Gambar kenangan saat bahagia Awie dan Rozana.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu membatalkan hak penjagaan anak secara ex-parte (sebelah pihak) yang diperoleh vokalis kumpulan Wings iaitu Awie.
Hakim Syarie, Mohd Amran Mohd Zain memutuskan keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Rozana Misbun, 37, untuk mengenepikan perintah mahkamah terhadap Awie berhubung hak penjagaan sementara yang diperolehnya pada 21 Julai tahun lalu.
Mohd Amran membuat keputusan itu selepas mendapati Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, menggunakan alamat bermastautin di Ukay Perdana, Ampang, Selangor bagi memfailkan tuntutan di mahkamah syariah Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu.
Penyanyi itu sepatutnya membuat permohonan di mahkamah dalam negeri Selangor berdasarkan kepada alamat tempat tinggal yang digunakannya.Selain itu, isu lain mengenai pertikaian dokumen nikah pasangan itu yang didapati palsu turut menjadi asas kepada mahkamah membuat keputusan berkenaan.
Mahkamah turut mengenakan kos sebanyak RM5,000 kepada Awie.
Dalam pada itu, Mohd Amran berkata semua permohonan yang dikemukakan termasuk hak jagaan anak secara kekal oleh Awie turut terbatal.
Keputusan itu dibaca dihadapan pasangan berkenaan yang turut ditemani oleh peguam masing-masing.
Sementara itu, Awie ketika ditemui diluar mahkamah berkata, dia menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan akan berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya selepas ini.
Manakala Rozana pula bersyukur dengan keputusan itu dan berharap dapat dia dapat disatukan dengan anak-anaknya selepas ini.
Terdahulu mahkamah yang sama pada Selasa diberitahu Rozana melakukan amalan khurafat sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka.
Perkara itu didedahkan peguam Awie iaitu Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mengatakan Awie menemui barang-barang seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha milik Rozana.
Pada 6 Januari lalu pula, bekas Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Yusoff Abu Bakar mendedahkan kepada mahkamah bahawa surat nikah milik penyanyi Awie adalah dokumen palsu.
Awie pada 21 Julai tahun berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anaknya bersama Rozana iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.
Awie dan Rozana bernikah secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005.
Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.