TYLER Ray Ward atau lebih dikenali dengan nama Tyler Ward barang kali mungkin tidak sepopular Sam Tsui, Alex Goot, Kurt Hugo dalam senarai mereka yang popular di Youtube.
Namun dengan jumlah lebih 1.7 juta pengikut di saluran Tyler Ward Music menjadikan Ward cukup dikenali di kalangan pengikutnya dan video-video yang dimuat naik oleh Ward sudah di tonton lebih 46 juta kali!
Dilahirkan di Katy, Texas, Amerika Syarikat, pada 12 Mac, 1989 dan dibesarkan di Parker, Colorado, Ward pada asalnya menyertai Sekolah Akademi Persediaan Tentera Udara Amerika Syarikat, namun dia menghadapi masalah disiplin dan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk meninggalkan akademi berkenaan.
Ward kemudiannya memasuki Universiti Northern Colorado untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kewartawanan. Bagaimanapun sepanjang menuntut di sana, Ward mula berjinak-jinak menulis lagu.
Menyifatkan bakat seni diwarisi daripada ibunya, Ward sering mendedikasikan lagu yang dicipta buat ibunya.
Sejak itu, Ward mula memuat naik lagu-lagu ciptaan menerusi Youtube, bukan setakat ciptaan lagu, Ward turut menyanyikan semula beberapa lagu daripada penyanyi terkenal.
"Ketika mula-mula berjinak dengan YouTube, saya ambil masa 17 jam seminggu menyiapkan sebuah video. Contoh video lagu Justin Bieber, saya muat naik pada malam Isnin, dan saya sudah memulakan penggambaran, suntingan seminggu sebelum itu.
"Tapi lama kelamaan, saya perlukan masa yang singkat untuk menghasilkan sesebuah video," katanya yang pernah membuat persembahan di merata tempat, termasuk berkongsi pentas bersama The Jonas Brothers and The Fray.
Kejayaan tersendiri
Kini muzik yang dihasilkan Ward bukan sahaja pernah menduduki tangga kelima carta Billboard Top 100, malah album pertamanya, Honestly berjaya melonjakkan lagi nama Ward.
"Saya paling menyukai lagu Hoopty Hoop kerana inspirasi lagu itu tercetus ketika saya berada di dalam bilik air. Paling penting, apabila bermain muzik lagu itu, ia akan membuatkan anda tersenyum," katanya.
Bukan sahaja mencipta lagu untuk diri sendiri, Ward turut bekerjasama mencipta lagu untuk beberapa artis lain.
"Saya suka bekerjasama dengan Cody Simpson, tapi Jason Derulo menjadi artis kegemaran saya kerana dia amat berbakat dan dia kawan baik saya," katanya.
Mengimpikan menjadi penyanyi dan pencipta lagu berjaya kelak, Ward berkata, dia bekerja keras untuk mencapai cita-citanya itu.
"Harapan saya, 10 tahun lagi jika ada yang menyebut nama Tyler Ward, orang akan tersenyum mendengar nama itu," katanya.