tempoh empat bulan pertama kehamilan sahaja.

Adakah anda juga mengidam makanan yang pelik-pelik?

Buat masa sekarang, saya belum lagi mengidam makanan yang pelik-pelik. Saya bernasib baik kerana dianugerahkan seorang suami yang sangat memahami. Hampir setiap hari dia akan menghantar dan menjemput saya pulang dari tempat kerja. Kadang-kadang saya berasa sangat malas untuk bersolek dan alergi dengan alat solekan, namun keadaan itu beransur-ansur hilang.

Memandangkan anda mengalami alahan yang teruk, bagaimanakah prestasi kerja anda sebagai penyampai radio di Ultra FM?

Mereka sangat memahami dan memberikan alternatif untuk saya menyelesaikan tugas saya. Pernah beberapa kali saya hampir termuntah ketika sedang mengendalikan konti. Mujur tiada sebarang situasi tidak diingini berlaku, namun sehingga kini saya masih bekerja kerana selalunya keadaan saya akan kritikal pada sebelah pagi sahaja.

Anda juga sudah mulai berhijab sejak 1 Muharam lalu, sudi sekiranya anda kongsikan proses penghijrahan itu?

Semuanya berlaku dengan pantas. Sebelum keluar rumah saya mencapai tudung dalam almari dan terus menyarungkan di kepala. Ketika itu saya mahu menemani suami saya ke Litar Antarabangsa Sepang untuk menyaksikan acara Moto GP dan nikmat Allah pada hari pertama saya bertudung ditambah pula berada di tempat bercuaca panas seperti Sepang, saya langsung tidak merasa bahang panas. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan saya.

Ada sebilangan kecil artis yang berhijrah kerana mengikut trend semasa, bagaimanakah pula dengan anda?

Saya sudah lama menyimpan niat untuk berhijab, rasanya sebelum berkahwin lagi, namun saya tangguhkan dahulu hasrat itu. Awal Muharam telah mengubah perspektif saya dan menetapkan hari untuk terus berhijab, semuanya berlaku secara semula jadi dan tidak mengikut apa-apa trend. Ia datang dari dalam hati.


Previous Post Next Post