BERBEZA dengan lakonannya yang terdahulu, aktres, Nadiya Nisaa akui lakonannya menerusi filem baharu Terbaik Dari Langit adalah sesuatu yang bermakna buat dirinya.
Selain dapat beraksi bersama teman-teman rapatnya, kualiti karya arahan Nik Amir Nik Mustapha ini adalah antara faktor utama buat dirinya bersetuju untuk turut terlibat sama dalam filem itu.
“Saya rasa sangat bangga kerana dipilih untuk terlibat sama dalam filem ini.
“Dalam ramai-ramai pelakon wanita yang ada, mereka pilih saya dan sudah tentu saya rasa sangat bertuah.
“Sangat senang bekerja dengan pengarah dan pelakon lain yang terlibat mungkin kerana kami memiliki visi yang sama dan ia memudahkan saya untuk beri yang terbaik.
Pelakon lain yang turut terlibat menerusi Terbaik Dari Langit adalah Bront Palarae, Iedil Putera, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Sharifah Amani dan Siti Saleha.
Bagimanapun, bintang drama popular Adam Hawa ini turut mengakui pengorbanannya seakan berbaloi setelah melihat hasil filem yang begitu memuaskan.
“Untuk terlibat dalam filem ini, saya mengorbankan masa bersama keluarga tambahan pula penggambaran dijalankan di kawasan luar Kuala Lumpur.
“Memang agak mencabar dari segi masa dan tenaga tapi di sebabkan keyakinan saya terhadap karya ini, saya tetap teruskan.
“Tapi sekarang saya rasa lega kerana pengorbanan itu sangat berbaloi dan saya gembira kerana mampu buat keluarga yang sentiasa memahami karier saya bangga dengan usaha yang saya lakukan selama ini,” katanya yang baru sahaja tamat dengan penggambaran di Langkawi menerusi telefilem Kasih Tanpa Suara.