Azman nekad teruskan dakwah jalanan



PU AZMAN mahu kekal sebagai pendakwah jalanan walaupun sudah bergelar juara Pencetus Ummah.

Mimbar Pencetus Ummah musim kedua (PU2) menutup tirainya pada 25 Disember lalu dengan menobatkan finalisnya, Azman Syah Alias (PU Azman), 33 tahun sebagai juara.

Tampil segak dengan penuh keyakinan pada pentas akhir mimbar PU2 yang diadakan di Dewan Konvensyen Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), PU Azman bijak mengatur tutur bicara sekali gus berjaya menawan hati para juri serta penonton.

Membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM100,000, PU Azman berjaya mengenepikan tiga finalis lain termasuk Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli (PU Faiz), Mohd. Lokman Ahmad (PU Lokman) dan Mohd. Yusof Arbain (PU Yusof).

Ditebak mengenai perancangannya, finalis yang berasal dari Negeri Sembilan itu memberitahu, dia mahu terus menjadi pendakwah bebas yang menyampaikan dakwah di jalanan.




“Insya-Allah, saya akan terus menyampaikan dakwah di jalanan. Misi saya ialah untuk mengajak golongan muda untuk pergi ke masjid sekali gus mengubah konsep dan pandangan mereka mengenai Islam.

“Saya lebih selesa menyampaikan dakwah secara begitu kerana merasakan ia lebih memberi impak buat masyarakat. Bagaimanapun, saya tidak akan menolak sekiranya diberi peluang untuk menyampaikan dakwah melalui medium media massa termasuk televisyen,” katanya ketika sesi sidang akhbar usai dinobatkan juara keseluruhan.

Pentas akhir menyaksikan Azman menyampaikan tajuk dakwah dalam tiga pusingan melibatkan tema Dakwah Bebas iaitu Tiada Alasan Tangguh Solat, Islam Fobia dan Hati Mati Jasad Layu.

Selain membawa pulang wang tunai RM100,000, Azman turut membawa pulang pakej percutian umrah dan tazkirah dalam pesawat penerbangan sewa khas tajaan Gemilang Travels & Tours Sdn. Bhd., pakej percutian dan ceramah di atas kapal pelayaran mewah empat hari tiga malam tajaan IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn. Bhd., langganan Majalah I selama setahun, senaskhah Al-Quran dan bahan bacaan sumbangan Karya Bestari berserta trofi.

Azman turut dipilih sebagai PU Pilihan Prudential BSN yang membawa pulang pakej umrah bernilai RM5,000 dan PU Pilihan Radio Sinar FM.

Naib juara pula menjadi milik Ahmad Faiz Hafizuddin yang menerima wang tunai RM50,000. Tempat ketiga dan keempat disandang oleh Mohd. Yusof dan Mohd. Lokman. Mereka membawa pulang wang tunai RM20,000 dan RM10,000.

Naib juara hingga tempat keempat juga memenangi pakej percutian umrah dan tazkirah dalam pesawat penerbangan sewa khas tajaan Gemilang Travels & Tours Sdn. Bhd., pakej percutian dan ceramah di atas kapal pelayaran mewah empat hari tiga malam tajaan IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn. Bhd., langganan Majalah i selama setahun, senaskhah Al-Quran dan bahan bacaan sumbangan Karya Bestari berserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Astro Malaysia, Tun Zaki Tun Azmi diiringi Naib Presiden Bahagian Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengarah Pemasaran Prudential BSN, Amran Zainal.

Pemarkahan finalis ditentukan sebanyak 70 peratus oleh juri profesional yang terdiri daripada Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Ustaz Kazim Elias, Abby Fana dan juri jemputan iaitu komposer, penyanyi yang juga pendakwah popular dari Indonesia, Opick.

Dalam mimbar akhir, finalis PU2 mendapat bimbingan daripada barisan murabbi (fasilitator) seperti Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Razak, Ustaz Haslin Baharim dan pelakon senior Fauziah Nawi.

Selain itu, beberapa artis tampil memeriahkan PU2 dengan persembahan nyanyian daripada Datuk Hattan, Ayai Ilusi, Mawi dan Hazama. Program akhir itu diacarakan oleh Ustaz Zulkifli Hamat dan Fizo Omar disiarkan secara langsung di Astro Oasis (saluran 106).



Previous Post Next Post