Perkara yang utama untuk menyanyi adalah mempunyai vokal yang baik. Masyarakat sekarang tidak lagi bersandarkan pada rupa sahaja.
Jika mempunyai wajah yang menawan sekalipun tetapi mempunyai suara yang sumbang, sudah pasti akan menjadi bahan kritikan.
Itulah yang terpaksa diharungi oleh Aman sejak berada di Akademi Fantasia 2014 lagi. Biarpun berjaya membuktikan dirinya sehingga berjaya ke peringkat akhir dan mendapat tempat kedua, kata-kata negatif tentang keupayaannya masih lagi dilemparkan.
Kemuncak kritikan ialah ketika juri AF 2014, Datuk Ramli MS yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik turut mempersoalkan bagaimana Aman boleh sampai ke peringkat akhir.
Bertemu dengan Aman semasa sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini, dia sempat meluahkan rasa kecewanya terhadap kritikan negatif kepadanya.
“Semasa di Akademi Fantasia, saya tidak terasa sangat dengan kritikan Ramli MS. Ketika itu, semangat saya masih tebal.
“Saya sentiasa mengambil komen daripada juri sebagai satu pemangkin semangat untuk saya terus berusaha,” jelasnya.
Namun, usai pertandingan itu, Aman mula membelek semula cerita tentangnya di laman sosial dan meneliti sebahagian daripada komen yang dilemparkan kepadanya.
“Bila sudah keluar AF, ada masa terluang, saya baca semula berita yang keluar semasa di AF. Tipulah kalau tiada rasa kecewa.
“Apatah lagi yang dipertikaikan itu adalah vokal saya yang digunakan untuk mencari rezeki,” jelasnya.
Tidak mahu segera melatah, jelas Aman, bila diteliti semula komen-komen yang diberikan, ia ibarat satu pelajaran kepadanya.
Satu teguran yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan kekurangan yang terdapat dalam dirinya.
“Apa yang saya kasihankan ialah keluarga saya. Mereka akan terasa jika saya dikatakan tidak boleh menyanyi.
“Tetapi, Alhamdulillah, saya berjaya membuktikan kebolehan saya untuk sampai ke peringkat akhir,” jelas anak bongsu daripada enam beradik itu.
Tambah Aman, buat masa ini, dia telah menetapkan dalam mentalitinya untuk tidak mudah berasa kecewa dengan segala kritikan.
Malah, menjadikan kritikan itu sebagai kayu ukur kemampuan dirinya untuk dia lebih berusaha.
“Bagi saya tempoh selama setahun ini untuk saya mantapkan lagi dan pamerkan kekuatan vokal dan kemampuan saya yang sebenar,” tegas anak muda yang berasal dari Melaka ini.
Cuba atasi masalah
Hampir sebulan lebih menjadi artis, jelas Aman, dia khuatir apa yang dinikmatinya kini boleh membuatkan dia menjadi seorang yang lupa diri.
“Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki kini. Cuma saya risau, suatu hari nanti, saya terjebak dengan gejala negatif,” jelasnya.
Apatah lagi sebelum ini sudah banyak cerita tentang artis yang terlibat dengan gejala negatif dan masalah sosial yang dipaparkan media.
Jelas Aman lagi, dia sentiasa mendapat nasihat daripada ibu dan bapanya agar tidak lupa diri dan sentiasa berpijak di bumi nyata.
“Sekarang saya masih boleh kawal. Tetapi apa yang akan terjadi pada masa hadapan kita tidak akan tahu.
“Itu yang saya sentiasa minta pesanan dan nasihat agar saya tidak lalai dan lupa diri dengan apa yang saya kecapi kini,” jelasnya.
Ini adalah tabiat yang sering dikaitkan dengan penyanyi ini. Interaksi yang dapat dilihat di kaca televisyen membuatkan ramai yang melabelkan Aman sebagai pemalu.
Menafikan perkara itu, jelas Aman, dia bukanlah seorang yang pemalu, sebaliknya hanya mempunyai masalah kurang keyakinan diri.
“Kalau orang kata saya pemalu, memang saya nafikan saya mempunyai sifat itu. Saya cuma kurang keyakinan diri,” jelasnya.
Menjadi seorang penghibur, perasaan kurang keyakinan diri adalah sesuatu yang perlu ditepis sejak daripada awal lagi.
Apatah lagi untuk menghibur ini memerlukan interaksi dan komunikasi dengan seseorang yang mungkin tidak dikenali langsung sebelum ini.
Sedar akan perkara itu, jelas Aman, dia kini sedang mencuba untuk meningkatkan keyakinan dirinya dan tidak mahu dilihat sebagai seorang yang pasif.
“Buat masa ini, saya sentiasa mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang saya takut untuk lakukan.
“Contohnya, saya terima tawaran untuk berlakon walaupun pada awalnya saya risau juga hendak menjadi pelakon.
“Apatah lagi watak itu memerlukan saya untuk bercinta. Tetapi saya terima kerana saya mahu cabar diri dan Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya,” jelas Aman.
Tambah Aman, dia kini mahu mencabar dirinya untuk menjadi seorang pengacara pula. Namun belum ada tawaran lagi setakat ini.
“Mungkin bagi orang, setakat bawa watak kecil-kecilan belum cukup mencabar. Tetapi, saya perlu untuk terus mencuba bagi meningkatkan keyakinan diri,” jelasnya.