Ustazah Isfadiah Cabaran wanita berkarier



MEMEGANG tiga ‘jawatan’ serentak iaitu sebagai wanita bekerja, isteri dan ibu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut pengorbanan besar dan yang paling utama kekuatan mental dan fizikal.

Begitu pun, ia bukanlah satu masalah besar buat Isfadiah Mohd Dasuki atau lebih mesra disapa dengan panggilan Ustazah Isfadiah demi menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai penasihat syariah, pendakwah, isteri dan ibu.

"Saya tidak boleh menyempurnakan segala tugas tanpa sokongan daripada keluarga.

"Oleh itu, saya lebih selesa mengamalkan budaya berkomunikasi dan perbincangan," katanya kepada Zass.

Kata personaliti TV AlHijrah ini, dalam konsep pembahagian masa bersama keluarga, dia lebih selesa memegang prinsip ‘sebaik-baik manusia adalah manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain’.

"Sebenarnya, tempoh 24 jam yang diberikan ALLAH SWT ini boleh diuruskan dengan baik cuma ia terpulang kepada bagaimana kita memaksimumkannya,” katanya.




Justeru, isteri kepada Ustaz Muhidin Mokter ini lebih selesa bertindak dalam bentuk 15 minit demi meluangkan masa dengan enam anaknya yang kini sedang membesar.

"Saya punya enam anak dari usia lima ke 18 tahun. Ini adalah aktiviti wajib kami sekeluarga. Dalam tempoh 15 minit itu, saya akan mendengar pelbagai luahan, permasalahan, penceritaan, pandangan mahupun perkongsian daripada anak-anak.

"Ibu bapa tidak ada masa yang banyak dengan anak-anak perlulah meluangkan masa yang berkualiti dengan mereka.

"Apatah lagi, setiap peringkat usia, ada ujiannya tersendiri yang perlu dihadapi. Apa yang penting adalah macam mana kita hendak menanganinya," katanya yang mempunyai kelulusan dalam bidang keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Percutian bermakna

Dalam pada itu, Ustazah Isfadiah memberitahu, mereka sekeluarga baharu saja pulang bercuti dari Kota Paris, Perancis dan Armsterdam, Belanda pada Mei lalu.

Lebih manis, percutian mereka sekeluarga turut dirakamkan dalam program travelog terbitan TV AlHijrah iaitu Kembara Ilmu.

Bersiaran sebanyak 13 episod, personaliti berusia 43 tahun ini memberitahu, Kembara Ilmu adalah program dokumentari travelog santai mengisahkan perjalanan dan percutian keluarga penuh ilmiah.

"Oleh sebab kami bercuti ke luar negara, jadi perbincangannya lebih berfokus pada soal bermusafir, solat dalam kapal terbang, menentukan arah kiblat di negara asing dan juga pengurusan pemakanan halal.

"Pengisiannya sememangnya lebih kepada ilmu Fikah kerana apa yang saya lihat, perbincangan dalam bab ini selalunya dilakukan secara rasmi dan agak membosankan.

"Saya mahu ilmu ini turut dilihat dari sudut pengalaman sendiri dan tidak hanya berlangsung sewaktu dalam pembelajaran di dalam kelas," katanya.

Tambahnya, dengan berpaksikan matlamat mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara ibu bapa dan anak-anak adalah wajar percutian itu dimanfaatkan dengan pengetahuan ilmiah.

"Penggambaran bukanlah asing bagi kami sekeluarga, oleh itu, saya jadikannya sebagai satu program kami anak beranak. Apabila sudah berkongsi, mereka boleh menerimanya dan percutian itu alan lebih berobjektif sekali gus lebih bermakna," katanya.

Travelog Kembara Ilmu disiarkan pada setiap Khamis, jam 9 malam bermula 27 November lalu menerusi saluran TV AlHijrah (saluran 114).



Previous Post Next Post