BALQIS tidak sangka menerima dua anugerah dalam masa yang singkat.
Pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi akhirnya berjaya menutup mulut segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan kemenangannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam sebuah anugerah baru-baru ini apabila dia sekali lagi menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Asian Television Awards 2014 yang berlangsung di Singapura, pada 11 Disember lalu.
Pelakon berusia tujuh tahun itu memenangi anugerah tersebut menerusi drama Balqis yang diarahkan oleh pengarah Erma Fatima daripada produksi Rumah Karya Citra Sdn. Bhd.
Menariknya, Balqis yang mulanya tidak menyangka akan memenangi sebarang anugerah pada Asian Television Award 2014 telah menewaskan pelakon wanita senior dalam kategori yang sama iaitu Joan Chen (Singapura), Tien Hsin (Taiwan), Kristal Tin (Hong Kong), Rui En (Singapura) dan Ko Shu Chin (Taiwan).
Masih terkejut dengan anugerah yang diterimanya, Balqis dengan rendah diri memberitahu, anugerah yang dimilikinya itu bukan untuk dirinya tetapi untuk tanah airnya, Malaysia.
BALQIS bersama anugerah Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi pada Asian Television Awards 2014 di Singapura baru-baru ini.
Kosmo!: Tahniah atas kemenangan kedua Balqis. Bagaimanakah perasaan Balqis apabila dinobatkan sebagai pemenang untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik peringkat Asia?
Balqis: Terima kasih. Sebenarnya saya tidak sangka akan menang sebab melihat pencalonan yang lain semuanya lebih hebat daripada saya. Sebelum diumumkan sebagai pemenang saya ada beritahu ayah yang saya ingin bawa balik anugerah untuk Malaysia. Tidak sangka impian saya menjadi kenyataan dan sudah pasti saya amat gembira dengan kemenangan ini.
Apabila menang di Asian Television Awards 2014, secara automatik ia telah menutup mulut orang lain yang tidak berpuas hati dengan kemenangan Balqis di ASK 2014 tempoh hari dengan alasan Balqis terlalu muda untuk menang anugerah kategori wanita. Komen Balqis?
Itu hak dan persepsi masing-masing. Adat dalam dunia seni, ada yang suka dan ada yang tidak suka dengan saya. Apa pun ayah saya selalu berpesan percaya pada rezeki Allah. Kemenangan saya di peringkat Asia bukan tiket untuk saya mendabik dada sebaliknya, saya masih kekal sebagai Balqis yang sama cuma anugerah sahaja bertambah (ketawa).
Khabarnya Balqis menangis teruk di belakang pentas sebaik sahaja menerima anugerah tersebut, benarkah?
Memang saya menangis sehinggakan orang yang ingin menemu ramah saya ketika itu pun terkejut kenapa saya menangis teruk selepas terima anugerah. Sebenarnya saya terlalu terharu kerana dapat bawa pulang satu anugerah untuk Malaysia yang saya idamkan. Sebab itu saya gagal kawal emosi selepas turun dari pentas sehingga terpaksa ditenangkan oleh ayah (ketawa).
Selain itu, saya juga teringkat perjalanan kerjaya seni sebagai pelakon bukan mudah kerana saya bermula sebagai pelakon tambahan sahaja. Jika bukan kerana mama Erma (Erma Fatima), saya tidak akan berdiri seperti hari ini.
Boleh ceritakan pengalaman Balqis sepanjang menghadiri majlis anugerah di Singapura itu?
Bagi saya pergi ke Singapura satu pengalaman yang seronok dan pada masa yang sama amat penat sebab saya dan ayah pergi ke sana menaiki kereta. Rasa diri terlalu kerdil sebab yang hadir semuanya nama-nama besar. Saya juga ada bertemu dengan beberapa pengarah dan penerbit dari luar negara yang berminat dengan bakat lakonan saya.
Salah seorangnya ialah Pengarah Urusan Syarikat Walt Disney Asia Tenggara, Robert Gilby yang berminat menyunting saya menyertai saluran Disney. Namun, semua masih belum ada sebarang pengesahan. Mana tahu selepas ini, saya boleh berlakon dalam sebuah produksi luar negara pula untuk kembangkan bakat.
Apakah perubahan kehidupan Balqis selepas memenangi dua anugerah?
Paling ketara ialah saya semakin dikenali dan tawaran lakonan juga semakin banyak. Saya bersyukur dengan perubahan positif itu walaupun ada kalanya saya masih perlu menyesuaikan diri dengan perhatian yang diberikan oleh orang ramai. Rasanya itu sahaja, selain itu saya masih kekal Balqis yang sama.
Selepas menang anugerah adakah Balqis akan lebih memilih tawaran lakonan?
Sebenarnya sebelum menang anugerah pun memang saya sudah memilih tawaran, bukan tunjuk bagus tetapi saya pilih tawaran yang bersesuaian dengan umur dan jalan cerita yang menarik. Selain itu, saya juga suka dengan skrip yang bermain dengan emosi. Selalunya, sebelum terima sesuatu tawaran, ayah akan beri skrip kepada saya untuk dikaji terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sesuatu tawaran lakonan itu.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya Balqis?
Terbaharu, sebaik pulang dari Singapura, saya terus masuk ke set penggambaran drama bersiri dan telefilem pengarah, Michael Ang. Selain itu, drama lakonan saya berjudul Qish, Qish, Qish akan ditayangkan di Astro Ceria sempena cuti sekolah pada 26 Disember ini.