Ajak Shiro Jadual padat tidak gugat Shiro



MENGHABISKAN masa seharian bersama pelawak, pelakon dan pengacara terkenal Ajak Shiro tentunya pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan. Telatah dan cakap-cakap kosongnya yang berisi humor, benar-benar membuatkan perbualan jadi tidak kering gusi. Ada sahaja lawaknya yang menggeletek hati. Tidak sempat hujung ketawa terhenti, laju sahaja lelaki berusia 27 tahun itu menyambung agenda kelakarnya.

Tambah menghidupkan suasana petang yang ceria, pemilik nama Mohd. Hanaffi Razak yang hadir santai berbaju kemeja-T dan bertopi hitam itu mesra melayani soalan berbau peribadi sepanjang pertemuan.

Sementelah peluang tersedia di depan mata, ia digunakan sebaik mungkin oleh Kosmo! untuk menelusuri pelayaran karier pelakon filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 itu secara lebih dekat.




Pengalaman mahal

Mengemudi sebuah program carta muzik Indonesia, Iboom yang disiarkan di saluran Astro Indopek sejak setahun lepas, rezeki Ajak melekat kukuh bersama program tersebut.

Rancangan yang berkonsepkan carta-carta lagu dari Indonesia yang disampaikan dalam dua bahasa itu iaitu Melayu dan Indonesia itu, sudah pun memasuki musim kedua dan musim terbaharu telah menemui penonton pada 6 Disember lalu.

Iboom ke udara setiap hari Sabtu pada pukul 12 tengah hari menerusi saluran Bintang (141). Istimewanya, dalam musim kedua ini, rakaman Iboom dijalankan sepenuhnya di beberapa tempat menarik sekitar kota Jakarta.

Antara artis ternama Indonesia yang turut menyerikan program itu termasuklah Once, Nicky Astria, Ungu, Radja, Setia Band, Cherrybelle, Kerispatih, Trio Macan dan ramai lagi.

Teruja dan syukur hadir serentak, Ajak berkongsi rasa serta pengalaman yang dilaluinya sepanjang mengemudi program hiburan yang menggunakan tagline #bercandaloe tersebut.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin bertambah apabila sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan rancangan hiburan ini. Memang seronok mengacara program seumpama ini sebab bukan mudah sebenarnya untuk berpeluang bekerja dengan artis-artis serta produksi dari luar.

“Apa yang menyenangkan saya ialah kerjasama pasukan produksi serta artis-artis Indonesia yang terlibat dalam program ini.

“Walaupun mereka tidak kenal siapa saya, bahkan, ada juga antara mereka yang tidak saya kenali, tetapi, mereka boleh menerima kehadiran saya dengan baik. Saya puas hati dengan layanan yang diberikan. Mereka tidak pernah melayan saya sebagai orang luar sepanjang berada di Jakarta menjalankan proses rakaman,” ujarnya bersemangat menghamburkan untai bicara.

Sambung Ajak, menjadi satu pengalaman yang paling tidak akan dilupakan olehnya apabila berpeluang bertemu dengan penyanyi tersohor negara republik itu, Nicky Astria.

“Bersama pihak Astro Indopek, saya mampu terbang untuk bekerja di luar lingkungan budaya tempatan. Sejak bekerja untuk Iboom, saya banyak mengenali artis Indonesia yang sebelum ini tidak pernah terdetik di fikiran bahawa saya akan bertemu dengan mereka.

“Ketika saya mendapat tahu bahawa Nicky Astria tersenarai dalam jadual rakaman Iboom, saya sangat teruja! Sewaktu kecil saya memang meminati beliau. Lagu-lagu beliau juga sering menjadi siulan saya. Sungguh tidak sangka, akhirnya mimpi saya menjadi nyata.

“Apa yang lebih membuatkan saya teruja untuk bertemu beliau kerana ibu saya juga sangat meminati penyanyi itu. Boleh dikatakan, sejak bertemu beliau, saya semakin rapat dengannya. Percaya atau tidak, beliau sendiri ada menjemput saya datang ke persembahannya yang akan diadakan di Bandung pada hujung Disember lalu,” ujar anak kelahiran Kluang, Johor itu menyatakan keterujaannya.



AJAK (kiri) dan Shahrol ketika menjayakan satu persembahan dalam MLM2014 baru-baru ini.

Jadual padat

Ketika menatap wajah bapa kepada dua cahaya mata itu, tergambar kelesuan dan kepenatan yang cuba untuk disembunyikan dengan senyum galaknya. Lagak ceria dan gembira, namun tidak semua yang tersembunyi di sebalik wajahnya itu mampu dibendung. Kosmo! cuba meneroka isi hati pengacara program Galaksi itu dengan usikan mengenai aktiviti padat yang harus didepaninya setiap hari.

Sejak mengacarakan semula program Iboom, Ajak terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta demi tuntutan kerjaya. Meskipun mengakui terlalu penat, namun hati kecilnya nekad, apa pun terjadi, dia tidak mahu walau satu pun keluhan keluar daripada bibirnya.

“Memang saya sangat sibuk. Sejak mengacarakan Iboom, saya terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta kerana saya juga terikat dengan persembahan Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014).

“Tipulah jika saya katakan tidak penat. Penat itu memang ada, tetapi tidaklah sampai tahap membuatkan saya tertekan. Saya masih okey dengan jadual kerja padat begini.

“Walau apa pun yang terjadi, saya tidak boleh mengeluh kerana ini semua punca rezeki saya. Inilah periuk nasi saya untuk tanggung isteri dan anak-anak. Penat macam mana sekali pun, saya tetap gembira dan seronok buat kerja-kerja ini,” ujar pelakon drama Sayang Wak Lu itu mesra.

Tiada konflik

Alang-alang bercerita mengenai kepadatan rutin kerjayanya, kesempatan diambil untuk bertanya tentang risiko kesibukan karier solonya yang memungkinkan timbul tekanan sehingga menjejaskan persiapan persembahan kumpulannya, Shiro untuk MLM2014.

Ajak juga ditebak mengenai status hubungannya dengan Shahrol, sekiranya perkara itu mewujudkan satu situasi yang tidak jernih antara mereka berdua.

“Dengan jadual pengacaran yang ditambah pula dengan komitmen persembahan MLM2014, saya akui memang ada sedikit sebanyak memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Namun itu tidaklah sehingga mengganggu komitmen saya dengan kumpulan Shiro. Kerja tetap kerja dan untuk MLM2014 pula, saya berikan seratus peratus komitmen. Itu dua perkara yang berbeza.

“Tidak benar sekiranya ada yang mengatakan kekangan waktu yang saya hadapi telah menimbulkan kerenggangan hubungan saya dengan Shahrol.

“Setiap kali sebelum terbang ke Jakarta, saya akan duduk semeja dengannya berbincang mengenai idea dan persembahan yang akan kami bawa. Ketika berada di Jakarta juga, kami masih berhubung.

“Kerjaya solo saya langsung tidak menimbulkan salah faham antara kami berdua. Kami sudah lama berkawan. Saya kenal Shahrol, dia seorang sahabat dan rakan kerjasama yang baik. Tidak pernah timbul isu cemburu atau tidak puas hati antara kami.

“Dia sendiri ada kerja, begitu juga saya. Masing-masing ada bahagian sendiri untuk dilakukan. Tiada istilah rezeki saya lebih daripada dia kerana kami berdua sama sahaja. Tiada siapa yang kurang dan tiada siapa yang lebih.

“Lagi pun, Shahrol sendiri pernah cakap kepada saya, apa yang saya terima pada hari ini adalah rezeki saya. Orang lain tidak boleh pertikaikan apa-apa, sebab semuanya datang daripada Dia,” ujarnya bersungguh dalam nada yang merendah diri.


AJAK tidak mahu mengeluh dengan segala kepadatan jadualnya biarpun terpaksa membahagikan masa antara pengacaraan dan ditambah pula dengan komitmen persembahan dalam MLM2014.

Kritikan

Terlanjur berbicara soal persembahan MLM2014, peluang diguna sebaik mungkin untuk mendapatkan respon daripada Ajak bagi mewakili kumpulannya. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Shiro dikatakan mendapat kritikan hebat daripada peminat. Ada juga segelintir peminat yang tidak berpuas hati dengan persembahan mereka.

“Saya tidak tertekan dengan semua maklum balas daripada peminat. Kritikan mereka membolehkan kami menilai kelemahan kami. Namun, apa yang mengecewakan, saya sebenarnya malu apabila membaca komen-komen negatif daripada sesetengah peminat.

“Kami pun manusia biasa, sama seperti orang lain. Tidak mampu memuaskan hati semua orang dengan kesempurnaan. Tiada manusia yang sempurna. Pasti ada turun naik dan pasang surutnya.

“Saya harap peminat dapat menerima persembahan kami dengan hati yang terbuka. Anggaplah persembahan itu sekadar hiburan. Kerja melawak bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi dengan komitmen persembahan setiap minggu,” tutur pelakon filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang itu dalam nada kesal sambil sesekali mengerutkan dahi.



Previous Post Next Post