Erin Malek dan suami Farriz Fauzy
PELAKON cantik, Erin Malek, 20, mengejutkan ramai peminatnya apabila mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang di usia yang masih muda.
Tidak menjadikannya sebagai masalah besar, isteri kepada Farriz Fauzy ini sebaliknya menganggap ia sebagai satu cabaran baharu dalam hidup.
"Kehidupan saya kini sangat seronok, apatah lagi saya sukakan benda-benda yang baharu dan mencabar. "Sebagai pasangan muda, saya cuba untuk menikmati alam perkahwinan sebaik-baiknya," katanya pada Zass.
Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek memberitahu, dia juga sudah bersedia untuk bergelar ibu selepas lebih dua bulan bergelar isteri.
"Saya akui, ramai yang sudah bertanya, adakah saya sudah berisi. "Tetapi, setakat ini, masih belum ada lagi tanda-tanda kehamilan.
"Jika boleh, suami memang mahukan anak seawal mungkin, tapi kami anggap masih belum ada rezeki lagi," katanya yang membela kucing bagi mengisi masa bosannya.
Kata Erin, dia dan suami masih lagi dalam fasa berbulan madu dan akan ke London pada hujung Disember ini untuk percutian mereka berdua.
"Kami sama-sama suka berjalan. Jadi kami tak kisah berbelanja untuk tujuan itu," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, memandangkan dia kini masih mencuba untuk menyesuaikan diri dalam keluarga baharunya jadi dia hanya akan aktif bekerja mulai tahun depan.