Salwa ada wisma sendiri


MANJA dan memikat hati. Itu pesona yang dibawa oleh penyanyi era 1980-an yang popular dengan lagu Satu Dua Kau, Salwa Abdul Rahman.

Ternyata ketika pertemuan dengannya baru-baru ini, dia masih individu yang serupa. Pastinya, soal populariti dan kehilangan penyanyi itu daripada industri hiburan menjadi pokok bicara.

Kata Salwa, 49, dia tidak menghilang daripada dunia seni, malah kebanyakan undangan nyanyian yang diterimanya datangnya daripada individu yang pernah dikenali sekitar era 1980-an dan 1990-an ketika nama­nya berada di puncak. Begitupun Salwa akui, roda hidupnya dalam dunia seni tidak semestinya sentiasa berada di atas.




“Kalau saya cerewet dan banyak ke­renah, rasanya sudah lama saya terkubur. Alhamdulillah, saya mengikuti pereda­ran semasa dan masih diundang untuk menjayakan persembahan nya­­nyian.

“Yang menariknya, undangan itu selalunya datang daripada individu yang membesar dengan lagu-lagu nyanyian saya dan pernah menyaksikan persembahan saya suatu ketika dahulu. Kini mereka sudah duduk di kerusi tinggi dalam pekerjaan.

“Mereka pula masih mahukan saya menyanyikan lagu-lagu lama, yang masih malar segar dalam ingatan mereka. Saya juga bersyukur dikurniakan suami dan anak-anak yang memahami minat dan mata pencarian saya. Mereka tidak pernah menghalang saya untuk terus menjadi penyanyi,” ujarnya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya, adakah mungkin Salwa akan mengikut jejak langkah beberapa teman ‘sepermainannya’ dalam industri yang merancang untuk membuat kemunculan semula atau muncul dalam per­tan­­dingan nyanyian, jawabnya, impian untuk muncul semula sudah tertakluk dalam perancangannya tahun depan. Cuma satu perkara, mustahil untuk dia berada di pentas pertandi­ngan nya­nyian.

“Saya akan merakamkan single baharu tidak lama lagi tapi bukannya solo, mungkin akan melibatkan duet bersama dua orang artis lain. Kalau ditanya kesudian saya untuk menyertai pertandingan nyanyian seperti yang sedang dilakukan oleh beberapa orang rakan seperjuangan saya ketika ini, rasanya itu tidak mungkin,” kata ibu kepada dua cahaya mata, Puteri Sulaikha dan Putera Sufrie Nizam itu.

Dalam perkembangan lain, Salwa juga bakal muncul dengan sebuah single duet bersama pendatang baharu, Faizal Zain menerusi lagu irama pop padang pasir berjudul Murakkab Kerin­duan. Lagu ciptaan Yuzz dan lirik oleh Faizal Zain dan Muaffaq itu turut menampilkan tiupan seruling daripada Mohar.

“Saya faham perasaan pendatang baharu yang bersemangat dan bekerja keras untuk menghasilkan lagu serta memasarkan produk, jadi saya bersetuju untuk berkolaborasi bersama Faizal Zain menerusi single pertamanya dalam album sulungnya.

“Tiada masalah bagi saya untuk berduet dengan penyanyi baharu kerana dahulu pun, saya pernah berada di kedudukan mereka. Memandangkan melodi ini bersesuai­an dengan suara saya, jadi tawaran itu saya terima de­ngan hati terbuka.

“Mungkin apabila mendengar irama lagu Murakkab Kerinduan itu akan ada ramai yang mempertikaikan imej dan cara saya berpakaian. Ingin saya tegaskan lagu tersebut bukan sebuah lagu nasyid, sebaliknya genre pop berunsur nasihat,” jelas Salwa.

Sementara itu, menurut Faizal Zain, pemilihan Salwa untuk tampil dalam single pertamanya ialah satu percaturan terbaik. Selain kekuatan dan kesesuaian vokal Salwa untuk me­nyanyikan lagu genre tersebut, mereka berpeluang untuk bertukar pandangan dan sasaran peminat.

“Lagu pertama yang saya nyanyikan ialah sebuah lagu raya berjudul Nuansa Aidilfitri bersama Rohana Jalil. Kemudian, saya mencari sebuah lagu yang berbeza, namun masih kena dengan te­linga pendengar iaitu lagu berunsurkan nasihat seperti Murakkab Kerinduan yang sebenarnya bercerita mengenai kisah hidup Nabi Muhammad.

“Saya membesar dengan lagu-lagu artis lama seperti Salwa dan Rohana Jalil, rasanya tiada masalah untuk saya mencari keserasian dengan mereka,” katanya yang merancang untuk me­rakamkan klip video lagu Murakkab Ke­rinduan sekitar Januari depan.

Album sulungnya yang menggunakan judul Murakkab Kerinduan juga mengandungi enam buah lagu dan tiga daripadanya dirakamkan semula daripada versi asal iaitu Tiada Yang Kekal, Allahurabbi dan Oh Dunia. Lagu lain yang dimuatkan dalam album itu termasuklah Ayah & Ibu dan Tenggelam Timbul (feat. Jaafar Onn & Yusz).

Dalam perkembangan lain, Salwa yang turut cenderung dalam perkembangan sukan bola sepak bakal membuka sebuah wisma sendiri yang dinamakan Wisma Salwa menjelang awal tahun 2015.

Biarpun masih belum siap sepenuhnya, wisma yang ditubuhkan bersama suaminya yang merupakan bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Subadron Abdul Aziz itu telah mula beroperasi beberapa bulan lalu.

“Kami menubuhkan Akademi Bola Sepak Subadron yang dijalankan di wisma tersebut. Memandangkan itu minat utama suami saya, jadi dia berhasrat untuk menubuhkan sebuah akademi yang akan membantu anak muda yang cenderung dan minat dalam sukan bola sepak.

“Bayaran yang dikenakan juga sa­ngat lumayan, malah dalam akademi itu, mereka dilatih dengan teknik yang betul, disediakan hostel serta tunjuk ajar daripada pemain bola sepak berpengalaman,” tambah Salwa.




Previous Post Next Post