Hanez Suraya Jujur makan diri



SETIAP keputusan dibuat ada sebab tersendiri- demikian tegas Hanez Suraya berhubung dakwaan berpura-pura ‘berpisah’ dengan kekasihnya, Romie Razin Adilha semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat.

Malah pelakon berusia 30 tahun ini juga bertegas rancangan untuk bertunang pada 3 Januari lalu berlaku selepas hubungannya dengan ahli perniagaan itu pulih sejak dua bulan lalu ini.




“Tak perlu mempertikaikan pertunangan saya. Semuanya sudah selesai, saya kini sudah menjadi tunangan Romie dan akan berkahwin tidak lama lagi," demikian kata Hanez sebagai menjawab persoalan daripada sesetengah pihak.

Malah dia memohon diberi sedikit ruang untuk mengecapi kebahagiaan selepas hampir setahun memendam perasaan akibat dikatakan perampas suami orang.

Dia mengakui tidak tertanggung perasaan malu apabila dicemuh masyarakat atas kesilapannya lampau. Ini ditambah lagi telah digam oleh stesen televisyen tertentu kerana kontroversi tersebut.

“Sebab itu bila ada berita gembira ini, saya memutuskan untuk berdiam diri. Tak nak memberi komen sehingga majlis pertunangan selesai,” kata Hanez berhubung pendirian tidak menguar-uarkan pertunangannya.

Mengenai hubungannya dengan Romie yang kembali terjalin itu selepas putus seketika kata Hanez, semuanya berpunca apabila ibunya yang kerap bertemu dengan dua anak lelaki Romie.

Meskipun mereka berdua bukan cucunya namun ibu tidaknya pernah memisahkan kasih sayang malah semakin erat walaupun Hanez belum berkahwin dengan Romie.

Atas dasar kasih sayang sesama manusia tanpa sempadan itu juga tambah Hanez, sedikit sebanyak telah mencairkan hati wanitanya yang sebelum itu seperti sudah berpatah arang dengan Romie.

Sementelah kerap mendengar nasihat daripada ibu Hanez tentang kehidupan dan soal jodoh yang ditentukan-Nya Hanez memberitahu, di situ dia mula berfikir panjang sebelum menerima Romie.

“Saya jenis yang bersungguh-sungguh dalam soal cinta. Kalau dikhianati, hati akan terluka dan sukar diubati. Sebab itu apabila Romie menyuarakan hasrat untuk kembali bercinta semula, timbul juga rasa sangsi.

“Bagaimanapun keadaan berubah apabila saya melihat kesungguhan dia. Romie betul-betul mahu memperisterikan saya dan bertindak menghantar rombongan meminang pada 3 Januari lalu.

“Saya mengharapkan agar pertunangan ini akan mengakhiri episod mimpi ngeri saya,” kata Hanez yang mahu merahsiakan majlis pertunangan itu pada peringkat awal bagaimanapun tersebar selepas pihak keluarga Romie menjemput pihak media ke kediaman keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan.
Rahsia

SIKAP terbuka Hanez menjadi punca kepada permasalahan yang timbul membabitkan dirinya dengan tunangnya satu ketika dahulu.
Kesan yang dialami juga masih terasa sehingga ke hari ini. Semuanya gara-gara apabila Hanez dikatakan terlebih dahulu membuat kenyataan kepada media sehinggakan isteri Romie (pada waktu itu), Nur Liyana Abdul Manan mempertahankan perkahwinannya dan keadaan menjadi keruh.

Kehadiran Hanez dalam perkahwinan Romie dan Nur Liyana menimbulkan persepsi buruk yang menjejaskan nama baik pelakon drama Love You Mr. Arragant ini.

Hanez dikatakan punca perkahwinan itu bergoncang hingga membawa perceraian. Pasangan tersebut akhirnya bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 9 Disember lalu.

Begitu juga dalam soal periuk nasi Hanez. Hanez pernah mengalami situasi getir apabila tawaran berlakon yang sudah berada di tangan boleh terlepas secara tiba-tiba.

Nama Hanez digugurkan pada saat-saat akhir dan digantikan oleh pelakon lain biarpun sudah seharian menjayakan wataknya dalam sebuah telefilem.
Serik dengan kesilapan lalu akhirnya Hanez memutuskan untuk tidak lantang bercerita soal percintaannya dengan suami orang secara terbuka.

“Ada segelintir masyarakat kita tidak boleh terima andai seseorang artis itu berkongsi kisah peribadi mereka. Walaupun niat asal saya untuk berkongsi namun telah disalahertikan kemudiannya.

“Lantas saya mengambil langkah untuk ‘menyimpan’ sedikit cerita peribadi. Mana yang boleh dikongsi kepada khalayak, saya akan buat begitu juga sebaliknya.

“Saya tahu situasi saya ketika membuat pendedahan tersebut tidak kena pada waktunya. Di situ juga permulaan kepada mimpi ngeri saya. Keadaan semakin memburuk selepas sidang akhbar untuk menjernihkan perkara sebenar diadakan tidak lama kemudian.

“Lebih teruk lagi apabila beberapa kenyataan saya yang dimanipulasi oleh pihak tertentu,” katanya mendakwa kenyataannya dimanipulasikan.

Enggan lagi menoleh ke belakang kata Hanez, dia juga berusaha untuk merasai erti cinta dan hidup bahagia seperti wanita lain. Yang berlaku itu adalah pengajaran kepada artis lain juga.

Buang gambar lama

BERDARAH manis sementelah bakal menamatkan zaman solo dalam tempoh terdekat kata Hanez, dia juga bersyukur apabila berita pertunangannya itu memulihkan persepsi masyarakat terhadapnya.

Begitu juga dalam soal karier lakonannya yang menunjukkan perubahan. Hanez memberitahu, dia sudah pun menerima tawaran untuk berlakon sebuah drama bersiri tidak lama lagi.

Berita tersebut sudah pastilah menggembirakan hati anak sulung daripada tiga beradik ini yang mengharapkan sinar 2015 berpihak kepadanya.

“Azam saya pada tahun ini adalah mahu memulihkan karier lakonan dan meraih sokongan daripada semua peminat industri hiburan. Saya mahu kembali menjadi artis yang diterima oleh semua golongan.

“Sebagai permulaan, sudah pun membuang lebih 3,000 keping gambar yang dimuat naik di Instagram saya yang dilakukan secara berperingkat sejak tiga minggu lalu.

“Saya juga mengharapkan agar tidak terus dibayangi cerita silam. Sudah masanya kita bergerak ke hadapan dan tidak bergantung kepada cerita lama,” ujarnya.

Apabila ditanya sekiranya kemunculan semulanya tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan, kata Hanez, dia akan terus bangkit dan tidak akan mengalah walau macam mana cara pun kerana jiwanya sudah sebati dengan bidang lakonan.

Hakikatnya sentimen sebahagian besar peminat dalam kalangan wanita masih lagi memulaukan Hanez, ini membuatkan stesen televisyen menggugurkan nama Hanez untuk menjaga rating drama yang mulanya menyeneraikan dia sebagai pelakon.

Hanez perlu menerima hakikat bahawa untuk memulihkan nama bukan suatu yang mudah apa lagi dalam kalangan peminat wanita.



Previous Post Next Post