SETELAH tampil dengan The Hobbit : An Unexpected Journey (2012), The Hobbit: The Desolation of Smaug (2013), kini akhirnya tiba masa menyaksikan triliogi terakhir siri filem yang berdasarkan dari buku bacaan kanak-kanak The Hobbit (1937) karya tulisan J. R. R. Tolkien.
The Hobbit: The Battle Of The Five Armies atau There and Back Again mengikut judul bukunya merupakan siri terakhir prekuel kepada filem trilogi saga The Lord of the Rings (2001, 2002, 2003).
Bagaimanapun atas sebab masalah dalaman, siri buku terakhir yang berkisar mengenai The Hobbit iaitu The Silmarillion, tidak dapat diadaptasi ke layar perak.
Filem ketiga ini memaparkan segala persoalan kepada nasib penduduk Laketown apabila seekor naga bernama Smaug, akhirnya terjaga dan keluar daripada 'Lonely Mountain' dan menyerang Laketown.
Smaug bertindak demikian setelah Bilbo Baggins(Martin Freeman), Thorin Oakenshield (Richard Armitage) dan 12 pengikutnya, menceroboh ke ‘Lonely Mountain’ dan cuba untuk membunuhnya bagi merampas kembali tempat tinggal dan emas yang diambil Smaug.
Bilbo Baggins
Bukan itu sahaja, pertarungan hebat bakal ditampilkan melalui babak peperangan beberapa puak, antaranya Orc, Elf, manusia dan orang kerdil (dwarves).
Trailer: The Hobbit: The Battle of the Five Armies (2014)
Tampil aksi hebat
Tampil dengan perjalanan yang cukup mengagumkan dari siri pertama The Hobbit : An Unexpected Journey (2012) dan seterusnya diikuto The Hobbit: The Desolation of Smaug (2013), peminat sentuhan karya Peter Jackson pastinya tidak sabar untuk menonton The Hobbit: The Battle Of The Five Armies.
Pastinya fikiran penonton terarah kepada kesudahan yang berlaku terhadap Bilbo dan rakan-rakannya serta penduduk Laketown setelah Smaug keluar dari tempatnya dalam siri kedua.
Masih mengekalkan pelakon dalam siri pertama dan kedua, filem ini menyaksikan penglibatan ramai pelakon seperti Ian McKellen, Martin Freeman, Cate Blanchett, Orlando Bloom, Ian Holm, Christopher Lee, Hugo Weaving, Elijah Wood, Andy Serkis dan Richard Armitage.
Bersama Jed Brophy, Adam Brown, John Callen, Stephen Fry, Ryan Gage, Mark Hadlow, Peter Hambleton, Stephen Hunter, William Kircher, Sylvester McCoy, Bret McKenzie, Graham McTavish dan ramai lagi.
Filem yang menelan belanja mencecah RM874 juta ini juga bakal menyaksikan pertempuran antara dua musuh utama Orc-Thorin bersama orang kerdil (dwarves) dan juga Elf beserta manusia yang turut terlibat dalam perang besar-besaran ini.
Biarpun peperangan ini menyaksikan pertempuran lima penjuru, namun ia tidak sedikit pun menimbulkan kekeliruan atau membuatkan penonton pening melihat pertempuran tersebut.
Bahkan Jackson berjaya menyusun babak pertempuran termasuk jalan cerita dengan begitu kemas, tanpa melupakan unsur-unsur, suspens yang akan membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang akan terjadi seterusnya dan seterusnya.
Ditambah pula dengan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) yang terkini mencantikkan lagi filem ini secara keseluruhannya.
Pendek kata, berbaloi membayar tiket walaupun mahal kerana hasilnya cukup membuatkan anda berpuas hati dan ingin menonton lebih dari sekali.
Pendek kata soal teknikal membabitkan sinematografi, pencahayaan, kesan bunyi, sudut kamera sememangnya di buat dengan penuh teliti untuk mendapatkan hasil yang paling terbaik.
Menyentuh perasaan
Seperkara lagi yang mungkin menarik perhatian anda, bagi anda yang berjiwa sensitif, penulis nasihatkan untuk menyediakan tisu.
Anda mungkin tidak menjangkakan untuk menangis apabila menonton filem fiksyen pengembaraan seperti ini, namun percayalah, Jackson berjaya menyelitkan beberapa babak yang amat menyentuh perasaan anda.
Apatah lagi, ditambah pula dengan lakonan yang cukup mantap oleh para pelakon utamanya, menjadikan segalanya tampak seperti sebuah realiti.
Bahkan durasi selama dua jam 24 minit juga tidak terasa panjangnya dengan perjalanan cerita yang padat, kemas dan cukup segala rencahnya.
Pendek kata, sukar mencari kelemahan filem ini dan kebanyakan pengkritik filem di luar negara juga memuji garapan filem ini yang disimpulkan sebagai sempurna.
Namun bagi anda yang terlepas siri pertama dan kedua filem ini, anda barangkali sukar untuk memahami keseluruhan jalan cerita filem ini kerana dari filem pertama hingga terakhir adalah saling berkaitan.
Tetapi bagi anda yang setia bersama Hobbit, jangan lupa untuk menyaksikan filem hebat ini di pawagam berdekatan.