LEBIH setahun berumah tangga, pasangan selebriti, Avril Lavigne dan Chad Kroeger masih belum berpeluang untuk memiliki cahaya mata sendiri.
Namun baru-baru ini, ada perkhabaran gembira mengenai pasangan ini apabila pelantun hits Hello Kitty, ini dikatakan telah hamil. Khabar angin itu mula bertebaran apabila Lavigne menerusi akaun Twitternya, menyebut bahawa dia kini sedang sakit.
Menerusi tulisannya itu, Lavigne menulis, 'saya sakit dan mengalami masalah kesihatan yang teruk. Tolong doakan saya'.
Saat peminat mula berteka-teki mengenai perkara ini, pihak pengurusan Lavigne pantas menafikan perkara tu dan memberitahu bahawa bintang masih belum hamil.
Namun, saat ditanya apakah penyakit yang sedang dialami oleh penyanyi berkenaan, mereka membuat keputusan untuk enggan memberi penjelasan lanjut.
Sementara itu, baik Lavigne mahupun Kroeger, masing-masing memilih untuk tidak memberi sebarang penjelasan mengenai perkara itu.
Pasangan ini baharu disatukan pada 1 Julai tahun lalu di Chateau de Napoule, setelah setahun bercinta. Majlis perkahwinan mereka hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja.
Sebelum ini, Lavigne pernah mendirikan rumah tangga bersama vokalis kumpulan rock, Sum41, Deryck Whibley, namun gagal untuk mempertahankan hubungan itu.
Rumah tangga retak
Beberapa bulan lalu, rumah tangga pasangan selebriti ini dikatakan berantakan sejak September 2014. Malah, ada sumber memberitahu bahawa mereka telah memutuskan untuk berpisah.
Namun, Kroeger yang juga gitaris kumpulan Nickelback ini tampil menafikan perkhabaran itu dan menegaskan bahawa rumah tangga mereka tidak mempunyai apa-apa masalah dan baik-baik sahaja.
Tetapi, menurut sumber terdekat, hubungan mereka sememangnya tidak baik dan diibaratkan seperti retak menunggu belah.
"Hubungan mereka memang tidak baik, namun rakan-rakan banyak menasihati Lavigne agar berusaha untuk memperbaiki hubungan.
"Bagi rakan-rakan Lavigne, mereka memang tidak menyukai Kroeger namun tetap ingin memastikan tiada perpisahan lagi yang dilalui temannya itu.
"Cukuplah sekali satu penceraian yang menyakitkan dan mereka tidak mahu melihat Lavigne menderita lagi. Namun, sekiranya hubungan ini tidak dapat diselamatkan, mereka akan tetap bersama Lavigne," kata sumber itu lagi.
Berita mengenai keretakan rumah tangga pasangan ini dapat dihidu apabila Lavigne merayakan sendiri ulang tahunnya pada tahun ini sedangkan Kroeger mengunjungi bar di Hollywood tanpa mengenakan cincin perkahwinan mereka.
Dikhabarkan, Lavigne mengalami depresi yang teruk apabila terlibat dalam kancah masalah rumah tangga dan ditambah lagi dengan sambutan yang kurang menggalakkan menerusi album terbaharunya.
Sebelum ini, Lavigne pernah memberitahu bahawa perkahwinannya dengan Kroeger adalah impiannya untuk membina sesuatu yang sukar pada perkahwinan terdahulu.
"Perkahwinan ini diharapkan dapat memberi sesuatu yang terbaik buat diri saya dalam impian untuk memiliki keluarga sempurna pada satu hari nanti.
"Saya juga berharap agar ianya menjadi perjalanan terakhir yang paling indah sebagai isteri dan ibu untuk anak-anak," katanya lagi.