Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mendapatkan kerjasama pihak polis bagi membantu mengenal pasti identiti tiga wanita Islam yang terbabit dalam kontroversi aksi sumbang di konsert kumpulan K-Pop, B1AF baru-baru ini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, sehingga Rabu masih belum ada pihak yang berkenaan tampil bagi membantu siasatan.
Tambahnya, jabatan itu cuba mendapatkan maklumat daripada penganjur konsert tetapi dimaklumkan bahawa identiti peminat terbabit tidak akan didedahkan.
“Jadi, kita akan mendapatkan kerjasama PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi membantu kita untuk mengenal pasti identiti mereka. Ini supaya mereka dapat tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop dari Korea Selatan bersama tiga peminat wanita Islam ketika berada di atas pentas konsert di Kuala Lumpur, Sabtu lalu mencetuskan kecaman pelbagai pihak terutama umat Islam.
Jawi pada Selasa dilaporkan akan memohon kepada mahkamah supaya mengeluarkan waran tangkap terhadap penganjur dan tiga wanita Islam yang terlibat sekiranya mereka tidak tampil untuk membantu siasatan dalam tempoh seminggu.
Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat perintah untuk mereka hadir ke bahagian penguatkuasa Jawi bagi membantu siasatan.
Jawi pada Isnin lalu telah membuka kertas siasatan siasatan berhubung isu tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.
Jika disabitkan bersalah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.