#AJL29 bakal pukau penonton



SETIAP tahun pasti ada sahaja pembaharuan dan tarikan baharu yang dipertaruhkan sempena penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) dalam mengangkat martabat muzik tanah air.

Bersesuaian dengan objektif utama ia dijalankan, kali ini AJL29 yang bakal berlangsung pada Januari ini telah memilih tema Gema Dalam Muzik di mana pentas unggul itu kembali kepada elemen asas dan intipati sesebuah muzik.

Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Sherina Nordin berkata, malam penuh berprestij itu juga bakal mengangkat instrumen muzik sebagai dasar terpenting bagi memeriahkan AJL29.




“Merujuk kepada respons yang kami terima selama ini, setiap tahun rakyat Malaysia teruja menantikan berlangsungnya malam anugerah ini kerana ia bakal menobatkan karya muzik terbaik sebagai Juara Lagu selain persembahan mantap daripada para finalis AJL2.

“Tahun lalu rancangan ini telah ditonton lebih 4 juta rakyat Malaysia selain menjadi ‘trending’ di dalam negara dan seluruh dunia menerusi platform sosial.

“Ini juga salah satu tawaran kami untuk membuka tirai 2015,”katanya.

Pada masa sama, Sherina memberitahu penganjuran AJL akan diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai tanda sokongan terhadap martabat muzik tanah air.

“Penerimaan positif terhadap AJL membuktikan ianya bukan sekadar rancangan yang digemari malah menjadi sebahagian daripada agenda negara.

“Rata-rata rakyat Malaysia dan pencinta muzik bakal tertunggu-tunggu melihat lagu manakah yang akan dinobatkan sebagai juara lagu.

“Kami berbesar hati untuk meneruskan tanggungjawab kami dalam pencarian lagu terbaik dan membawakan kandungan menarik melalui produksi tempatan yang bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Seramai 12 finalis berjaya terpilih ke AJL ke-29 antaranya adalah Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Romancinta (Mojo), Gadis Jolobu (Datuk Hattan dan Waris), Lelaki (Yuna), Percayalah (Indah Ruhaila), Gila (Stacy), Sesal Separuh Nyawa (Alyah), Rentak Laguku (Bunkface
dan Amy Search), Matahari (Hafiz Suip), Apa Khabar (Joe Flizzow dan Sonaone) dan Malaikat (Hazama The Penglipurlara).

AJL 29 bakal dipancarkan oleh Pamoga dan Qu Puteh sebagai penaja utama dan Nu Sentral selaku penaja bersama pada hari Ahad, 18 Januari 2015 secara langsung pada jam 9.00 malam dari Stadium Putra Bukit Jalil.



Previous Post Next Post