Kes saman: Boy Iman hampir berundur



"KES saman malu itu masih lagi sedang berjalan," reaksi pelakon, Boy Iman ketika ditanya Zass mengenai tindakan saman malu bernilai RM3 juta terhadap seorang pemilik syarikat yang didakwa bergelar ustaz.

Mengulas lanjut, kata pelakon drama 3 Nenek 1 Dara ini, dia pernah menyimpan hasrat untuk menarik balik kes saman malu itu sejak dianugerahkan Darjah Jaksa Naning Melaka (D.J.N.M), dari Kerajaan Naning yang membawa gelaran Datuk namun, segalanya terbantut di tengah jalan.

"Pada ketika itu, saya sudah malas hendak memanjangkan isu ini lagi.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan saya juga malas hendak berulang alik ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Tetapi, oleh kerana pihak di sana tetap ingin meneruskannya, maka saya pun terpaksa meneruskan semula saman ini," katanya.

Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman A Rahman memberitahu saman malu ini bertujuan memberi peringatan kepada ustaz berkenaan.

"Saya saman dia kerana saya mahu hak saya semula selain hendak memberitahu ustaz itu agar berhenti dari menipu orang lagi.

"Dia mungkin boleh lari dengan menukar imej seperti bermisai atau berjanggut tetapi saya sebagai artis tidak boleh lari kerana saya adalah selebriti dan masyarakat kenal.




"Biarlah masa menentukan segalanya," katanya

Sebelum ini, Boy Iman telah mengemukakan notis saman malu terhadap lelaki didakwa ustaz itu berjumlah RM3 juta atas alasan menanggung malu serta pengingkaran kontrak oleh syarikat perumahan itu.

Anjur Ad Hoc Selebriti Fest

Dalam pada itu, Boy Iman kini sibuk menguruskan syarikat produksinya, AFS Pictures Sdn Bhd yang baharu ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

Terbaharu, kata Boy Iman, syarikatnya bekerjasama dengan Kelab Usahawan Selebriti menganjurkan Ad Hoc Selebriti Fest yang akan diadakan di Terengganu Trade Centre, Kuala Terengganu pada 30 dan 31 Januari 2015.

"Ia bukan saja berlangsung di sana sebaliknya kami akan mengadakan satu siri jelajah ke seluruh negara. Selepas Terengganu, kami akan bergerak ke Melaka, Kedah, Johor Baharu dan berakhir di Kuala Lumpur.

"Sebanyak 116 tapak berniaga disediakan di sini dan siri jelajah ini akan berlangsung sehingga Mei nanti dan diacarakan oleh selebriti, Zulhilmi Zainal.

"Ramai artis akan turut terlibat dalam memeriahkan lagi selain turut serta dalam berniaga seperti Chacha Maembong, Julia Ziegler, Sharifah Nadia dan Kapten Mat Nor Bond," katanya.

Tambahnya lagi, selain berniaga, acara ini juga bertujuan untuk mempromosikan tiga artis baharu yang berada di bawah naungan syarikatnya iaitu Elle Azmeen, Kirana Kay dan Afiq Suhaimi.

Jelasnya, bagi sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Natasha Norddin melalui emel di natasha.norddin@gmail.com atau hubungi di talian 0173040434 untuk maklumat lanjut.

Dalam perkembangan lain, kelibat Boy Iman bakal dilihat menerusi telefilem Mahar Cinta Alya di samping Emma Maembong dan Azhan Rani untuk slot Cerekerama di TV3 pada 10 Januari nanti. Dia juga kini sedang sibuk dalam penggambaran drama bersiri, Pergilah Air Mata di samping aktor Kamal Adli dan Nelydia Senrose untuk siaran RTM.



Previous Post Next Post