Keputusan tuntutan nafkah anak yang dipohon pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 38, terhadap bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak, 27, ditangguhkan kepada 26 Januari depan.
Hakim Syarie Mahkamah Rendah Subang Bestari, Abd Halim Abu Samah menetapkan tarikh itu berikutan kegagalan defendan memfailkan hujahan balas.
Abd Halim membenarkan permohonan peguam Rita Rudaini, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, mengenakan kos terhadap defendan berikutan kegagalan itu.
“Mahkamah memerintah defendan membayar RM500 kepada plaintif sebagai kos agar menjadi pengajaran pada masa akan datang dan tidak membuang masa pihak terlibat,” katanya.
Plaintif juga turut diarahkan mahkamah memfailkan hujahan akhir pada 24 Disember ini.
Terdahulu, Mohd Zaidi memaklumkan defendan memfailkan hujahan pada 1 Disember lewat daripada tarikh yang ditetapkan mahkamah iaitu 22 Oktober.
Peguam defendan, Rushdan Sujak Rafee memaklumkan, kelewatan itu disebabkan oleh masalah teknikal.
Rita Rudaini menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.
Di luar mahkamah, ibu tunggal itu meluahkan rasa kesalnya apabila kes difailkan sejak dua tahun itu berlarutan hingga kini.
“Saya kecewa sangat, masing-masing ada tugasan nak selesaikan, bukan dia (Aidil Zafuan) seorang yang sibuk," katanya.
Sementara itu, Aidil Zafuan ketika ditemui berkata, dia mahu fokus terhadap tanggungjawabnya sebagai bapa dengan memfailkan ubah perintah hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Seremban bulan lalu.
Menurutnya, tindakan itu diambil kerana dia memerlukan masa yang tetap bersama anak-anaknya.
“Keputusan mahkamah sebelum ini menetapkan hak saya berjumpa anak dua kali sebulan, tapi saya tidak dapat," katanya.
Ketika ditanya tentang hal itu, Rita Rudaini berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis berkaitan permohonan Aidil.