Rahmad Mega yakin peminat beli #GegarVaganza


RAHMAD kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi album terbaharunya, Hujan.

MELIHAT kepada situasi penjualan album yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, kebanyakan komposer dan penyanyi tempatan me­ngambil langkah selamat dengan memasarkan lagu serta karya mereka menerusi penerbitan sing­le.

Bagaimanapun, formula yang telah diimplementasikan sejak beberapa tahun lalu itu masih belum berupaya ‘memujuk’ peminat muzik untuk kembali membeli lagu daripada penyanyi kegemaran mereka.

Tambahan pula, dengan perkembangan pesat teknologi serta kewujudan platform penstriman muzik yang ditawarkan secara percuma, kuasa pembeli dalam kalangan pendengar dilihat semakin berkurangan.

Begitupun, bagi penyanyi Rahmad Mega, 45, walaupun fenomena penjualan album dalam kalangan pendengar tidak sehangat ketika dia masih bersama kumpulannya dulu, namun dia percaya kelompok peminat yang menggemari lagu-lagu kumpulan Mega masih utuh memberi sokongan kepadanya sehingga ke hari ini.

Justeru, tidak hairanlah jika Rahmad atau nama sebenarnya Rahmad Tohak berani tampil dengan sebuah album baharu berjudul Hujan.




“Masih segar dalam ingatan saya, sekitar tahun 1994, kami mengalami sedikit masalah ketika mahu melancarkan album Kita. Jadi, syarikat rakaman Ponycanyon terpaksa menangguhkan penjualan album tersebut ke hari yang lain.

“Selepas ia mula dipasarkan, kami begitu terkejut apabila mendapat tahu album tersebut berjaya terjual sebanyak 20,000 salinan pada hari pertama dipasarkan.

“Walaupun kini penjualan album ti­dak lagi serancak dulu tetapi saya yakin, kelompok pe­minat seperti itu masih ada dan akan terus menyokong perjalanan seni saya sebagai penyanyi solo pada hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menjelaskan mengapa dia benar-benar yakin dengan sokongan yang bakal diberi oleh peminat­nya, penyanyi kelahiran Johor itu berkata, selain mengekalkan prestasi sebagai penyanyi, lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut merupakan karya-karya berkualiti garapan komposer dan penulis lirik terkemuka, LY & Baiduri.

Katanya, lagu-lagu yang dihasilkan oleh LY adalah bersifat malar segar dan nuansanya masih sama dengan karya-karya yang pernah ditulis untuk kumpulan Mega suatu ketika dahulu.

“LY merupakan kenalan lama saya sewaktu saya masih bersama Mega. Banyak lagu-lagu denda­ngan kumpulan Mega yang dihasilkan oleh LY pada waktu itu, antaranya Bayangan Gurauan dan Nina Karina. Jadi, dia sangat faham bentuk lagu dan komposisi yang sesuai dengan nada suara saya.

“Tambahan pula, LY memberikan kebebasan kepada saya untuk memilih lagu yang saya gemari. Justeru, para peminat pasti dapat mengimbau kenangan lama ketika mendengarkan lagu-lagu baharu saya,” kata Rahmad yang kini selesa bernaung di bawah syarikat rakaman komposer tersebut, Kelarai Sakti Sdn. Bhd.

Gegar Vaganza

Melanjutkan perbualan mengenai kemunculan kembali sebagai penyanyi, Rahmad berkata, dia berasa sungguh beruntung kerana album yang turut mendapat sentuhan komposer dari Indonesia, Tof itu diterbitkan ketika dia sedang bertanding dalam rancangan Gegar Vaganza.

“Saya mula merakamkan lagu-lagu yang terkandung dalam album Hujan sejak tahun 2012. Apabila semuanya telah selesai, LY mencadangkan agar album tersebut dilancarkan pada penghujung tahun ini.

“Kebetulan, saya kini sedang bersaing dalam pertandingan nyanyian Gegar Vaganza. Jadi, saya rasakan ia merupakan masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan buah tangan baharu ini kepada peminat,” katanya.

Berbicara tentang kesan rancangan tersebut terhadap kerjaya nyanyiannya yang pernah sunyi seketika, Rahmad berkata, Gegar Vaganza bukan sahaja dapat mengubati rindu peminat, malah membuka ruang untuk penyanyi belajar perkara-perkara baharu.

“Setiap minggu, kita pasti akan ditegur oleh juri mengenai nyanyian dan cara persembahan ketika beraksi di atas pentas.

“Jika kita mahu menjadi penyanyi yang baik, setiap teguran itu perlu disimpulkan menjadi nasihat yang positif.

“Menerusi cara ini, kita akan tahu tentang kelemahan diri dan apa yang perlu diperbaiki pada masa akan datang,” katanya yang bakal bersaing di pentas final pertandingan tersebut bersama Ifa Raziah, Mamat Exist, Haleeda dan Ayai Illusi pada 4 Januari tahun depan.


Previous Post Next Post