Puteri Sarah Liyana Sudah penat berlakon



MENGANGGAP tahun 2014 sebagai tahun yang menggembirakan kerana daripada seorang wanita solo dia bertukar status menjadi seorang isteri. Biarpun mengalami keguguran, namun Sarah tetap bersyukur dan berharap 2015 akan membuahkan keinginan yang satu itu menjadi nyata.

HAMPIR setahun mendirikan rumah tangga dengan pengarah filem terkenal, Syamsul Yusof, pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 29, diduga dengan pelbagai ujian. Selain keguguran cahaya mata sulung sekitar Ramadan lalu, pelakon drama Cinta Antara Kita itu juga mengalami kemalangan jalan raya pada bulan September.

Tahun 2014 juga menyaksikan pelakon yang popular disapa Sarah itu memperlahankan aktiviti seni termasuk berlakon dan keputusan itu juga dilihat sebagai usaha untuk menjaga hati banyak pihak terutama keluarga dan suaminya sendiri. Bagaimanapun, biar kini semakin kurang muncul di kaca televisyen, Sarah masih menggunakan platform dan populariti sebagai artis untuk mengusahakan jenama pakaian Shara by Puteri Sarah yang mula beroperasi sejak Aidiladha lalu secara dalam talian.

Bertemu dengan pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie itu pada Propaganda Festival yang berlangsung pada 27 dan 28 lalu di Stadium Malawati Shah Alam, Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripadanya.




Artis Meletop!: Sepanjang tahun 2014, Sarah semakin kurang muncul di kaca televisyen atau filem. Adakah kehidupan begitu yang anda inginkan?

Puteri Sarah: Masa awal-awal, ada buat pengacaraan, tetapi sekarang, masa saya hanya di butik kerana saya bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari sebagai pengurus pemasaran. Jadi, fokus saya hanya tertumpu terhadap butik saya yang terletak di Taman Melawati, Hulu Kelang itu.

Ketetapan itu merupakan pilihan sendiri atau dipengaruhi oleh individu sekeliling?

Saya sendiri pilih untuk mengurangkan berlakon kerana saya sudah penat mahu aktif seperti dahulu. Saya fikir takkan suami berlakon dan saya juga perlu berlakon, nanti tiada masa antara satu sama lain. Oleh itu, saya memilih bekerja waktu pejabat dari pagi hingga petang sahaja. Sabtu dan Ahad saya cuti maka itu masanya untuk saya menguruskan hal rumah tangga dan suami, saya rasa sudah memadai. Tanggungjawab sebagai seorang isteri pun besar dan kehendak itu datang dengan sendirinya.

Tidakkah anda rindu untuk berlakon kembali?

Saya tidak rindu berlakon kerana terlalu sibuk, malah kali terahir saya berlakon adalah pada bulan Ramadan tahun lepas. Ada sebuah filem lakonan saya di bawah produksi White Merpati berjudul KL Cinta Mandi Toq masih belum ditayangkan begitu juga sebuah drama saya bersama Shuib Sepah dan Aishah Ilias bertajuk Usin UFO.

Sepanjang tahun 2014, berapa banyakkah tawaran berlakon yang sudah anda tolak?

Sebenarnya sejak tahun 2013 lagi saya sudah maklumkan tidak mahu menerima tawaran berlakon jadi kebanyakan tawaran yang datang pun saya sudah pilih-pilih. Selepas berhijab, saya semakin selektif dalam soal watak dan tawaran. Saya sudah meletakkan batasan kepada diri sendiri kerana suatu ketika dahulu saya terlalu rajin bekerja sampaikan terima tiga tawaran serentak. Saya sudah penat.

Tidakkah anda berminat untuk menghasilkan skrip atau bergabung tenaga dengan suami anda daripada kerja-kerja produksi?

Saya tidak berbakat, kalau dia tawarkan saya untuk berlakon bersama dia saya terima tapi hanya berlakon semata-mata bukannya tugas belakang tabir kerana dia sendiri sudah punyai pasukan yang sangat kuat. Saya tidak mahu kacau, tapi kadang-kadang ada juga dia tanya pandangan saya. Pernah juga dia menawarkan kepada saya untuk berlakon bersamanya, tetapi mungkin itu dalam perancangan tahun 2015 kerana sekarang pun dia gembira saya bekerja di butik pakaian itu.

Bagaimanakah anda melihat kehidupan secara keseluruhan tahun 2014?

Alhamdulillah, tahun ini merupakan saat paling gembira bagi saya kerana pada awal tahun saya telah mendirikan rumah tangga kemudiannya saya dapat menunaikan umrah bersama suami dan sekarang memiliki jenama pakaian sendiri.

Apakah pula perancangan untuk tahun 2015?

Buat masa sekarang saya masih akan bekerja di butik dan menguruskan jenama saya sendiri, jadi itu pun sudah mengambil banyak masa tidak termasuk tanggungjawab sebagai isteri lagi. Insya-Allah tahun 2015 bergabung dengan Syamsul sebab dia mahu keluarkan jubah dan baju Melayu lelaki bawah label Shara for Men.

Selepas mengalami musibah keguguran kandungan baru-baru ini, apakah perancangan anda selepas ini?

Saya okey dan tahun depan menjadi permulaan baharu. Saya akan ke Turki untuk penggambaran program Romantika pada awal Januari nanti dan itu bakal menjadi permulaan tahun baharu yang sangat menarik dan diharapkan akan lebih baik. Mengenai perancangan keluarga, saya menyerahkan segalanya kepada rezeki.



Previous Post Next Post