NAMA kumpulan ini mungkin masih baru dalam industri seni tempatan, bukan di kalangan peminat seni 'indie' dan 'underground'.
Mengakui mahu pergi lebih jauh dalam bidang seni, kumpulan yang diberi nama Pandora ini nekad mencipta kelainan berbeza dengan mana-mana kumpulan sedia ada.
Kerana itu, kumpulan yang dianggotai empat anak muda ini, Anep, Alan, Ijoy dan She menampilkan genre rock alternatif sebagai pengenalan kepada kumpulan mereka.
Menurut Anep, mereka mula bergabung dan menggunakan nama Pandora sejak awal April tahun lalu.
"Sebenarnya She dan Ijoi adalah satu kumpulan tetapi apabila She mahu lebih serius, Ijoi menyuarakan pendapat supaya skala kumpulan mereka lebih besar.
"Melihat kepada kemampuan She dan Ijoi, saya dan Alan cuba membantu dan menyertai mereka," katanya mewakili ahli kumpulan ini.
Tambah Anep, dia tidak menyangka walaupun masih baru, tetapi respons yang diterima cukup menggalakkan.
"Pada awalnya, kami hanya mencuba sahaja, tetapi apabila respons peminat muzik tempatan sangat baik, kami rasa rugi jika tidak terjun ke dalam industri ini secara lebih serius.
"Kami sendiri terkejut kerana mendapat perhatian daripada peminat secepat ini," jelasnya.
Bercerita mengenai keistimewaan Pandora, kesemua ahli nampaknya lebih yakin menyerahkan hal itu kepada peminat untuk menilai.
"Kita tahu industri seni tempatan tidak sebesar mana dan persaingan pula sangat hebat.
"Mungkin kami ada pengalaman luas bagi persembahan pentas dan persembahan live yang agak baik, namun semua terpulang kepada peminat.
"Matlamat kami untuk memberikan yang terbaik, mendapatkan tempat sekali gus memeriahkan lagi industri seni," kata Anep.
Lahir single pertama
Dalam pada itu, Pandora juga telah melahirkan single pertama mereka yang berjudul Diari April.
"Diari April ini berkisarkan kisah cinta yang tidak kesampaian dan luahan hatinya ditulis di dalam diari tersebut.
"Kebetulan, She terjumpa sebuah buku yang mencatat mengenai kisah tersebut pada bulan April dan kami nekad menggubah sebuah lagu berkaitan dengannya," kata Anep.
Selain itu, mereka juga dalam proses melancarkan video klip rasmi bagi single tersebut.
"Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, kami akan lancarkan ia bulan ini juga," katanya.
Ditanya apakah mereka akan menerbitkan album, jelas Anep, ia sudah di dalam perancangan.
"Kami akan lancarkan single demi single. Setakat ini empat lagu sudah ada dan salah satunya Diari April.
"Manakala dua lagi lagu akan diberikan kepada She untuk proses selanjutnya. Kami jangka, enam buah lagu sudah cukup sebagai permulaan album pertama yang mungkin diterbitkan tahun depan," katanya yang berharap agar Diari April dipilih sebagai runut bunyi bagi sesebuah drama atau filem.
Selain itu, mereka juga sudah merancang untuk melakukan kolaborasi dengan beberapa penyanyi terkenal seperti Aweera, Azlan Typewritter dan Noh Hujan.