MISHA mengakui suaminya, Firos banyak mengajarnya menjadi isteri serta ibu yang baik.
Sejak bernikah dengan juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Firos Ezzwan Rossly, 32, pada 2 Mei lalu, penyanyi Misha Omar, 32, belum lagi berkesempatan untuk berbulan madu bersama suaminya. Semuanya disebabkan kepadatan jadual mereka berdua, ditambah suaminya yang sukar memperoleh cuti yang panjang.
Meskipun begitu, Misha tidak pernah memadamkan hasrat tersebut, malah dia merancang untuk berbulan madu pada Februari tahun depan memandangkan waktu itu dia mempunyai kelapangan.
Malangnya, sekali lagi Misha terpaksa berkorban apabila rancangan itu terpaksa dibatalkan demi menjayakan watak Keponakan Cantik dalam teater Diari Wanita...Episod Kak Ani dan Nyonya yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 11 hingga 16 Februari 2015.
“Memang saya dan suami tidak sempat pergi berbulan madu sejak kami berkahwin. Dalam hati saya teringin sangat pergi bercuti ke luar negara kerana sudah hampir tiga tahun saya tidak bercuti panjang. Ingatkan selepas kahwin bolehlah bercuti tetapi jadual semakin padat pula.
“Apabila saya menerima tawaran berlakon teater bermakna saya harus memberi komitmen 100 peratus dan saya berkorban tidak dapat pergi bercuti. Suami juga kata tidak baik menolak rezeki kerana pekerjaan saya berdasarkan tawaran. Mungkin selepas teater barulah saya akan pergi bercuti,” kata Misha.
Disoal destinasi yang menjadi pilihannya untuk bercuti, jawab Misha atau nama sebenarnya, Samiha @ Aisah Omar, dia tidak mempunyai sebarang destinasi khusus, sebaliknya bersyukur andai diberi kesempatan bercuti berdua bersama suaminya.
Secara purata, seminggu Misha hanya punya waktu 48 jam bersama suaminya, selebihnya Misha akan sibuk dengan kerjaya seni dan suaminya pula terbang di awan biru memenuhi tuntutan kerja sebagai juruterbang MAS.
“Saya tidak kisah bercuti ke mana sahaja, janji kami pergi bercuti berdua. Nampaknya buat masa sekarang agak mustahil kerana terlalu sibuk. Bayangkan, dalam seminggu saya hanya berkesempatan bertemu dengan suami selama dua hari sahaja, selebihnya dia akan terbang dan berada di luar negara.
“Sebab itu apabila suami saya berada di rumah, bukan saya sahaja berebut masa dengannya tetapi juga anak angkat saya, Muhammad Adam Amir, 8, yang inginkan perhatian daripada suami.
“Selalunya, apabila anak saya tahu ayahnya akan balik, dia sudah ada rancangan yang diaturkan sendiri bersama suami. Sebagai ibu saya harus bertolak ansur dan mengikut kemahuan anak,” tutur penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu lagi.
Walaupun jarang bertemu dengan suaminya, itu bukan satu masalah besar buat pelantun lagu Nafas Cahaya itu kerana sudah biasa ditinggalkan sejak zaman mereka bercinta lagi. Justeru, apabila berkahwin, Misha sudah terbiasa dengan rutin kerja suaminya.
“Kami bercinta sejak dia belajar, jadi saya sudah faham rutin kerjanya dan apabila dia kurang masa bersama saya, itu bukan satu masalah yang besar. Walaupun mempunyai masa yang singkat di darat, suami selalu pastikan masa itu diisi dengan aktiviti berkualiti bersama keluarga.
“Jarang ada di rumah tidak bermakna suami lepas tangan dalam banyak hal, sebaliknya dia paling banyak memandu arah saya untuk menjadi isteri dan ibu yang lebih baik,” tutur Misha.
Akuinya lagi, sejak berkahwin, dia dan suami menetap di sebuah rumah bersama kakaknya yang juga pengurusnya, Mimie serta ibunya, Zainab. Disebabkan itu, Misha terlebih manja dan kurang memberi perhatian terhadap tugasnya sebagai isteri. Sedar akan perkara itu, Misha dan suaminya mengambil keputusan untuk berpindah supaya mereka lebih berdikari dalam menguruskan rumah tangga sendiri.
Pindah rumah
SELEPAS setengah tahun berkahwin, Misha baru ingin berpindah ke rumah sendiri bersama suaminya, Firos.
“Sekarang kami menetap bersama keluarga saya di Damansara, Selangor. Dalam masa dua minggu ini, saya dan suami akan berpindah ke rumah saya di Cheras, Kuala Lumpur.
“Rumah itu telah lama saya beli pada zaman muda dahulu. Rasanya, sekarang ini masa yang sesuai untuk berpindah kerana saya sudah memiliki keluarga sendiri. Mungkin pada masa depan jumlah ahli keluarga akan bertambah, jadi perlulan rumah yang lebih luas.
“Suami juga menegur saya terlalu manja dengan kakak dan ibu. Boleh dikatakan, kebanyakan masa kakak dan ibu yang menguruskan rumah serta anak saya. Apabila berpindah nanti, semua kerja rumah saya harus siapkan sendiri sebelum keluar bekerja. Mungkin saya akan lebih penat tetapi bagi saya ia satu pekembangan yang positif untuk saya lebih berdikari,” terang Misha.
Selain daripada itu, Misha juga berkongsi debaran apabila tahun depan merupakan kali pertama anaknya, Adam akan bersekolah di sekolah kerajaan di Cheras, selepas bersekolah di sebuah sekolah swasta sejak tadika.
Beritahu wanita ini, suaminya yang mahukan Adam berpindah sekolah kerana berpendapat sekolah kerajaan lebih baik untuk perkembangan minda anaknya.
“Suami saya merasakan sekolah kerajaan lebih baik kerana dia melihat Adam tidak berkembang di sekolah swasta. Disebabkan makanan disediakan pihak sekolah, sehingga ke hari ini Adam tidak pandai membeli makanan sendiri, dia hanya tahu minta sahaja. Tambahan, sekolah swasta itu merupakan lot rumah kedai, jadi suasananya tidak seperti sekolah lain.
“Mulanya saya bantah permintaan suami untuk pertukaran sekolah kerana bimbang prejudis orang terhadap status Adam yang merupakan anak angkat.
“Namun, setelah berfikir panjang, ada benarnya pendapat suami saya. Di sekolah kerajaan suasananya berbeza, persaingan lebih sengit, rakan-rakan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan paling penting dia belajar berdikari.
“Sampai bila saya harus lindungi dia kerana bukan selamanya saya ada bersamanya. Keputusan tukar sekolah ini antara yang paling berat untuk saya tetapi Adam okey sahaja. Saya harap keputusan yang diambil ini merupakan keputusan yang tepat,” ujar Misha tentang anaknya yang akan memasuki darjah tiga pada tahun depan.
Teater Nyonya
Beralih cerita kepada teater Diari Wanita...Episod Kak Ani dan Nyonya, kongsi Misha, tawaran yang diberikan oleh penerbit teater itu, Siti Rohayah Attan tidak mampu ditolaknya meskipun sudah dua kali melakonkan watak Keponakan Cantik dalam teater Nyonya. Kepuasan lakonan yang diperolehi di pentas teater menyebabkan Misha tidak berfikir panjang menerima tawaran tersebut walaupun terpaksa mengorbankan perancangannya untuk berbulan madu.
“Sejujurnya, saya banyak belajar ilmu lakonan di pentas teater bersama teater Nyonya. Kepuasan dan keseronokan yang diperolehi sepanjang proses latihan dan pementasan membuatkan saya tidak mampu menolak tawaran yang diberi.
“Kesemua barisan pelakon yang terlibat merupakan wajah yang biasa dengan teater Nyonya dan ibarat sebuah keluarga kepada saya. Walaupun sudah dua kali melakonkan watak yang sama, saya beri jaminan setiap pementasan itu berbeza,” tutur Misha.
Selain Misha, teater Nyonya itu turut dibintangi oleh Sherry Alhadad, Nur Nazira Harizan, Amy Mastura, Juhara Ayob, Nad Zainal dan Shahrul Mizad Ashari manakala untuk teater Kak Ani ia dilakonkan secara monolog oleh Liza Othman dan Dayang Kartini.
Bercerita tentang kerjaya nyanyiannya, terbaharu dia bakal berduet dengan penyanyi Hafiz menerusi lagu berjudul Terimaku Seadanya yang dicipta oleh Ajai.
Tegasnya, dia bukannya memilih Hafiz atas faktor populariti penyanyi berkenaan tetapi atas dasar keserasian vokal mereka berdua.
“Projek duet dengan Hafiz berlaku tanpa dirancang. Waktu itu saya dan Hafiz terlibat dalam sebuah program televisyen, kami berdua menyanyikan lagu Salahkah, duet Hafiz bersama Datuk Rossa. Kami terkejut kerana vokal kami serasi dan kebetulan pula isteri kepada komposer Ajai, Kak Liza singgah di studio melihat kami menyanyi.
“Saya katakan padanya, mintalah Ajai buat satu lagu duet untuk saya dan Hafiz. Saya tidak sangka pula, gurauan itu menjadi benar apabila projek duet itu dipermudahkan.
“Lagunya sudah siap, tinggal proses rakaman sahaja yang tergendala atas sebab kesibukan saya dan Hafiz. Selepas siap, lagu Terimaku Seadanya itu akan dimasukkan dalam album saya yang keempat,” terang Misha.